Malaysia 2020: Langkah Sheraton Bawa Perubahan Mengejut di Putrajaya

Nani Yusof
Washington
2020-12-30
Share

Tahun 2020 menyaksikan pelbagai perubahan kepada rakyat Malaysia, pentadbiran Putrajaya beralih kerajaan, rakyat Malaysia berkurung dalam rumah apabila kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan kerana penularan pandemik COVID-19 yang melanda dunia, bekas perdana menteri dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan rasuah sehinggalah penolakan pengisytiharan darurat oleh Yang Di-Pertuan Agong.

Bermula Februari lagi dan dikala beberapa negara sedang berdepan dengan pandemik koronavirus, Malaysia menyaksikan drama politik yang luar biasa apabila Perdana Menteri Mahathir Mohamad, 93, pemimpin tertua dunia yang baru 22 bulan memerintah Malaysia untuk kali kedua bersama gabungan Pakatan Harapan telah mengumumkan perletakkan jawatan.

Pengumuman itu rentetan daripada krisis politik berhubung peralihan kuasa antara beliau dan Anwar Ibrahim yang dilihat seperti retak menanti belah sehingga membawa kepada tercetusnya 'Langkah Sheraton' pada 23 Februari.

Krisis itu turut memberi tempias kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Shah, di mana baginda yang mahu berlaku adil sebagai ketua negara telah memanggil bersemuka dengan Ahli-ahli Parlimen dan pemimpin utama parti ke Istana Negara, satu perkara yang sangat jarang sekali berlaku sebelum ini ketika baginda mahu membuat keputusan berhubung perlantikan Perdana Menteri baharu.

Majlis Raja-Raja juga terpaksa bersidang beberapa kali berhubung krisis politik tersebut termasuk apabila Muhyiddin Yassin yang dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baharu memohon perkenan baginda bagi mengisytiharkan darurat.

Muhyiddin yang membentuk kerajaan gabungan atas persepakatan antara Ahli Parlimen UMNO, PAS, MCA, MIC dan parti dari Sabah dan Sarawak teramsuk serpihan yang mempunyai perbezaan ideologi itu memiliki majoriti yang sangat nipis di Parlimen dan pentadbiran beliau telah beberapa kali diuji termasuk menerima kira-kira 25 usul undi tidak percaya di Parlimen.

Pernah dipecat daripada UMNO semasa pentadbiran Najib Razak yang dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah atas kesalahan rasuah, Muhyiddin mentadbir Malaysia melalui kerajaan yang tidak dipilih rakyat semasa dunia dilanda pandemik COVID-19 yang dilihat memberi masa tambahan untuk terus berada di Putrajaya, kerana keutamaan adalah untuk menyelamatkan nyawa.

Malaysia kini berada dalam gelombang ketiga pandemik dengan kira-kira lebih 110,485 kes jangkitan dan seramai 463 kematian dilaporkan sejak negara dilanda koronavirus, awal tahun ini.

Komen (0)

Lihat semua komen.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh