Barangan Utama Buat Keranda Sukar Diperolehi, Walaupun Tempahan Meningkat
2021.07.29
Klang, Selangor
Permintaan tempahan keranda naik berkali ganda semasa pandemik COVID-19 tetapi kenaikan harga dan kesukaran mendapatkan barangan utama membuatnya merisaukan pembuat keranda, disebabkan kerana banyak pembekal terpaksa menutup perniagaan mereka apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Putrajaya.
Seorang pembuat keranda di Kampong Sungai Sireh Pelabuhan Klang di negeri Selangor, Shahrul Kamaruzaman Kudong, 44, yang ditemui BenarNews memberitahu beliau perlu bekerja sehingga lewat petang bagi menyiapkan tempahan keranda yang naik dengan mendadak sejak kebelakangan ini.
“Selalunya dalam sebulan tempahan yang diterima adalah dalam 15 ke 25 buah keranda, tapi sejak kebelakangan ini ia naik berkali ganda. Contoh sepanjang bulan Julai ini, saya sudah menyiapkan lebih 70 buah keranda.
“Bila memikirkan saya khuatir, peningkatan jumlah tempahan bermaksud jumlah kematian akibat COVID-19 semakin bertambah dan virus ini nampaknya semakin ganas,” katanya sambil memberitahu bahawa tempahan keranda yang diterima adalah daripada Pengurus Tanah Perkuburan Islam Selat Klang.
Shahrul juga berkata, sepanjang sehari waktu kerjanya yang bermula dari jam 9 pagi hingga 5.30 petang, lebih enam keranda dengan setiap satu berukuran 120 cm panjang dan 51 cm lebar dapat disiapkannya dengan mengambil masa kira-kira 35 hingga 45 minit.
Bagaimanapun, menurut pembuat keranda itu, sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan [PKP] 3.0, bekalan barangan seperti kayu dan kain putih amat sukar diperolehi kerana hampir kesemua pembekal bahan utama tersebut tidak beroperasi disebabkan perintah berkurung itu.
“Musim PKP memang kedai tidak buka, kalau ada yang buka pun, harga barangan memang sangat tinggi,” tambah Shahrul sambil memaklumkan yang kos untuk menyiapkan sebuah keranda sekitar RM150 manakala harga jualan pula adalah RM250.
Katanya lagi, peningkatan harga barangan utama juga telah mempengaruhi harga jualan sesebuah keranda.