Proses menghasilkan kayu arang yang panas dan lama buat ramai tidak berminat bekerja
2023.10.05
Kota Tinggi, Johor
Proses membuat arang yang mengambil masa yang lama, kerja berat dan sentiasa berdepan dengan bahang panas adalah antara sebab ramai yang tidak berminat dengan pemilik kilang arang di Johor terpaksa menggajikan pekerja asing dari negara jiran, Indonesia.
Pemilik kilang arang di Kota Tinggi terpaksa menggajikan sekumpulan 16 pekerja asing Indonesia terutamanya dari Lombok, kerana tiada rakyat tempatan yang berminat serta tahan dengan kerja berat selain perlu berdepan dengan bahang api semasa proses pembakaran.
Pekerja perlu bertugas secara bergilir serta shif seawal subuh hingga malam semasa proses berjalan dengan mereka perlu membakar kayu balak dan getah dengan api perlahan bagi tempoh panjang di dapur-dapur plot tanah sebesar gelanggang badminton setiap satunya untuk menghasilkan arang.
Sementara itu, menurut ketua pekerja di kilang tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Supiardi, dan berasal daripada Lombok, kebiasaan mereka akan mula bekerja seawal 4 pagi dan berhenti sekitar 10 pagi dan akan menyambung semula pada 5 petang sehingga 9 malam.
“Jadual kerja seperti ini dibuat bagi mengelak daripada cuaca panas dan bahang panas api pembakaran kayu. Waktu kerja yang anjal ini sangat memudahkan kami untuk menguruskan dapur arang semasa proses berjalan,” katanya kepada BenarNews sambil menambah terdapat lebih 16 daripada 24 dapur arang yang aktif beroperasi digunakan di kilang tersebut.
Supiardi berkata, pendapatan mereka dikira berdasarkan jumlah guni arang yang diperolehi, dengan anggaran pendapatan kasar hingga RM4,000 bagi setiap satu dapur yang dikongsi dengan rakan sekerja.
Proses membuat arang mengambil masa berbulan untuk siap itu, lebih kepada memenuhi permintaan pasaran tempatan dan selebihnya ada juga yang dipasarkan ke China dan Jepun bergantung kepada permintaan.
Selain sebagai bahan bakar, arang juga digunakan dalam pembuatan kosmetik dan kecantikan, penapis atau penjernih air dan penghilang bau.
Menurut Statistik Jabatan Perhutanan Negeri Johor, terdapat sebanyak 15 buah kilang arang yang masih beroperasi di negeri itu.
Data The Observatory of Economic Complexity (OEC) bagi 2021 pula melaporkan bahawa Malaysia mengeksport kira-kira RM27.7 juta produk kayu arang dan menjadi negara ke-17 pengeksport kayu arang di dunia.