Sektor teknologi Malaysia melonjak meskipun berdepan potensi kemelut dengan AS
2024.06.21

Langkah mempelbagaikan rantaian bekalan jauh dari China adalah satu rahmat buat Asia Tenggara dan keutamaan bagi kerajaan AS. Namun ia boleh mewujudkan ketegangan baharu jika rantaian bekalan itu lebih cenderung ke arah menyokong musuh-musuh Washington.
Perkara ini benar terutama jika ia melibatkan Malaysia.
Kecuali Filipina, negara Asia Tenggara lain agak keberatan untuk ditarik ke kancah persaingan antara kuasa besar dan telah menyatakan pendirian mereka yang berkecuali.
Bagaimanapun, bagi Amerika Syarikat, tiada sebarang keneutralan mengenai tindakan membekalkan semikonduktor dan peralatan berteknologi tinggi dwiguna lain kepada negara pesaingnya termasuk yang berada di bawah sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Sejak Rusia menyerang Ukraine pada Februari 2022, pentadbiran Joe Biden telah mengenakan sekatan ke atas firma Malaysia, Indonesia dan Vietnam yang membekalkan produk kepada syarikat Rusia atau Iran.
Nampaknya pemantauan ketat sedemikian akan terus dipergiat.
Komuniti perisikan AS memperluas usaha menyiasat bagaimana Rusia, Iran dan Korea Utara mengelakkan sekatan antarabangsa serta memperoleh teknologi dwiguna. Ini termasuk analisis forensik terhadap senjata dan amunisi yang digunakan di medan perang.
Bagi kerajaan Malaysia, Indonesia dan Vietnam, memupuk pertumbuhan ekonomi adalah keutamaan begitu juga dengan langkah mengekalkan autonomi strategik.
Tiada negara yang mendapat manfaat lebih banyak daripada cip peperangan AS-China selain Malaysia.
Ekonomi Malaysia semakin berkembang namun ia belum pulih sepenuhnya daripada pandemik koronavirus. Kuala Lumpur menerima ikrar pelaburan langsung asing bernilai AS$40 bilion pada 2023, beberapa ganjaran yang akhirnya diterima selepas berehat sebentar daripada ketidakstabilan politik yang menyaksikan Malaysia mempunyai lima Perdana Menteri berbeza dari tahunn 2018 hingga 2022.
Industri semikonduktor Malaysia sentiasa besar. Kira-kira 13% daripada ujian dan pembungkusan cip global berlaku di negara itu. Di peringkat global, ia adalah pengeksport semikonduktor keenam terbesar. The Financial Times menganggarkan bahawa 20% daripada import cip AS adalah dari Malaysia.
Eksport semikonduktor pada 2023 bernilai $81.4 bilion.
Kerajaan menjangkakan pelaburan bernilai lebih $100 bilion dalam industri semikonduktornya. Pada tahun lepas, pelaburan yang diikrarkan berjumlah $12.8 bilion iaitu melebihi jumlah bagi tempoh antara 2013 dan 2020.
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim bercakap kepada para hadirin di persidangan Semicon Asia Tenggara 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia di Kuala Lumpur, 28 Mei 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Ikrar pelaburan baru-baru ini juga amat mengagumkan.
Intel mengumumkan kemudahan pembungkusan cip bernilai $7 bilion manakala Infineon dari Jerman mengumumkan dana pengembangan sebanyak $5.4 bilion dan fasiliti ketiga iaitu AT&S dari Austria turut merancang untuk melabur. Pengeluar peralatan semikonduktor terkemuka iaitu firma Belanda ASML pula mengumumkan bahawa ia akan membina fasiliti pembuatan di Pelabuhan Klang.
Bangunkan bakat tempatan
Menyedari bahawa antara faktor yang terhad ialah modal insan, Malaysia telah memperuntuk $5.3 bilion bagi melatih 60,000 pereka dan jurutera cip dalam tempoh lima tahun akan datang.
Selain membangunkan bakat tempatan, Malaysia berusaha mengukuhkan kapasiti untuk semua fasa reka bentuk dan pengeluaran.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan berharap untuk memiliki sekurang-kurangnya 10 syarikat dengan hasil antara $210 juta dan $1 bilion. Kerajaan mengumumkan bahawa ia dan Khazanah Nasional, sebuah dana kekayaan negara, akan melabur dalam taman reka bentuk litar bersepadu terbesar di rantau ini di Selangor.
Bagaimanapun, kesemua langkah ini ternyata meletakkan Malaysia dalam keadaan yang semakin tidak sebulu dengan AS.
Sebelum perang Ukraine, Malaysia membekalkan Rusia dengan satu pertiga daripada semikonduktornya. Pada permulaan peperangan itu, duta Malaysia ke Rusia mengumumkan bahawa Kuala Lumpur akan terus memberikan bekalan kepada Moscow. Perkara itu telah menyebabkan Washington memberikan teguran.
Pada 1 Mei lepas, kerajaan AS mengenakan sekatan ke atas firma Malaysia, Jatronics, kerana membekalkan semikonduktor kepada Rusia.
Para pegawai kerajaan di Kuala Lumpur dengan pantas menyatakan bahawa Jatronics bukanlah pengeluar sebaliknya syarikat perdagangan yang beroperasi tanpa lesen eksport.
Sementara itu, Kementerian Luar Malaysia berikrar untuk menegakkan kewajipan antarabangsa negara itu dan bekerjasama dengan Kedutaan AS.
Namun begitu, Anwar menyelar tindakan AS mengenakan sekatan.
“Saya menawarkan negara kita sebagai lokasi paling neutral dan berkecuali untuk pengeluaran semikonduktor, bagi membantu membina rantaian bekalan semikonduktor global yang lebih selamat dan berdaya tahan,” katanya kepada para hadirin di pameran perdagangan Semicon Asia Tenggara 2024 di Kuala Lumpur bulan lepas.
Pautan ke program dron Iran
Firma Malaysia pernah berada di bawah pengawasan AS kerana membekalkan program dron Iran, yang juga adalah pembekal utama kepada Rusia.
Pada April 2023, Jabatan Perbendaharaan AS telah mengenakan sekatan ke atas sebuah firma.
Pada Disember 2023, ia mengenakan sekatan ke atas empat firma lain kerana menjual enjin, litar, elektronik dan komponen lain, yang secara rasminya dikenali sebagai Common High Priority List Items."
Dua firma Indonesia turut dikenakan sekatan pada masa yang sama.
Selain separa konduktor, terdapat beberapa cadangan pelaburan dalam pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan daripada Nvidia ($4.3 bilion), Google ($2 bilion), Perkhidmatan Web Amazon ($6 bilion) dan Microsoft ($2.2 bilion).
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim (kanan) menghadiri telesidang video dengan pemimpin perniagaan termasuk Ruth Porat, Presiden merangkap Ketua Pegawai Kewangan Alphabet Inc. (kiri dalam skrin), di Putrajaya, Malaysia, 30 Mei 2024. [Pejabat Perdana Menteri Malaysia melalui AP]
Kerajaan AS sedang menentukan cara bagi memastikan teknologi ini tidak digunakan oleh musuh. Malaysia adalah antara negara yang cuba menghalang apa yang disifatkannya sebagai perluasan undang-undang AS.
Satu lagi bidang yang berpotensi mencetuskan konflik ialah pelaburan China dalam sektor teknologi tinggi Malaysia. Dari satu segi, ia hanyalah satu perniagaan yang baik terutama apabila pasaran domestik China semakin perlahan.
Bagaimanapun, terdapat kebimbangan di pihak Washington bahawa firma China di Malaysia, Vietnam dan tempat lain membuka kedai sama ada untuk membeli peralatan yang dikenakan sekatan atau bagi melindungi eksport ke negara yang dikenakan sekatan termasuk Rusia, Iran dan Korea Utara. Malaysia mempunyai hubungan dengan ketiga-tiganya.
Kerajaan Belanda misalnya, tunduk kepada tekanan AS dan menafikan lesen eksport ASML ke China. Kerajaan AS telah mengenakan larangan menyeluruh terhadap eksport semikonduktor tertentu.
Pelaburan terbaru oleh firma China termasuk Star Five, yang sedang membina pusat reka bentuk, dan Tong Fu Microelectronics.
Teknologi bukanlah satu-satunya titik pergeseran. Pada awal Mei lepas, dua pegawai kanan Jabatan Perbendaharaan AS telah ke Kuala Lumpur kerana terdapat "peningkatan wang yang dipindahkan ke Iran serta proksinya termasuk Hamas melalui sistem kewangan Malaysia."
Sokongan diplomatik dan material untuk Hamas tidak mungkin berhenti. Peperangan di Gaza telah menimbulkan keresahan dua hala dan Washington nampaknya tidak menyedari betapa mendalam sikap anti-Amerikanisme baik dalam kerajaan mahupun pembangkang. Anwar pula telah mengadakan pertemuan dengan Ismail Haniyeh, ketua militan Hamas, di Qatar pada Mei lepas.
Para pegawai Jabatan Perbendaharaan AS berhasrat membincangkan tindakan pemindahan minyak mentah Iran dari kapal ke kapal di perairan Malaysia.
Walaupun Pengawal Pantai Indonesia yang kecil dan kekurangan dana telah dua kali mengumumkan secara terbuka langkah menghalang pemindahan minyak kapal ke kapal dari kapal tangki Iran, Malaysia dilihat seolah-olah membutakan mata dan memekakkan telinga meskipun berdepan ancaman sekatan PBB. Malah Malaysia mengeksport lebih banyak minyak daripada yang dikeluarkan.
Sebahagian besar kerajaan di Asia Tenggara bergelut menangani sekatan unilateral AS dan ancaman sekatan sekunder termasuk kehilangan akses kepada pasaran Amerika dan Barat yang lain. Bagaimanapun, bagi Amerika Syarikat, langkah mempelbagaikan rantaian bekalan jauh dari China adalah satu matlamat, perlu ada kawalan untuk menghalang teknologi daripada jatuh ke tangan musuh.
Zachary Abuza ialah profesor di National War College dan profesor adjung di Georgetown University di Washington. Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pendapatnya sendiri dan tidak mewakili pendirian Jabatan Pertahanan AS, National War College, Georgetown University atau BenarNews.