Komuniti Cina di Asia Tenggara Sambut Tahun Harimau
2022.02.01
Manila, Bangkok, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, Malaysia
Selepas hampir dua tahun berdepan ancaman pandemik COVID-19, komuniti Cina di negara-negara Asia Tenggara kini menyambut ketibaan Tahun Harimau semeriah mungkin.
Di Bangkok, anggota komuniti Thai-Cina menukar kebiasaan mereka semasa melakukan persiapan bagi makan besar malam Tahun Baharu Cina.
Memandangkan harga daging babi semakin mahal susulan penularan wabak demam babi Afrika di ladang ternakan haiwan itu, ramai yang menggantikannya dengan daging haiwan lain untuk disajikan sebagai juadah makan besar bersama keluarga, demikian menurut anak perempuan pemilik kedai menjual daging di Pasar Lama Chinatown di bandar raya itu.
“Tanpa mengira keadaan ekonomi semasa, mereka sanggup membayarnya demi kepercayaan yang diwarisi daripada nenek moyang mereka. Daging babi memang mahal tetapi itik dan ayam lebih laris dijual.
Dan daging babi juga masih laku meskipun mahal,” kata Cik Sukanya yang meminta agar nama keluarganya tidak disiarkan.
Di Malaysia, kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri dan ke luar negara meskipun masih berdepan ancaman pandemik itu bagi membolehkan orang ramai pulang beraya di kampung halaman mereka.
Pesta tahun baharu yang berlangsung selama dua minggu itu merupakan perayaan terbesar bagi komuniti Cina yang menyaksikan mereka memberi penghormatan kepada dewa-dewi dan nenek moyang. Warna merah adalah simbol bagi nasib baik atau kekayaan – jadi wang biasanya diagih dalam sampul merah semasa makan besar bersama keluarga.
Basilio Sepe di Manila, Yostorn Triyos di Bangkok, S. Mahfuz di Kuala Lumpur dan A. Ammaruddin di Pulau Pinang, Malaysia turut menyumbang kepada laporan ini.