Rumah Botol lambang ‘cinta’ kepada alam sekitar

Tengku Mohd Ali bina galeri pamer puluhan ribu botol ditemui terdampar di tepi pantai di Terengganu.
Syahrin A. Aziz
2024.12.02
Kuala Terengganu, Malaysia
01

Tengku Mohd Ali Tengku Mansor duduk di tengah-tengah ribuan koleksi botol dan kaca ditemui di tepi pantai dan ditempatkan di Rumah Botol di Kampung Penarik, Setiu, Terengganu, 16 November 2024. [Syahrin A. Aziz/BenarNews]

02

Tengku Mohd Ali Tengku Mansor yang kini berusia 80 tahun berdiri di depan pintu pagar di pekarangan Rumah Botol, Kampung Penarik, Setiu, Terengganu, 16 November 2024.[Syahrin A. Aziz/BenarNews]

03

Sepucuk surat bertulisan Cina dan tertera lambang hati ditemui dalam satu botol yang dipercayai hanyut dari China kini dipamerkan di Rumah Botol di Kampung Penarik, Setiu, Terengganu, 16 November 2024. [Syahrin A. Aziz/BenarNews]

04

Tengku Mohd Ali Tengku Mansor melangkah masuk ke galeri Rumah Botol di Kampung Penarik, Setiu, Terengganu, 16 November 2024. [Syahrin A. Aziz/BenarNews]

05

Perkataan 'Aloha' dan 'Janet' tertulis pada kertas yang melekat di botol yang dipercayai dari Hawaii, Amerika Syarikat yang ditemuinya terdampar di pantai Kampung Penarik, Setiu, Terengganu, 16 November 2024. [Syahrin A. Aziz/BenarNews]

06

Serpihan kaca yang ditemui di pantai dicantum dan dilekat pada kertas menjadikan satu hasil seni yang menarik di Rumah Botol di Kampung Penarik, Setiu, Terengganu, 16 November 2024. [Syahrin A. Aziz/BenarNews]

07

Tengku Mohd Ali Tengku Mansor menunjukkan kata nasihat yang ditulisnya pada salah satu botol yang ditemuinya di pantai di Kampung Penarik. Setiu, Terengganu, 16 November 2024. [Syahrin A. Aziz/BenarNews]

08

Tengku Mohd Ali Tengku Mansor menerangkan kepada pengunjung tentang koleksi botol yang disimpan di galeri Rumah Botol di Kampung Penarik, Setiu, Terengganu, 16 November 2024. [Syahrin A. Aziz/BenarNews]

09

Tengku Mohd Ali Tengku Mansor membuat catatan pada buku rekod kedatangan pengunjung ke Rumah Botol di Kampung Penarik, Setiu, Terengganu, 16 November 2024. [Syahrin A. Aziz/BenarNews]

10

Tengku Mohd Ali Tengku Mansor memberi makan ikan-ikan yang dibela di sebuah kolam dengan hiasan diperbuat daripada botol-botol di pekarangan Rumah Botol, Kampung Penarik, Setiu, Terengganu, 16 November 2024. [Syahrin A. Aziz/BenarNews]

Kisahnya bermula pada 2005 setelah Tengku Mohd Ali Tengku Mansor melihat kanak-kanak meletupkan mercun di dalam botol sehingga kaca pecah bersepai di pasiran pantai di sekitar Kampung Penarik, Setiu, di negeri pantai timur, Terengganu.

Beliau yang lebih mesra di sapa dengan panggilan Ayahku bimbang serpihan kaca akibat daripada letupan berkenaan boleh menyebabkan kecederaan kepada mereka yang terpijaknya, dan dari situ timbul usaha untuk mengutip botol dan kaca yang terdampar di tepian pantai.

Sejak dari itu, setiap pagi selepas solat Subuh, lelaki yang kini berusia 80 tahun itu akan berjalan kaki menyusuri pantai sambil mengelek beg plastik mengutip botol dan kaca dengan niat membersihkan pantai dan mengelakkan daripada kecederaan akibat terpijak serpihan kaca.

Tanpa disedari, kadang-kadang beliau berjalan sejauh lima kilometer dari rumahnya dan semakin hari kian banyak botol dan kaca yang dikumpul, sehingga lahirnya idea membuka sebuah galeri menyimpan pelbagai koleksi kutipan botol  dan kaca yang ditemui di tepi pantai.

Sebuah rumah kayu berhampiran kediamannya dijadikan sebagai tempat menyimpan koleksi beliau itu dan turut menamakannya ‘Rumah Botol’.

"Ayahku mula-mula kutip botol ini kerana hendak sampaikan mesej supaya orang kita jaga alam sekitar. Ayahku nak pantai kita bersih. Lama-kelamaan jadi hobi pula apabila macam-macam jenis botol Ayahku jumpa di tepi pantai.

“Lepas itu timbul idea bina Rumah Botol, nak simpan semua koleksi botol yang Ayahku kutip," ujarnya kepada BenarNews semasa ditemui baru-baru ini.

Lebih menarik apabila Ayahku mendapati botol-botol yang dikumpulnya itu, ada yang hanyut ribuan kilometer di perairan Laut China Selatan dan terdampar di pantai Kampung Penarik.

Ayahku mendapati koleksi botol pelbagai bentuk dan saiz itu datang dari banyak negara antaranya Korea, Perancis, Amerika Syarikat (AS) dan Mesir.

Setiap botol mempunyai kisahnya yang tersendiri dan yang paling unik adalah dua botol yang mengandungi surat di dalamnya, satu dari Hawaii, AS dan satu lagi dari China.

“Sejak hampir 20 tahun lalu, Ayahku sudah kutip lebih 20,000 barang buangan termasuk botol, pelampung, serpihan kaca, kayu antik, kasut, selipar, barangan plastik, tulang penyu dan karang laut.

“Semua benda yang kita jumpa itu diletakkan nombornya. Namun sayang buku catatan tentang botol-botol dan barangan itu sudah musnah kerana tidak dijaga dengan baik.

Rumah ini Ayahku sengaja buat lantai dia daripada pasir laut.. dan kalau botol jatuh, ia tidak pecah. Pasir ini jadi simbolik asal usul botol-botol yang Ayahku jumpa di tepi pantai,”  tambahnya lagi.

Rumah Botol juga menerima tetamu dan pelancong asing sejauh Timur Tengah dan Eropah yang ingin melihat sendiri koleksi yang dipamerkan di situ dengan pengunjung tidak dikenakan bayaran, sebaliknya beliau berharap mereka terinspirasi untuk menghargai dan menjaga alam sekitar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.