Peniaga Wanita Pasar Payang

Satiman Jamin
2015.11.10
pangyang-01.jpg

Syarifah Mohd Shah, 50, sekali-sekala memeriksa ayam-ayamnya masih terikat dalam beg plastik bagi memastikan ia tidak terlepas dan merayau dalam pasar. [BeritaBenar]

pangyang-02.png

Aminah Abu Bakar, 56, telah berniaga di Pasar Payang sejak lebih 30 tahun lalu.[BeritaBenar]

pangyang-03.jpg

Nafikah Mohamad, 73, sentiasa memberitahu khasiat terung pipit, sejenis terung liar bersaiz anggur yang mampu mencegah pelbagai penyakit, kepada para pengunjung yang lalu lalang. [BeritaBenar]

pangyang-04.jpg

Jamilah Almi, 49, menjual serunding daging dan kuih muih tradisional Terengganu di gerainya yang terletak di tingkat satu Pasar Payang.[BeritaBenar]

pangyang-05.jpg

Suryani Bidi, 33, terlibat dalam perniagaan batik, sutera dan songket buatan tangan sejak lebih lapan tahun lalu.[BeritaBenar]

pangyang-06.jpg

Azhani Nurulhidayati Abdullah, 32, menjual batik dan songket di gerai bertentangan. [BeritaBenar]

pangyang-07.jpg

Azimah, 46, pemilik kedai emas, sukar meraih keuntungan kerana harga emas sentiasa naik. [BeritaBenar]

Kebanyakan tempat  tarikan pelancong di Terengganu, sebuah negeri tepi laut, sarat dengan hiasan dan ukiran. Namun, Pasar Payang yang terletak di ibu negerinya,  Kuala Terengganu,  tiada penampilan yang menarik.

Bagaimanapun, ia menjadi tempat kunjungan ramai kerana adanya pelbagai kraf tempatan dan hasil tangan pakar yang dijual di sini, daripada tekstil tradisional hinggalah keropok ikan lazat, yang menjadikan Terengganu terkenal dengannya.

Satu lagi aspek unik di Pasar Payang ialah kebanyakan perniagaan dikendalikan oleh wanita, yang menampilkan tradisi lama di mana wanita menguasai ekonomi di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Bangunan dua tingkat itu, yang menempatkan lebih 400 gerai, bakal  dirobohkan tahun depan untuk digantikan dengan sebuah bangunan baru, yang merupakan sebahagian daripada projek hotel lima bintang.

Para peniaga telah diberitahu bahawa mereka akan dipindahkan ke tapak sementara yang terletak kira-kira 500 meter jauhnya, tetapi rancangan jangka panjang bagi menempatkan semula mereka masih belum jelas.

Peniaga wanita di Pasar Payang menjual pelbagai barangan daripada ayam hidup hinggalah kepada tekstil, herba dan emas.

Nafikah Mohamad, 73, menjual makanan perubatan dan herba dengan beralaskan tikar kecil di  lantai.

"Saya ke sini hanya sekali seminggu kerana perlukan masa kumpul barang untuk dijual. Jika tak cukup barang untuk dijual, tak berbaloi nak bayar duit teksi pun, "katanya,  yang tinggal kira-kira 20 kilometer dari Pasar Payang.

Selang beberapa kaki dari tempatnya ialah Syarifah Mohd Shah, 50, yang menjual ayam hidup, madu dan minyak perubatan.

"Saya berniaga di sini sejak enam tahun lalu. Inilah cara saya tambah pendapatan untuk besarkan enam orang anak saya, "kata beliau.

Di tingkat bawah pasar itu, kelihatan barang-barang disusun dalam bentuk piramid bagi memaksimumkan  ruang yang terhad.

Menjengah ke bawah dari tempat duduknya di atas satu daripada piramid itu ialah Aminah Abu Bakar, 56, yang berniaga  di Pasar Payang sejak lebih 30 tahun lepas.

"Perniagaan agak lembab dalam tahun-tahun kebelakangan ini, tetapi biasanya kita dapat atasi kerugian semasa cuti sekolah, apabila pelancong tempatan berduyun-duyun ke sini untuk membeli cenderahati," katanya.

Pemilik kedai emas, Azimah, 46, juga mengakui bahawa perniagaan agak perlahan namun beliau berazam meneruskannya.

"Saya buka kedai ini selepas lebih tiga dekad menjual sayur-sayuran dan buah-buahan. Saya percaya ada masa depan yang lebih baik jika kita tabah melakukannya ," kata beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.