Pentingnya Kerjasama Keselamatan Tiga Negara Di Laut Sulu

Komentar oleh Zachary Abuza
2017.06.19
170619-abuza-620.jpg Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein (kiri), Menteri Pertahanan Indonesia Ryamizard Ryacudu dan Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorenzana bercakap kepada pemberita di atas kapal Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut KRI Dr. Suharso, di Kalimantan Utara, Indonesia, 19 Jun 2017.
Gunawan/BeritaBenar

Pada 19 Jun, Menteri-menteri Pertahanan Indonesia, Malaysia dan Filipina melancarkan kerjasama keselamatan maritim tiga pihak di perairan Laut Sulu yang berleluasa dengan lanun. Perjanjian itu sudah lama tertangguh, tetapi pelaksanannya mungkin tidak seperti apa yang diharapkan.

Perjanjian asal telah ditandatangani oleh ketua-ketua negara pada 9 September 2016 tetapi gagal dilaksanakan atas pelbagai sebab.

Perjanjian September itu dimeterai berikutan beberapa siri penculikan maritim oleh Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang bermula pada Mac 2016. Abu Sayyaf menyasarkan kapal pukat tunda dan bot tunda yang bergerak perlahan. Perbuatan mereka memberi kesan kepada perdagangan maritim. Indonesia telah mengambil langkah untuk menggantung eksport arang batu ke Filipina, yang bernilai kira-kira $700 juta setahun, dan merangkumi 70 peratus daripada tenaga Mindanao.

Indonesia mengancam untuk mengambil tindakan ketenteraan secara sendirian demi menyelamatkan orang tebusan. Perbincangan bukan dalam konteks ASEAN yang diadakan di Jakarta menyaksikan pegawai kanan tentera dan tokoh politik Indonesia memberi tekanan kepada Filipina, yang dengan pantas bersetuju dengan tindakan untuk memburu penjenayah berkenaan.

Walaupun perjanjian itu dimeterai, serangan maritim terus berlaku tanpa henti. Di antara Mac 2016 dan Mei 2017, Abu Sayyaf melakukan 17 penculikan maritim berasingan, menahan 70 pelayar dari enam negara. Sekurang-kurangnya 50 orang dapat melarikan diri atau tidak ditahan. Lima lagi pelaut terbunuh. Dan untuk menjadikan keadaan lebih buruk, ASG berjaya mencerobohi kapal-kapal yang lebih besar, termasuk dua kapal kargo wilayah dari Korea Selatan dan Vietnam.

Dorongan muktamad: Marawi

Namun, dorongan muktamad bagi melaksanakan perjanjian itu adalah pertempuran di bandar Marawi pada Mei hingga Jun oleh unit Abu Sayyaf dan kumpulan Maute, yang kedua-duanya telah berikrar taat setia mereka kepada kumpulan pengganas Negara Islam (IS). Masuk minggu ke-5, Angkatan Tentera Filipina masih lagi bertempur untuk menawan kembali bandar itu.

Sehingga kini, para pejuang asing dari Indonesia, Malaysia, Arab Saudi, Yaman dan Chechnya telah terbunuh. Para pegawai memerangi keganasan Indonesia menganggarkan terdapat lebih 40 pejuang lagi di Marawi. Satu daripada ahli kanan IS Malaysia dipercayai turut berada di sana. Dan bilangan ini  akan terus bertambah. Sebuah video IS pada 2016 menggalakkan rakyat Asia Tenggara untuk berjuang di Mindanao sekiranya mereka gagal pergi ke Iraq dan Syria.

Dan kejayaan pasukan IS di Marawi akan terus menarik lebih ramai pengikut. Pada 16 Jun, pihak berkuasa Malaysia menahan seorang rakyat tempatan dan dua warga Indonesia yang dalam perjalanan ke Marawi. Operasi memerangi keganasan yang dilakukan sebelum ini di Sabah telah berjaya mematahkan sel logistik Darul Islam Sabah yang turut dianggotai dua warga Bangladesh.

Lebih penting lagi,  sel-sel gabungan IS di Mindanao dapat mengawal wilayah itu, susulan  kekalahan Mujahideen Indonesia Timur (MIT) di Sulawesi, dan ini bermakna tidak ada kumpulan yang berikrar setia kepada IS dapat mengawal mana-mana wilayah. Tiada yang boleh menjadi ‘wilayah khalifah’ jika tanpa wilayah.

Oleh itu, para pejuang asing akan terus menyusup masuk ke Mindanao. Dan inilah yang menjadikan kerjasama keselamatan maritim itu penting. Menyekat kemasukan pejuang asing demi keselamatan serantau juga amat penting.

Sebab merasa bimbang

Walaupun adanya kerjasama keselamatan maritim sedemikian di antara ketiga-tiga negara, namun masih ada ruang untuk kebimbangan.

Pertama, ia membabitkan keupayaan dasar tentera laut dan maritim yang terhad di antara negara-negara berkenaan. Walaupun Malaysia telah membuat pelaburan yang besar dalam tempoh tiga tahun lalu bagi meningkatkan aspek keselamatan di Sabah serta menambah keupayaan maritim dengan ketara, Indonesia dan terutamanya Filipina, tidak mempunyai aset sebanyak itu.

Jika kerjasama keselamatan itu hendak dilaksanakan dengan berkesan, ia memerlukan kehadiran pihak keselamatan secara berterusan dan teguh di perairan berkenaan. Langkah itu memerlukan pelaburan besa; sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan oleh ketiga-tiga negara tersebut. Ironinya, dua negara kepulauan Indonesia dan Filipina tidak memberi keutaamaan kepada keselamatan maritim.

Malah, sebahagian besar Strategi Fulkrum Maritim Presiden Joko Widodo yang padat dengan harapan, masih belum dilaksanakan, dan penubuhan Pengawal Pantai pula terjejas akibat perbalahan birokrasi dan pegangan sumber.

Kedua, apa yang menjadikan kerjasama keselamatan maritim pelbagai hala di Selat Melaka begitu berjaya adalah kerana adanya penubuhan pusat serantau di Singapura. Para pegawai dari Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand berada di pusat yang sama, dan dapat berkongsi risikan dan maklumat serta menyampaikan perintah operasi secara serentak. Amerika Syarikat turut membantu dari segi penyaluran maklumat risikan.

Tidak ada pusat gabungan seperti itu untuk kerjasama keselamatan maritim di Laut Sulu. Malah, tiga pusat berasingan ditubuhkan di setiap negara berkenaan, tetapi jelas perkongsian risikan tidak diwajibkan.

Menteri Pertahanan Singapura Ng Eng Hen telah menawarkan bantuan dan perkongsian pengalaman dengan harapan sebuah pusat gabungan bersatu dapat ditubuhkan. Dalam kes pusat gabungan Selat Melaka, satu pihak berkepentingan - Singapura – menerajuinya dan menyumbangkan pelbagai bantuan bagi memastikan ia ditubuhkan. Saya tidak nampak perkara itu berlaku di Laut Sulu. Dan jika ia berlaku, saya mengharapkan Singapura untuk menerajui langkah itu.

Ketiga, masih ada sempadan maritim yang tidak ditakrifkan atau menjadi tuntutan.  Secara teknikalnya, tidak ada sempadan maritim di antara Malaysia dan Filipina berikutan tuntutan berterusan Manila terhadap Sabah. Terdapat juga sempadan maritim yang dituntut oleh Malaysia dan Indonesia, yang dikaitkan dengan pertikaian Sipadan-Ligitan. Hanya ada satu sempadan maritim yang ditetapkan dengan jelas antara Indonesia dan Filipina. Walaupun Malaysia dan Indonesia meminta supaya ia dibenarkan melakukan pemburuan sehingga ke perairan Filipina, saya tidak dapat bayangkan Malaysia memberi hak yang sama kepada Indonesia, dan begitu juga sebaliknya.

Akhir sekali, perkara ini adalah sesuatu yang baru, dan ia melibatkan perkhidmatan keselamatan yang cenderung kepada menyuarakan pandangan yang agak mencurigakan di antara satu sama lain.

Pelaksanaan perjanjian kerjasama keselamatan tiga pihak itu adalah langkah pertama yang penting. Keadaan keselamatan yang semakin merosot  di selatan Filipina memberi implikasi kepada keselamatan serantau. Tetapi, ia memerlukan bantuan berterusan daripada rakan-rakannya dari luar, komitmen politik mapan oleh kepimpinan negara serta sumber-sumber yang berdedikasi.

Zachary Abuza adalah seorang profesor di Kolej Perang Nasional di Washington dan pengarang “Forging Peace in Southeast Asia: Insurgencies, Peace Processes, and Reconciliation.”  Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan beliau sendiri dan bukan pandangan atau dasar Jabatan Pertahanan A.S, Kolej Perang Nasional atau BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.