Malaysia perlu banteras sindiket jenayah kaut berbilion wang rakyat
2024.11.21
Sindiket jenayah global telah mengambil kesempatan di atas sikap keterbukaan Malaysia dengan membina sekutu dengan organisasi jenayah tempatan dan mengeksploitasi jurang yang berlaku dalam tadbir urus.
Pihak berkuasa melakukan tindakan undang-undang tetapi setakat ini. ia masih gagal melindungi mangsa dengan secukupnya atau menghargai bahawa perubahan yang lebih asas diperlukan.
Malaysia telah lama berada di barisan hadapan dalam membanteras penipuan. Secara purata, rakyat negara itu menghadapi pelbagai percubaan penipuan setiap hari, dengan tinjauan Ipsos melaporkan tahun ini sebanyak 76 peratus rakyat telah mengalami penipuan dan 51 peratus menjadi mangsa penipuan.
Penipu yang terlibat dengan sindiket jenayah rentas sempadan telah mempergunakan Malaysia untuk melakukan inovasi kaedah penipuan.
Dari segi sejarah, taktik utama yang digunakan sindiket penipuan adalah melibatkan penyamaran sebagai pegawai kerajaan atau pegawai polis sebagai sebahagian daripada kaedah untuk memeras ugut.
LAPORAN BERKAITAN
Penipuan pekerjaan: 700 rakyat Malaysia ditahan sebagai tebusan di Zon Ekonomi Khas Laos
Sekatan AS Bantu Tumpas Sindiket Jenayah Malaysia
Kini, penipu mempergunakan kecerdasan buatan (AI) dengan menyamar sebagai suara dan selebriti, termasuk yang terbaru melibat penyanyi terkenal Malaysia Siti Nurhaliza.
Mereka juga berani menyamar sebagai pegawai di Pusat Tindak Balas Penipuan Nasional (NSRC) yang diasaskan dua tahun lalu.
Warga China dan organisasi jenayah global lain telah mengambil kesempatan daripada keterbukaan Malaysia yang membenarkan kemasukan tanpa visa dengan membawa anggota sindiket secara beramai-ramai untuk menjalankan operasi di Malaysia dan bersekongkol dengan kumpulan tempatan.
Taktik pelbagai bentuk pemerasan telah memberikan laluan kepada wujudnya penipuan secara sistematik melibatkan skim pelaburan palsu yang telah diamalkan, penipuan percintaan, pemerasan seksual dan tawaran pekerjaan palsu melalui dalam talian.
Daripada hanya untuk mengaut laba yang kecil, penipu begitu licik menggunakan helah psikologi untuk 'menyedut' sepenuhnya aset mangsa.
Kemudaratan serius
Kerugian kewangan sangat besar telah berlaku. Data rasmi menunjukkan, kerugian akibat penipuan sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah mencecah RM8.9 bilion [AS$2 bilion].
Memandangkan kaji selidik menunjukkan kebanyakan mangsa tidak melaporkan kes penipuan yang mereka alami, anggaran yang lebih realistik adalah lebih tinggi.
Global Anti-Scam Alliance (GASA) menganggarkan Malaysia mengalami kerugian sebanyak RM57.2 billion [AS$12.8 bilion] berdasarkan “State of Scam Report 2024” atau tiga peratusan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Angka sebenar mungkin lebih tinggi kerana pemindahan kekayaan melimpah ruah sedang berlaku kerana dana daripada rakyat biasa masuk ke tangan kumpulan penjenayah.
Sindiket menyasarkan mangsa yang berbeza bagi penipuan yang mereka jalankan dengan generasi muda lebih terdedah kepada penipuan tawaran pekerjaan palsu. Mangsa yang lebih tua pula disasarkan dalam penipuan yang biasa berlaku.
Akibat kebocoran data peribadi yang dimiliki oleh kerajaan, beberapa kelompok masyarakat di Malaysia telah menjadi mangsa penipuan terutamanya guru dan penjawat awam yang bakal bersara.
Berdasarkan data mengikut negeri, penduduk Sarawak menjadi sasaran yang paling tinggi terutamanya di kawasan luar bandar.
Tidak ada seorang pun rakyat Malaysia yang terlepas daripada panggilan dan percubaan pancingan data dengan mangsa yang terdiri daripada pelbagai kumpulan umur dan komuniti.
Penumpang bermain mesin slot di dalam kapal persiaran Costa Serena yang berlabuh di Pelabuhan Klang, di pinggir Kuala Lumpur, 19 Jan 2024. Pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim sedang mempertimbangkan untuk membuka kasino baharu di Malaysia. [Mohd Rasfan/AFP]
Kemudaratan yang dialami melampaui kerugian kewangan yang memusnahkan. Sejak sekian lama dikenali sebagai destinasi dan hab transit bagi pemerdagangan manusia, rakyat Malaysia telah diperdagangkan dalam jumlah yang belum pernah berlaku sebelum ini bagi menjadi hamba dalam sindiket penipuan.
Kementerian Luar menyatakan, sebanyak 707 rakyat Malaysia yang terjebak dalam penipuan pekerjaan di luar negara berjaya diselamatkan dengan baki 199 orang masih belum diketahui nasib mereka.
Angka itu hanya melibatkan mereka yang dilaporkan kepada pihak berkuasa, dengan pertubuhan bukan kerajaan dan operasi menyelamat yang lain menganggarkan mangsa pemerdagangan jauh jauh lebih tinggi iaitu lebih 5,000 orang.
Sehingga kini lebih 200 rakyat Malaysia telah hilang atau meninggal dunia. Beribu-ribu lagi mangsa yang tidak bersalah yang terperangkap dalam tawaran pekerjaan palsu dalam talian terpaksa menipu untuk terus hidup, berdepan dengan penyeksaan atau kematian.
Jenayah yang dipaksa ini sering menyebabkan individu tersebut menjadi mangsa tindakan pihak berkuasa hingga menyebabkan hidup mereka musnah.
Berbeza dengan Thailand, Malaysia masih belum menyediakan protokol mangsa yang mengiktiraf jenayah paksa dan mengambil kira sepenuhnya perbuatan perhambaan yang tidak berperikemanusiaan dalam kawasan penipuan yang terletak di negara jiran ASEAN, terutamanya Myanmar, Kemboja dan Laos.
Menangani jurang tadbir urus
Media sering menggambarkan kengerian mangsa di kawasan penipuan itu termasuk dirogol dan dipukul. Malah, Malaysia telah membuat permulaan yang baik dalam membangkitkan kesedaran dalam kalangan orang awam tentang penipuan dan peningkatan risiko pemerdagangan.
Melangkah ke hadapan untuk meningkatkan kesedaran, perlu ada lebih banyak jangkauan kepada komuniti yang terdedah termasuk remaja di sekolah dan warga tua melalui penglibatan komuniti.
Kerjasama dengan masyarakat sivil sangat penting. Malaysia juga telah memperketat peraturan penipuan dalam talian dengan mewujudkan NSRC, bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dalam kalangan pihak berkuasa dan penglibatan sektor swasta, terutamanya bank.
Proses baharu seperti "suis membunuh" telah disediakan untuk menghentikan pemindahan wang di bank.
Terdapat kurang daripada 50,000 kertas penyiasatan dibuka namun kurang daripada lima peratus dapat dibawa ke peringkat pendakwaan di mahkamah dan hanya sedikit dapat disabitkan kesalahan dan dihukum.
Terdapat pelbagai jurang dalam tadbir urus. Pertama, ia bermula dengan penafian. Penipuan terlalu kerap digambarkan sebagai ancaman luar, dengan kegagalan untuk menangani keadaan yang membolehkan dan mengakui peranan yang dimainkan oleh sesetengah rakyat Malaysia dalam menyokong operasi haram di rantau ini.
Gejala rasuah memudahkan ekonomi haram dan diperkukuh dengan kumpulan jenayah tempatan yang meluas. Ramai penjenayah mengambil kesempatan daripada peraturan yang terhad untuk menjalankan perniagaan yang sah untuk melindungi kegiatan jenayah.
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim bercakap semasa pertemuan dengan Presiden Peru Dina Boluarte di Istana Kerajaan di Lima di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik, 13 Nov 2024. [Ernesto Benavides/AFP]
Penjenayah kerap menggunakan aktiviti kutipan derma untuk melakukan pengubahan wang dan menjalin hubungan dengan golongan elit.
Penipuan kini merupakan perniagaan yang besar, dengan terlalu ramai yang semakin berminat menjana kewangan tanpa menyelidik dari mana dana itu diperoleh dan tidak menghargai nilai nyawa yang terlibat.
Terdapat penentangan terhadap undang-undang untuk menghalang perjudian dalam talian yang menjadi pintu masuk untuk penipuan.
Kasino
Daripada mengurangkan perjudian, pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim didakwa sedang mempertimbang untuk membuka kasino baharu tanpa meletakkan perlindungan yang diperlukan bagi memastikan bahawa pusat perjudian itu tidak membolehkan jenayah dilakukan melalui pengubahan wang haram dan penyalahgunaan mata wang kripto.
Tiada penalti untuk pemboleh penipuan atau perlindungan untuk pemberi maklumat operasi penipuan. Mangsa mempunyai peluang terhad melalui undang-undang untuk mendapatkan keadilan.
Berkenaan dengan pembinaan institusi, penubuhan NSRC dan "hotline" merupakan langkah yang baik.
Melalui langkah itu, pihak berkuasa berjaya merampas dana sejumlah AS$10 juta (RM44.7 juta) dan menjalin kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta.
Malangnya, ia telah terperangkap dalam pertempuran dalam kalangan agensi dan kekurangan kepimpinan.
Kerajaan perlu melantik seorang ‘pengarah bebas’ yang dilengkapi sumber tambahan bagi mengetuai langkah menghapuskan sindiket penipuan ini.
Reformasi pentadbiran juga boleh membantu. NSRC boleh memperluaskan capaian dan memastikan semua portal yang menjejaki aktiviti penipuan boleh diakses oleh orang awam, bukan hanya satu portal sahaja.
Sebagai pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia mempunyai peluang untuk menunjukkan kepimpinan serantau dalam menangani masalah serius ini yang memerlukan pelbagai penyelesaian. Titik permulaan utama adalah dengan mengakui dimensi tempatan masalah ini dan mengambil langkah untuk mengatasinya.
Seorang penyelidik bebas, Bridget Welsh merupakan rakan penyelidik kehormat di Institut Penyelidikan Asia Universiti Nottingham Malaysia di Kuala Lumpur dan Felo Bersekutu Kanan Pusat Habibie. Pandangan yang dinyatakan di sini merupakan buah fikiran beliau sendiri dan tidak mencerminkan pendirian Universiti Nottingham Malaysia, Pusat Habibie atau BenarNews.