COVID-19: Sekatan Ketat Kerajaan Malaysia Ubah Tradisi Sambut Ramadan

Hadi Azmi & S. Mahfuz
2020.04.24
Kuala Lumpur, Malaysia
200424-MY-SS-Ramadan001.jpg

Imam jemputan Ustaz Ahmad Mujahid Salleh Sani mengimamkan solat Tarawih pertama dengan hanya ditemani tiga jemaah yang terdiri daripada kakitangan Masjid Negara selain turut mengamalkan penjarakan sosial sejauh satu meter pada ketika negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bertujuan membendung penularan wabak COVID-19 di Masjid Negara, Kuala Lumpur, 23 April, 2020 [S. Mahfuz/BeritaBenar]

200424-MY-SS-Ramadan002.jpg

Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor sedang melihat anak bulan melalui Teleskop pada majlis cerapan rasmi Anak Bulan Ramadan 1441 Hijrah di Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Acheh, Balik Pulau, Pulau Pinang, 23 April, 2020. [A. Ammarudin/BeritaBenar]

200424-MY-SS-Ramadan003.jpg

Sebuah keluarga menunaikan solat Tarawikh secara berjemaah di kediaman mereka di Kajang, Selangor, selepas kerajaan memperkenalkan PKP dengan semua aktiviti keagamaan secara beramai-ramai tidak dibenarkan dengan tujuan untuk menyekat sebarang bentuk penularan jangkitan COVID-19, 23 April, 2020 [S. Mahfuz/BeritaBenar]

200424-MY-SS-Ramadan005.jpg

Anggota pasukan keselamatan Malaysia terdiri daripada polis, tentera dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang sedang bertugas semasa Perintah Kawalan Pergerakan berhenti sekejap untuk menikmati juadah berbuka puasa pada hari pertama Ramadan di Kuala Lumpur, 24 April, 2020. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

200424-MY-SS-Ramadan006.jpg

Seorang anggota tentera mengambil kesempatan untuk minum air selepas azan Maghrib berkumandang yang sekaligus membolehkannya untuk berbuka puasa pada hari pertama Ramadan dan pada waktu yang sama masih berdiri mengawal sekatan jalanraya semasa Perintah Kawalan Pergerakan di pintu masuk ke Jambatan Pulau Pinang, 24 April, 2020 [A. Ammarudin/BeritaBenar]

200424-MY-SS-Ramadan010.jpg

Anggota pasukan keselamatan Malaysia terdiri daripada polis dan tentera yang sedang bertugas semasa Perintah Kawalan Pergerakan berhenti sekejap untuk menikmati juadah berbuka puasa pada hari pertama Ramadan di Kuala Lumpur, 24 April, 2020. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

Umat Islam di Malaysia pada tahun ini memulakan ibadat puasa di bulan Ramadan dalam suasana ‘normal baru’ berikutan arahan kerajaan tidak membenarkan perhimpunan keagamaan termasuk di masjid serta pembatalan bazar Ramadan di seluruh negara ketika negara sedang memerangi pandemik COVID-19.

Ibadat solat Tarawih malam pertama Ramadan di masjid yang lazimnya menyaksikan ribuan penganut agama Islam terpaksa dilakukan di rumah masing-masing memandangkan arahan penutupan semua masjid dan rumah ibadat di seluruh negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) yang bermula 18 Mac lalu.

Bercakap kepada Berita Benar, Yusof Majni, 29, berkata beliau terkesan apabila melihat gambar suasana solat Taraweh di Masjid Negara di ibukota Kuala Lumpur yang hanya dilakukan oleh empat orang jemaah dalam keadaan penjarakan sosial di masjid utama negara itu.

“Semalam apabila saya lihat gambar di Masjid Negara, cuma empat orang sahaja solat Teraweh, itu betul-betul buat saya sedar Ramadan tahun ini memang beza dan memang saya akan ingat sampai bila-bila,” kata Yusof yang merupakan bekas penuntut sebuah sekolah hafalan Al-Quran dan tahfiz di Rawang, Selangor.

Beliau yang selalu dijemput untuk menjadi imam solat Tarawih di sekitar Gombak berbekalkan pengetahuannya tentang kitab suci umat Islam itu memberitahu yang beliau selalunya mendapat jemputan menjadi Imam di surau-surau tetapi tahun ini semua batalkan.

Bagi memudahkan rakyat menghadapi Ramadan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bertanggungjawab menyelaras dasar kerajaan sepanjang tempoh PKP memberi kelonggaran kepada pasar awam untuk beroperasi dari jam 6 pagi hingga 2 petang berbanding hanya sehingga 12 tengahari sebelum ini.

Selain itu pengangkutan awam juga dibenarkan beroperasi sejam lebih awal pada sesi petang iaitu dari 4 petang hingga 10 malam berbanding dari jam 5 petang sebelum ini.

Malaysia yang masih berdepan dengan penularan wabak COVID-19 yang menyaksikan penambahan 88 kes positif baharu dan satu kes kematian pada hari pertama Ramadan, juga telah melanjutkan PKP buat kali keempat, sehingga 12 Mei.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membuat pengumuman mengenai perlanjutan 14 hari lagi, pada malam Khamis turut tidak menolak kemungkinan akan memanjangkan lagi tempoh PKP jika wabak tersebut masih menular.

“Saya tidak menolak kemungkinan bahawa PKP akan dilanjutkan lagi selepas ini. Bermakna, saudara-saudari mungkin tidak boleh menyambut hari raya di kampung,” kata beliau.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.