Pemenggalan Kepala Gaya IS di Asia Tenggara
2016.04.26
Pada 25 April, Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) melakukan pemenggalan kepala terbarunya di selatan Filipina, dengan membuktikan ancamannya 10 hari sebelum itu untuk membunuh seorang tebusan sekiranya tuntutan wang tebusan tidak dipenuhi. Warga Kanada , John Ridsdel, 68, telah dibunuh dan kepalanya yang dibungkus dalam beg plastik dibuang berhampiran Dewan Bandar Raya di Jolo, wilayah Sulu.
Ridsdel telah dijadikan tebusan bersama-sama dengan warga Kanada Robert Hall, warga Norway Kjartan Sekkingstad, dan wanita warga Filipina Marites Flor dari sebuah resort pelancong di Pulau Samal, Davao, pada September 2015. Ketiga-tiga lelaki itu masih dengan ASG, bersama-sama dengan sekurang-kurangnya 18 tebusan lain, yang di antara mereka ialah 14 warga Indonesia dan empat rakyat Malaysia.
Kumpulan-kumpulan ancaman di Asia Tenggara melakukan pemenggalan kepala sebelum kemunculan kumpulan yang dikenali sebagai Negara Islam. Tetapi, dengan kumpulan-kumpulan bersekutu dengan IS di rantau ini, mereka mencontohi pemenggalan kepala gaya IS.
Dengan pengisytiharan sebuah Wilayat di selatan Filipina, wilayah itu mungkin menyaksikan lebih banyak peraturan, kod dan amalan IS. - Pemimpin Abu Sayyaf Isnilon Totoni Hapilon - berpangkalan di Basilan, sebuah wilayah pulau yang terletak di luar Mindanao - telah dilantik sebagai ketua cawangan IS di Filipina.
Kumpulan dan perkumpulan IS atau menyokong IS yang lain di selatan Filipina adalah seperti berikut: di utara Mindanao, Negara Islam Lanao (ISL); di selatan Mindanao, Ansar Khalifah Mindanao (AKM); dan di Mindanao Barat, Al Harakatul al Islamiyah, Basilan (IS Filipina). Ketiga-tiga kumpulan itu terlibat dalam memenggal kepala, dan ketiga-tiganya juga berikrar untuk setia kepada pemimpin IS Abu Bakr al Baghdadi.
Filipina
Semasa zaman kontemporari, pengasas ASG Abdurrajak Janjalani memperkenalkan pemenggalan kepala di Asia Tenggara, selepas mendapat pendidikan di Arab Saudi dan Libya. Anggota berpangkat rendah ASG itu telah diajar tentang Perang Badar (Mac 13, 624) di mana 70 orang telah ditawan dan dua lagi digantung atas perintah Nabi Muhammad.
Walaupun penggantungan dua tawanan itu dipertikaikan dan para tawanan telah dilayan dengan baik, pengajian ASG mengabaikan aspek ini dan menggunakan dua ayat al-Quran di luar daripada konteksnya, dengan mengutarakan bahawa adalah wajar untuk melakukan pemenggalan kepala.
Surah 8 ayat 12: (Ingatlah) ketika Tuhanmu mewahyukan kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku menyertai kamu, maka tetapkanlah hati orang-orang yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang yang kafir dengan perasaan gerun; oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka"
Surah 47 ayat 4: “Apabila kamu berjuang menentang orang-orang kafir dalam peperangan, maka pancunglah lehernya, sehingga apabila kamu dapat mengalahkan mereka, maka tawanlah dan ikatlah mereka dengan kukuhnya - setelah selesai pertempuran itu, maka terserahlah kepada kamu sama ada hendak memberi kebebasan atau membebaskan mereka dengan mengambil penebusnya - sehinggalah berakhirnya peperangan itu.”
Sebelum dan selepas pembentukan ASG pada 1992, Majlis Syura (majlis perundingan) Abdurrajak mengarahkan pemenggalan kepala perisik pada 1991 dan 1992. Selepas itu, apabila tentera dapat mengepung kumpulan itu, ASG menawan tebusan dan memancung beberapa orang Kristian.
Pada 2001, sebagai timbalan pemimpin ASG, Isnilon Hapilon memantau kegiatan pemenggalan kepala Guillermo Sobero, orang asing pertama yang dipancung di Asia Tenggara dalam tempoh kontemporari itu. Sobero telah diculik bersama-sama dengan rakan-rakan warga Amerika Syarikat, Martin dan Gracia Burnham, dari Dos Palmas di wilayah Palawan.
Indonesia
Jemaah Islamiyah (JI) adalah kumpulan ancaman pertama yang melakukan pemenggalan kepala dalam kontemporari Indonesia pada 2005. Kumpulan JI yang bertanggungjawab telah kembali daripada kursus latihan di Filipina dan mahu membalas dendam terhadap masyarakat Kristian yang melakukan pembunuhan dan berbalas pembunuhan pada masa itu di Sulawesi Tengah.
Pemimpin operasi Hasanuddin merancang pemenggalan kepala itu sebagai "tindakan amal Muslim" yang bersempena dengan Lebaran (Idul Fitri), sambutan sempena berakhirnya bulan suci Ramadan.
Pada 6.30 pagi 29 Oktober 2005, enam penyerang menghampiri Theresia Morangke, 15, Alfita Poliwo, 17, dan Yarni Sambue, 17, yang sedang berjalan melalui ladang koko di Gebong Rejo untuk ke Sekolah Tinggi Gereja Kristian Sulawesi Tengah. Dengan memakai topeng hitam, mereka memancung gadis-gadis itu dengan parang. Noviana Malewa, 15, yang mengalami kecederaan pada leher dan muka, berlari dan berkongsi pengalaman pahit itu dengan pihak berkuasa.
Satu daripada kepala itu ditinggalkan di luar sebuah gereja yang baru dibina. Dua kepala lain telah dihantar ke kampung mereka dengan nota: "Dikehendaki: Lebih 100 lagi kepala, remaja atau dewasa, lelaki atau perempuan; darah dibalas dengan darah, jiwa dengan jiwa, kepala dengan kepala. "
Hasanuddin akhirnya dijatuhi hukuman 20 tahun penjara; dua lelaki lain masing-masing dijatuhi hukuman penjara 14 tahun. Lain-lain yang terbabit dalam perbuatan itu telah melarikan diri.
Rakan sekutu Hasanuddin, Santoso, kemudian merekrut penyerang bagi pemenggalan kepala. Mereka kini ahli pangkat rendah Mujahiddin Indonesia Timur (MIT) yang berpangkalan di Poso, yang telah menjalankan enam pemenggalan kepala selepas Santoso berjanji setia kepada pemimpin IS.
Thailand
Para pemberontak di Pattani, selatan Thailand telah memancung kira-kira 12 orang awam, lelaki dan wanita. Bagaimanapun, pemenggalan kepala di Thailand dilakukan selepas pembunuhan. Caranya ialah, selepas musuh dibunuh, barulah kepalanya dipenggal. Dalam beberapa kes, tubuh mangsa dibakar atau dicacatkan.
Walaupun Islam dengan jelas melarang perbuatan mencacatkan orang yang sudah mati, namun, ia diamalkan oleh kumpulan ancaman di Thailand dan Filipina.
Mewujudkan Maklum Balas
Maklum balas negara dan masyarakat terhadap perbuatan ini haruslah dilakukan secara serampang dua mata. Dari sudut ketenteraan, kumpulan IS dan kumpulan sokongannya di Asia Tenggara perlulah dibendung, diasingkan sebelum dihapuskan.
Dari aspek ideologi, para pemimpin, guru Islam dan pengaruh lain di rantau ini perlu mempertahankan kepercayaan mereka dan melindungi mereka yang beriman daripada terpengaruh amalan IS daripada peringkat akar umbi lagi. Namun kini, sesetengah orang Islam percaya bahawa IS menyebarkan Islam yang sahih dan pemenggalan kepala dilakukan mengikut perundangan Islam.
Untuk menangani perbuatan memenggal kepala, para ulama perlu menerangkan dengan jelas tentang kandungan Al-Quran dan buku-buku perundangan klasik.
Surah Muhammad, 47: 4: Dengan yang demikian, apabila kamu berjuang menentang orang-orang kafir (dalam peperangan), maka pancunglah lehernya sehingga apabila kamu dapat mengalahkan mereka, maka tawanlah dan ikatlah mereka dengan kukuhnya, setelah selesai pertempuran itu, maka (bebaskanlah mereka) sama ada tanpa sebarang penebusnya atau mengambil penebusnya, dengan, beban akibat peperangan dapat dilenyapkan: Demikianlah (diperintahkan kamu melakukannya).
Rasul Islam telah mengajar umat Islam supaya melayani tawanan dengan baik. Dalam "The Life of Mahomet," William Muir menulis, "Dalam mematuhi perintah Mahomet, warga Madinah, dan begitulah juga pelarian dalam rumah miliknya, menerima tahanan, dan melayani mereka dengan sebaik-baik budi bicara. '!Assalam ke atas orang-orang Madinah' kata seorang daripada tawanan itu di kemudian hari; 'mereka membenarkan kami menunggang, sementara mereka sendiri berjalan kaki: mereka memberi kami roti tepung gandum untuk dimakan walaupun ia hanya ada sedikit, sedangkan mereka mengawal kelaparan dengan memakan kurma.' Adalah tidak menghairankan bahawa, selepas daripada itu, semasa rakan-rakan mereka datang untuk menebus mereka, beberapa tawanan itu telah mengisytiharkan diri mereka sebagai penganut Islam. ... Layanan baik mereka berpanjangan dan telah meninggalkan kesan yang baik terhadap minda walaupun dalam kalangan mereka yang tidak serta merta menganut Islam. "