Mampukah kerajaan Anwar bertahan di Malaysia?
2023.08.04
Kerajaan Pakatan Harapan Malaysia sentiasa dalam keadaan tidak menentu. Dan, ia bakal menghadapi perhitungan itu apabila pengundian di enam negeri yang mempunyai majoriti penduduk Melayu diadakan pada 12 Ogos ini.
Pakatan Harapan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan bertanding dalam pilihan raya enam Dewan Undangan Negeri ini bersama-sama UMNO, rakan dalam kerajaan persekutuannya. Mereka menghadapi tentangan sengit daripada Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin, yang ditampilkan sebagai parti bagi orang Melayu Islam - pangkalan pengundi yang sebelum ini dikuasai oleh UMNO atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu.
Selepas pilihan raya umum pada November lalu, kedua-dua gabungan itu bersaing untuk membentuk kerajaan. Keadaan ini berterusan selama beberapa hari sehingga menyebabkan Parlimen tergantung.
Pakatan Harapan memenangi 82 kerusi manakala Perikatan Nasional memperoleh 74 kerusi.
Bagi Perikatan Nasional, anggotanya iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merupakan parti tunggal memperoleh undi terbanyak dengan memenangi 49 kerusi. Perikatan Nasional dapat menawan kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan pengundi Melayu.
Kedua-dua gabungan itu mahukan sokongan daripada parti-parti Melayu utama yang lain. Ia terdiri daripada UMNO yang terpalit pelbagai isu yang hanya memenangi 26 kerusi dan dua gabungan dari Malaysia Timur iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mendapat 23 kerusi dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memperoleh enam kerusi.
Selepas melakukan tawar menawar, Anwar muncul sebagai pemenang apabila dapat menghimpunkan 148 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi dan dinamakan sebagai perdana menteri. Beliau bersetuju untuk bergabung dengan UMNO, parti yang ditentang hebat oleh rakan pakatannya pada pilihan raya umum 2018, apabila Pakatan Harapan berkempen mahu membersihkan kerajaan daripada rasuah yang berleluasa.
Namun, ia sentiasa akan menjadi Pakatan Harapan yang rapuh merangkumi parti-parti yang saling tidak mempercayai satu sama lain.
Sementara itu, Perikatan Nasional tidak pernah berputus asa untuk melakukan satu lagi Langkah Sheraton, seperti yang berlaku pada 2020. Pada masa itu, ia menyebabkan beberapa parti Melayu berpaling tadah daripada Pakatan Harapan yang ketika itu menerajui kerajaan pembangkang pertama dalam sejarah negara.
Bekas Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin melambai di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 10 Mac 2023. [Hasnoor Hussain/Reuters]
Keabsahah Muhyiddin
Bolehkah Perikatan Nasional melakukannya lagi? Nampaknya, ia boleh.
Walaupun kerajaan membawa beberapa berita baik dari segi ekonomi, beberapa pelaburan asing baharu, pulangan pelancongan dan pertumbuhan 5.6 peratus pada suku pertama 2023, namun, masih ada ruang untuk ia berwaspada.
Inflasi kekal agak tinggi, kos sara hidup melambung naik dan eksport tidak berubah. Janji-janji pelaburan asing termasuk AS$39 bilion dari China, belum lagi terikat dan mungkin tidak muncul. Ringgit yang lemah mungkin membantu pengeksport tetapi ia menyebabkan pembayaran hutang dan import yang mahal.
Kemarau yang disebabkan oleh corak cuaca El Niño, selain peningkatan suhu, telah memburukkan lagi pertanian.
Malah, kerajaan menghadapi pelbagai isu yang menyebabkan perpecahan.
Pertama, potensi pengampunan bekas Perdana Menteri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun atas sabitan kes 1MDB. Kemungkinan pembebasan beliau atas dakwaan berlakunya gangguan saksi telah membangkitkan harapan para penyokongnya.
Kedua, kerajaan Anwar menarik balik rayuannya terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah "Allah" untuk "Tuhan." Ini menyebabkan Perikatan Nasional amnya, dan PAS khususnya, untuk mengisytiharkan bahawa Anwar tidak sanggup mempertahankan Islam dan kepentingan Melayu Islam.
Terdapat pelbagai isu sosial lain yang boleh menjadi bahan bagi Perikatan Nasional termasuk yang berkaitan hak-hak minoriti agama dan komuniti LGBTQ terutamanya susulan pembatalan satu festival muzik selepas berlakunya aksi ciuman sesama jenis di pentas persembahan.
Apa yang utama ialah Muhyiddin mempunyai keabsahan dan bukan sahaja politik untuk menjatuhkan kerajaan Anwar.
Pada 9 Mac 2023, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan bekas perdana menteri itu atas dakwaan salah guna kuasa dengan meminta rasuah dan pengubahan wang haram. Beliau didakwa atas enam pertuduhan secara keseluruhannya. Muhyiddin berkata penahanan itu bermotifkan politik, dan pendapatnya itu turut dikongsi secara meluas oleh para penyokong gabungannya.
Pengundian di enam negeri majoriti penduduk Melayu
Bagi Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional, banyak perkara mempunyai kaitan dengan pilihan raya negeri minggu depan.
Antara enam negeri tersebut - Kelantan, Terengganu dan Kedah kini dikuasai PAS. Calon-calon Perikatan Nasional akan mendominasi ketiga-tiga negeri itu. Pada pilihan raya umum 2022, calon-calon Perikatan Nasional menyapu bersih setiap kerusi di tiga negeri itu. Orang Melayu terdiri daripada 95 peratus pengundi di Kelantan dan Terengganu manakala 76 peratus di Kedah.
Baki tiga negeri lain pula dikuasai oleh Pakatan Harapan tetapi dua daripadanya menjadi rebutan dan berkemungkinan menarik undi etnik Melayu. Undi Melayu di Negeri Sembilan ialah sebanyak 56 peratus manakala Selangor adalah sebanyak 61 peratus.
Pulau Pinang adalah negeri paling selamat untuk Pakatan Harapan namun, ia tidak boleh mengambil mudah mengenai perkara itu. Perikatan Nasional memperoleh banyak peluang di Pulau Pinang dan pada pilihan raya umum November lalu.
Ironinya, Pakatan Harapan kini amat bergantung kepada rakan gabungan dan musuh lamanya, UMNO, untuk memenangi semula hati orang Melayu, yang membentuk hampir 70 peratus penduduk negara ini.
UMNO bertanding 108 kerusi daripada 245 kerusi di enam Dewan Undangan Negeri itu, tetapi parti berkenaan dibayangi keadaannya seperti sebelum ini.
Walaupun ia masih mempunyai jentera politik yang luas, UMNO telah kehilangan banyak undi Melayu kepada saingannya dalam Perikatan Nasional kerana ia dan kepimpinannya terpalit dengan rasuah. Gabungannya dengan Pakatan Harapan secara amnya dan Parti Tindakan Demokratik yang didominasi etnik Cina khususnya juga tidak mungkin membantu memenangi semula ramai pengundi Melayu.
Kerajaan Anwar pada masa ini mempunyai 148 daripada 222 kerusi, tetapi ia bukan kedudukan yang selesa seperti yang disangkakan – Perikatan Nasioanl hanya perlu mendapatkan 38 kerusi sahaja lagi.
Hampir separuh daripada 26 ahli UMNO, yang pada mulanya menentang untuk menyertai Pakatan Harapan, telah pun mengancam untuk berpaling tadah kepada gabungan Muhyiddin. Anwar boleh menahan kehilangan itu daripada berlaku namun ia sukar dihalang.
Penyokong Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengibarkan bendera parti dan bendera gabungan politiknya, Perikatan Nasional, semasa kempen pilihan raya umum Malaysia di Permatang Pauh, Pulau Pinang, Malaysia, 18 Nov. 2022. [Hasnoor Hussain /Reuters]
Kemungkinan yang bakal berlaku
Tetapi, jika Perikatan Nasional dapat meraih kemenangan besar seperti yang dijangkakan dalam pilihan raya negeri itu, ini pastinya membawa implikasi nasional. Muhyiddin akan mendakwa bahawa ia mempunyai mandat untuk membentuk kerajaan baharu dan mendesak pembelotan daripada UMNO.
Dan, ini boleh membuka laluan kepada: GRS (6 kerusi) dan GPS (23 kerusi) boleh terpengaruh untuk berpaling tadah terutamanya jika majoriti ahli-ahli UMNO menerajui laluan itu – untuk menyebabkan kerajaan tumbang.
Anwar sedar tentang kemungkinan itu.
Beliau telah berkempen di negeri-negeri itu dengan membentangkan pengurusan ekonominya, menggembar-gemburkan pelaburan asing malah menghebahkan mengenai pelaburan besar Tesla di Selangor iaitu projek yang mahu direbut oleh Indonesia. Beliau juga mungkin melakukan rombakan kabinet, tugasan besar dan kontrak kerajaan bagi mendapatkan sokongan politik yang mencukupi daripada sekutut Pakatan Harapan.
Anwar telah mengingatkan orang ramai tentang ketidakstabilan politik yang berlaku akibat daripada Langkah Sheraton sehingga menjejaskan ekonomi dengan teruk.
Kerajaan baharu pimpinan Perikatan Nasional mungkin tidak stabil seperti mana kerajaan yang dibentuk selepas 2020 dan sehingga November 2022, yang berpunca daripada perbalahan politik yang berterusan.
Kerajaan yang dipimpin oleh PAS yang fundamental Islam akan mengetepikan golongan minoriti negara dan penduduk yang mudah terjejas. Dengan semua alasan itu, ekonomi akan terjejas dengan teruk.
Namun, di sebalik kesan yang perlu dihadapi itu, politik identiti kekal menjadi kuasa penggerak, dan gabungan serta agenda pelbagai etnik Pakatan Harapan kini diserang hebat apabila etnik Melayu menyokong parti yang komited untuk memajukan kepentingan golongan bumiputera negara.
Zachary Abuza ialah profesor di National War College dan profesor adjung di Georgetown University di Washington. Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pendapatnya sendiri dan tidak mewakili pendirian Jabatan Pertahanan AS, National War College, Georgetown University atau BenarNews.