Kestabilan atasi reformasi dalam kabinet Anwar
2022.12.06
Anwar Ibrahim mempunyai tugas sukar dalam membentuk sebuah kabinet yang mencerminkan aspirasi pengundinya untuk mendapatkan pembaharuan politik, dan berdepan realiti mengenai gabungannya yang mewakili pelbagai parti.
Dan, pembentukan itu ternyata mengecewakan banyak pihak yang mahukan penubuhan kerajaan Reformasi.
Jika sesebuah kabinet sepatutnya mencerminkan rakyat yang diwakilinya, kabinet Anwar sememangnya gagal teruk. Jemaah menteri seramai 28 orang itu diwakili lima wanita, tujuh etnik Cina dan satu etnik India. Kumpulan paling ramai iaitu lelaki dan Melayu yang sudah berumur tidak mencerminkan kepelbagaian negara itu, atau warga mudanya. Terdapat enam juta pengundi berusia bawah umur 30 tahun di negara itu.
Ini bukanlah kabinet progresif yang dapat menggerakkan agenda pembaharuan politik, sebaliknya ia adalah kabinet yang dibentuk bagi mencapai dua perkara – politik dan ekonomi.
Kestabilan politik
Matlamat pertama ialah kestabilan politik. Terdapat tiga perdana menteri yang berbeza dalam tempoh empat tahun lepas, hasil daripada "Langkah Sheraton" yang menjatuhkan kerajaan pertama dan satu-satunya bukan UMNO iaitu Pakatan Harapan, yang memenangi pilihan raya umum 2018. Dua pemerintahan berikutnya pula bergolak dengan perbalahan dalam kalangan parti-parti Melayu yang saling bersaing untuk mendapatkan jumlah pengundi yang sama.
Kabinet Anwar dibentuk untuk menghalang pembelotan Sheraton 2.0 oleh ahli-ahli UMNO.
Bagi kebanyakan orang, pelantikan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri adalah sesuatu yang sukar diterima. Ahmad Zahid, yang memperoleh majoriti tipis untuk memenangi semula kawasan yang diwakilinya, menghadapi 47 pertuduhan berasingan yang berkaitan pengubahan wang haram dan pecah amanah semasa menyandang jawatan timbalan perdana menteri sebelum ini. Di bawah kepimpinannya, UMNO memilih untuk mengekalkan para pemimpin yang korup, terpalit dengan aib serta rendah moral berbanding mengambil langkah untuk memulihkan parti setelah tewas PRU14 pada 2018.
Liabiliti Ahmad Zahid dibalas dengan penyertaan dalam kerajaan perpaduan yang diterajui Anwar. Barisan Nasional menguasai 21 peratus kerusi menerusi enam jawatan yang diperuntukkan dalam kabinet itu.
Anwar mempunyai alasan kukuh untuk mengambil langkah ini. Pada Januari, UMNO akan mengadakan pemilihan partinya. Sepuluh daripada 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional mengundi untuk tidak menyertai kerajaan perpaduan itu. Anwar mempunyai insentif yang dapat mengekalkan Ahmad Zahid dalam kedudukan yang sangat kuat supaya beliau boleh terus menerajui partinya.
Seorang lagi timbalan perdana menteri ialah Fadillah Yusof dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang membolehkan pembentukan kerajaan perpaduan dilaksanakan. GPS mempunyai 23 kerusi di Parlimen dan turut membawa enam kerusi daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan tiga kerusi daripada Warisan.
Sokongan parti-parti yang berpangkalan di Borneo bukan sahaja memberikan Anwar majoriti yang diperlukan malah majoriti dua pertiga yang amat dimahukannya. Malaysia Timur menjadi bank undi dan sentiasa menjadi penentu dalam pilihan raya umum. Selain daripada jawatan timbalan perdana menteri, GPS memperoleh lima kerusi kabinet manakala GRS mendapat satu kerusi, yang merupakan kira-kira 22 peratus daripada kabinet itu. Ini adalah kemenangan untuk Malaysia Timur, yang sering diambil mudah dan kurang diwakili dalam kerajaan persekutuan.
Jika UMNO menjadi pemenang yang mengejutkan dalam kabinet Anwar, yang tewas besar adalah Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang sedia mengorbankan kerusi yang sepatutnya disandang parti itu berikutan prestasinya dalam pilihan raya selain kecekapan dan integriti para pemimpinnya. DAP memenangi 40 kerusi, yang kurang 2 berbanding pada 2018, dan mewakili 73 peratus daripada kerusi yang ditandinginya. Ia adalah rakan terbesar dalam Pakatan Harapan. DAP sepatutnya mewakili 28 peratus daripada jawatan kerajaan itu tetapi hanya memperoleh empat jawatan kabinet (14 peratus).
DAP sedar bahawa jika ia menyandang jawatan kabinet yang sepadan dengan kemenangannya, UMNO dan parti-parti yang berpangkalan di Borneo tidak akan menyertai kerajaan perpaduan. DAP sanggup menerima jawatan yang lebih rendah demi menolak kerajaan Bersatu-PAS, yang dipercayainya akan berusaha melucutkan hak-hak masyarakat Cina.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyerahkan watikah perlantikan kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang baru dilantik Ahmad Zahid Hamidi semasa Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikand dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara di Kuala Lumpur, 3 Dis 2022. [Reuters/ Hasnoor Hussain/Jabatan Penerangan Malaysia]
Pertumbuhan ekonomi
Matlamat kedua kabinet Anwar adalah memulihkan ekonomi, yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Ekonomi menguncup 5.6 peratus pada 2020, sebelum melantun semula kepada 3.1 peratus pada 2021. Walaupun menikmati suku kedua yang hebat, IMF menurunkan unjuran pertumbuhan 2022 kepada 5.1 berbanding 5.6 peratus.
Sementara ekonomi berkembang, pertumbuhan itu pastinya tidak diasaskan secara meluas. Malaysia mendapat manfaat daripada harga minyak, minyak sawit dan komoditi lain yang tinggi pada 2022 tetapi sektor lain mengalami kesukaran untuk berkembang. Ringgit menyaksikan penurunan nilai sebanyak 6.7 peratus pada 2022 dan pada September, ia jatuh ke paras terendah berbanding dolar Amerika Syarikat (A.S) sejak Krisis Kewangan Asia 1998. Inflasi menjelang pilihan raya umum adalah antara 4 dan 4.5 peratus tetapi makanan melebihi 7 peratus.
Pembentukan jemaah menteri mencerminkan pemulihan ekonomi yang diutamakan oleh Anwar. Beliau amat percaya bahawa usaha mendapatkan UMNO dan parti-parti Borneo belum mencukupi; beliau mesti mengikat mereka kepada pertumbuhan ekonomi. Jangka hayat kerajaan pimpinannya bukan berdasarkan semata-mata kepada langkah menghalang satu lagi cara Sheraton, tetapi kepada keabsahan yang berasaskan prestasi.
Untuk itu, beliau mendapatkan khidmat beberapa pengurus ekonomi yang cekap. Beliau mendapatkan Kementerian Kewangan untuk diterajui dirinya sendiri, setelah memegang portfolio itu dari 1991-1998, sebelum dipecat oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad ketika itu.
Pasukannya dilengkapkan dengan pelantikan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi; Senator Tengku Zafrul dari UMNO sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Timbalan Perdana Menteri dan ketua GPS Fadillah Yusof sebagai menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi; serta ahli PH dan Presiden Amanah Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Makna tadbir urus
Ini bukanlah kabinet yang digerakkan untuk meneruskan reformasi politik dan sosial. Reformasi ditangguhkan. Bersih tidak akan berpuas hati jika dan apabila pertuduhan terhadap Zahid digugurkan.
Tetapi, reformasi politik bukanlah kehendaknya.
Matlamatnya ialah untuk menghalang rampasan kuasa cara Sheraton, yang menggagalkan kehendak rakyat, dan memulihkan ekonomi.
Kerajaan Anwar adalah 25 peratus lebih kemas daripada dua kerajaan terdahulu, yang sepatutnya memudahkan penyelarasan dan penggubalan dasar.
Undang-undang “anti-lompat” Malaysia mengharamkan ahli parlimen yang dipilih di bawah panji satu parti daripada menyertai parti lain pada pertengahan penggal. Namun, lopongan tetap ada.
Dan, undang-undang itu tidak melakukan apa-apa untuk menghalang parti-parti gabungan itu daripada mendapatkan sokongan.
Anwar yakin kabinetnya akan melakukan banyak perkara untuk mendapatkan sedikit kestabilan politik dan akan cuba membuktikannya dalam undi percaya pada 19 Dis ini di Parlimen. Namun, pada akhirnya beliau masih mengetuai pakatan gabungan, yang ahli-ahlinya akan sentiasa melakukan tindakan demi kepentingan politik mereka.
Zachary Abuza ialah profesor di National War College dan profesor adjung di Georgetown University di Washington. Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pendapatnya sendiri dan tidak mewakili pendirian Jabatan Pertahanan AS, National War College, Georgetown University atau BenarNews.