Tentera Filipina Berdepan Pertempuran Dengan Pejuang Negara Islam
2016.04.19
Pertempuran paling sengit membabitkan sebuah kumpulan yang dikaitkan dengan Negara Islam (IS) di Asia Tenggara berlaku di pulau Basilan, Filipina, pada 9 April 2016, walaupun kerajaan tidak mengakuinya sebagai pertarungan di antara Angkatan Tentera Filipina (AFP) dan kumpulan IS yang diketuai oleh Isnilon Hapilon.
Pertempuran itu menyebabkan 18 anggota tentera terbunuh dan 53 orang lagi cedera, yang merupakan kehilangan besar buat kerajaan.
Hapilon adalah bekas timbalan ketua Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) dan pemimpin IS bagi selatan Filipina. Bekas ahli ASG yang berpangkalan di Basilan telah menyatakan ikrar setia kepada Abu Bakr al Baghdadi pada 2015 dan bergabung dengan kumpulan-kumpulan lain yang berkaitan dengan IS.
Kumpulan seramai 125 orang itu yang diketuai oleh Hapilon menunjukkan mereka mampu bertahan dan berperang dengan AFP. Dengan mengeksploitasikan kejayaan mereka baru-baru ini, berkemungkinan besar IS akan mengisytiharkan sebuah wilayat di Kepulauan Sulu.
Jika Filipina tekad mencegah kebangkitan IS di Mindanao dan dengan implikasinya terhadap Asia Tenggara, kerajaan negara itu perlulah mengambil serius tentang ancaman itu. Daripada menafikan kewujudan IS, kerajaan perlu menjadikan memerangi IS sebagai keutamaan keselamatan negara dan meningkatkan kerjasama dengan rakan-rakan di Asia Tenggara untuk membendung dan menghentikan ancaman itu.
IS tingkatkan keupayaan di Filipina
IS semakin bersungguh-sungguh meluaskan pengaruhnya dan membina keupayaannya di utara, selatan dan barat Mindanao di Filipina.
Di utara Mindanao, Tawhid Wal Jihad telah dinamakan semula sebagai Negara Islam Lanao di Butig. Walaupun pusat IS di Syria dan Iraq tidak mengakui kumpulan yang berpangkalan di Butig sebagai cawangan rasminya, kewujudannya membawa ancaman utama dengan ahli-ahlinya telah berjuang menentang AFP dan menahan beberapa orang tebusan awam.
Di selatan Mindanao, Ansar Khalifah Mindanao telah bertempur dengan AFP dan melakukan pemenggalan kepala gaya IS. Kumpulan itu terlibat dalam pemindahan senjata kepada IS Indonesia dan menjadi tuan rumah kepada pengajar membuat bom Indonesia, Ibrahim Ali Sucipto, yang terbunuh pada 26 November 2015.
Entiti IS yang paling penting ialah unit Hapilon yang terdiri daripada bekas ahli-ahli ASG yang berpangkalan di Basilan. Unit itu, yang dianggap sebagai entiti rasmi IS di Filipina, tampil ke depan apabila Hapilon bersatu dengan beberapa pejuang dari Malaysia.
Tawaran $5 juta untuk pembunuhan atau penangkapan Hapilon
Operasi AFP pada 9 April bertujuan menawan Al Barka, pangkalan IS, bagi melepaskan tebusan asing dan membunuh atau menangkap Hapilon, yang menjadi subjek tawaran $ 5 Juta daripada Amerika Syarikat.
AFP mendapat sokongan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang mengekalkan gencatan senjata dengan kerajaan sejak Mac 2014. Hubungan MILF dengan ASG merosot selepas MILF menyertai proses damai dan ASG Basilan menyertai IS.
MILF memaklumkan AFP bahawa pangkalan IS adalah lima kilometer dari masyarakat MILF di Sitio Bohe dalam perkampungan di Macalang. AFP telah meminta MILF meninggalkan kawasan itu dan ketika pejuang dan keluarga mereka berpindah, IS yang dalam keadaan amat bersedia, berdepan dengan AFP. Semasa pertempuran selama 10 jam di kampung Tipo-Tipo, AFP tidak menjangka langsung tentang persediaan IS berdepan dengannya.
Julie S. Alipala, yang menulis "Neraka di Basilan: Letupan Diikuti Tembakan Serata Tempat" pada 10 April, 2016 dalam Inquirer Mindanao, menekankan tentang kegagalan tentera untuk bersedia secukupnya bagi melawan IS. Antara yang cedera ialah Komander Batalion Ke-44, Kolonel Tommy Crosby, dan pegawai lain.
AFP turut menemui mayat pejuang Maghribi, Mohammad Khattab, seorang pakar bahan letupan.
Propaganda isu IS selepas pertempuran
Dalam satu kenyataan bertajuk: "100 Tentera Salib Filipina Terbunuh dalam Operasi Pejuang Khalifah di Filipina," bertarikh 5 Rejab 1437 (13 April, 2016), "Negara Islam, Filipina" menyatakan: "Tentera Khalifah telah dapat, dengan rahmat Allah yang Maha Kuasa, menangkis percubaan Tentera Salib Filipina merampas kawalan terhadap kedudukan mujahidin di Filipina.
"Dengan rahmat Allah, tujuh kenderaan pengangkut tentera telah diletupkan dan mereka yang berada di dalamnya terbunuh, dan terdapat juga pertempuran dengan musuh, yang membunuh beberapa tentera lain, dan selebihnya melarikan diri, dikalahkan dan dalam keadaan hina, dengan rahmat Allah. Hasil daripada operasi ini dapat membunuh hampir 100 orang dan mencederakan berpuluh-puluh tentera Salib, dan tiga beradik mujahidin mati syahid, kami menganggap mereka sebegitu dan Allah mengetahui bahawa mereka adalah yang terbaik. "
IS mempunyai kawalan wilayah di Filipina
IS telah menubuhkan kawalan wilayah dan pangkalan latihan di Filipina. Perjuangan menentang IS memerlukan tahap komitmen dan kepimpinan yang lebih tinggi. Daripada menggunakan pasukan-pasukan tujuan umum, adalah penting meletakkan pasukan-pasukan operasi khas menerajui pertempuran itu.
Dengan aset perisikan yang terbaik, Komander Operasi Khas AFP perlu berpindah ke Basilan dan kekal berada dalam Kepulauan Sulu sehingga semua kumpulan yang berikrar setia kepada IS dihapuskan dan pemimpin mereka ditangkap atau dibunuh. Inilah masa yang terbaik untuk menggerakkan dan melancarkan operasi ketenteraan diterajui perisikan tanpa kompromi ketika seluruh negara akan bersatu menyokong AFP melaksanakan pengorbanan bersejarah mereka.
Jika tidak, pengaruh IS akan berkembang secara perlahan-lahan dan berterusan, iaitu fenomena yang disaksikan sejak tahun lepas. Dengan kerajaan baru bakal mengambil alih kepimpinan di Manila tidak lama lagi, presiden baru perlu berdepan dengan kebangkitan IS.
Manila perlu terus bekerjasama dengan MILF dalam pelbagai operasi pencegahan dan jangkaan demi mengelak IS daripada merebak dan berkembang. Kerajaan-kerajaan di rantau ini perlulah menyokong Manila dan mencegah kemasukan IS di negara mereka dan rantau ini. Perjuangan haruslah tegas dan ia perlu menjadi visi dan misi utama kerajaan.
Pendapat yang dinyatakan di dalam komentar ini adalah pandangan penulis dan bukannya daripada BeritaBenar.