BAHANA SYRIA

Rohan Gunaratna
2015.11.19
151119-MY-GUNARATNA-PARIS-620 Orang ramai berhimpun di sudut peringatan sementara berhampiran dewan konsert Bataclan di Paris, dua hari selepas pengganas menembak mati 89 orang di situ. 15 Nov 2015.
AFP

Veteran perang Afghan membentuk landskap keganasan global sejak tiga dekad yang lalu. Hari ini, kesan daripada konflik di Syria memacu gerakan ancaman pengganas dunia.

Serangan pengganas di Paris pada Jumaat dilihat mempunyai kesan serta merta dan jangka panjang di seluruh dunia. Memandangkan sasaran mudah adalah terlalu banyak untuk dilindungi, serangan ala Paris berkemungkinan menjadi contoh untuk serangan masa depan bagi rangkaian pengganas bernama Negara Islam (IS), pesaingnya al-Qaeda, serta kumpulan militan lain.

Paris mungkin menjadi permulaan kepada tindakan pembalasan rakyat Syria. Dengan kumpulan pengancam dari Asia, Timur Tengah dan Afrika menuju ke Syria untuk berjuang, dan selepas kembalinya mereka, negara-negara di selatan dunia tetap menjadi negara paling lemah.

Keupayaan mereka untuk memantau pergerakan para pejuang ini dan mengesan pengaruh dalam jaringan kumpulan pengganas ini (where?) adalah terhad berbanding dengan rakan-rakan mereka di Eropah dan Amerika Utara.

Dengan kebangkitan Asia, dan berpuluh-puluh kumpulan berikrar untuk setia kepada kepimpinan IS, adalah sukar untuk mengelak ancaman itu daripada turut memberi kesan kepada rantau Asia Pasifik.

'Amaran buat mereka yang mahu mengambil iktibar'

Serangan 13 November di Paris telah mengorbankan 129 orang dan mencederakan 352 yang lain (99 di dalam keadaan kritikal) di kafe, stadium dan dewan konsert. Mereka (who?) adalah peniru serangan Mumbai (26-29 November, 2008) di mana 10 pengebom berani mati membunuh 166 orang dan mencederakan beratus-ratus yang lain di sebuah kafe, stesen kereta api, hospital dan dua buah hotel.

Di kedua-dua bandar itu, penyerang berani mati membawa senjata automatik dan menahan tebusan sebelum membunuh mereka dengan kejam. Perancangan serangan itu adalah di kawasan berhampiran dengan negara-negara sasaran - Belgium dalam kes di Perancis, dan Pakistan dalam kes di India – yang menjadikan sukar untuk dikesan.

IS mengaku yang mereka telah melancarkan serangan di Paris, di mana mereka  menggambarkan para pengganas itu sebagai "kumpulan yang setia kepada tentera Khalifah" dan “menyasarkan (Paris)  ibu negara pelacuran dan penuh lucah".

Menurut SITE Intelligence Group, IS menyatakan, "lapan saudara kami membaluti tubuh mereka dengan tali pinggang letupan sambil bersenjatakan senapang; tapak sasaran dipilih dengan tepat di tengah-tengah ibu kota Perancis, termasuk Stade de France di mana perlawanan antara pasukan Jerman dan Perancis berlangsung, dan juga dihadiri oleh si bodoh (dari) Perancis, Francois Hollande.”

IS menyatakan ia menyerang "Bataclan Conference Center" dan kawasan-kawasan lain dengan alasan beratus-ratus orang murtad sedang berhimpun dalam pesta pelacuran yang penuh pembaziran.”

Kumpulan tersebut mengakhiri kenyataannya dengan berkata: "Biarlah Perancis … tahu bahawa mereka kekal berada di dalam kedudukan  teratas dalam senarai sasaran [kumpulan pengganas] Negara Islam ... Serangan ini adalah ribut yang pertama, dan merupakan amaran buat mereka yang mahu mengambil iktibar."

Rangkaian Eropah IS menyerang Perancis kerana ia mula mengambil langkah untuk meningkatkan penerbangan pengawasan dan operasi di wilayah-wilayah yang dikawal IS.

Satu titik perubahan

Serangan itu menunjukkan keupayaan IS untuk menyerang dari jarak jauh; dari kubu-kubunya di Iraq dan Syria. Kekejaman mereka mencerminkan penyebaran pemikiran dan metodologi IS; ukuran mereka untuk meneruskan ancaman yang berpunca daripada segmen radikal dan ketenteraan diaspora dan masyarakat migran Perancis, yang didorong oleh perkembangan yang berlaku di Afrika Utara dan Timur Tengah.

Tidak seperti di Amerika Syarikat, diaspora dan imigran beragama Islam di Eropah hidup secara berkelompok. Segmen kecil diaspora itu amat dipengaruhi oleh ideologi al-Qaeda dan IS.

Eropah sentiasa memberi keutamaan kepada hak asasi manusia berbanding dengan isu keselamatan, tetapi serangan di Paris mungkin menjadi satu titik perubahan dalam perjuangan Eropah untuk menentang keganasan.

Serangan itu mungkin akan mengembalikan sokongan terhadap  penggubalan  undang-undang yang lebih kukuh untuk meningkat usaha  pencegahan, menyahsulitkan maklumat penting dan membendung penghijrahan. Sehingga berlakunya serangan, penghijrahan dari Syria dan Iraq mendapat maklum balas yang tidak menentu di Eropah.

Kini, Jerman mungkin mengalami tekanan untuk menyertai negara-negara lain di Eropah dan mungkin akan menimbulkan semula konsep ‘Kubu Eropah’.

Seperti di  Mumbai, Paris adalah serangan hybrid, di mana pengganas menggabungkan dua bentuk kemahiran - serangan bersenjata dan serangan membunuh diri.

Apabila pengganas melakukan serangan bersenjata dan menggabungkan dengan serangan membunuh diri, unit polis biasanya tidak bersedia untuk menghalang atau menghentikannya . Mereka tidak dilatih untuk berdepan dengan pengganas yang menggunakan senjata api automatik dan memakai jaket atau tali pinggang yang sarat dengan bahan letupan untuk membunuh diri dan mengambil tebusan.

Bagi memerangi pengganas terlatih yang sanggup membunuh diri, kerajaan memerlukan pasukan yang mempunyai kelengkapan khas. Kerajaan-kerajaan di seluruh dunia perlu meningkatkan dan memperluaskan pasukan bertindak cepat untuk memerangi gelombang keganasan ini.

Sasaran mudah

Pengganas telah mengenal pasti kelemahan Perancis untuk menangani ancaman berikutan serangan ke atas  Charlie Hebdo pada Januari 2015. Walaupun Perancis memberi tumpuan kepada melindungi infrastruktur diplomatik dan kerajaan, kumpulan pengganas IS menyasarkan serangan mereka pula terhadap masyarakat awam dan tempat-tempat hiburan.

Serangan itu menunjukkan adanya cabaran untuk melindungi tempat-tempat awam. Kerajaan memerlukan strategi yang mantap untuk mendekati rakyat, dan pengunjung ke negaranya supaya dapat mengawasi dan segera melaporkan aktiviti yang mencurigakan dengan lebih efektif.

Nampaknya, setiap serangan pengganas melibatkan kitaran aktiviti yang bermula dengan propaganda, pengrekrutan, kutipan dana, pemerolehan, pengangkutan, kediaman selamat, latihan, komunikasi, perjalanan, pelbagai identiti, memerhati sasaran, dan raptai.

Dengan peningkatan pemantauan dan meningkatkan  kesedaran awam, sokongan bagi kumpulan ekstremis dan pengganas, modus  operandi mereka dapat dikesan sebelum serangan dapat dilancarkan.

Tiada serangan pengganas akan berjaya kecuali jika masyarakat awam membenarkannya. Ini kerana pengganas akan terus mengindoktrinasi dan merekrut orang awam.

Masyarakat awam boleh menjadi sumber anggota  kumpulan pengganas. Pengganas dan kerajaan bersaing untuk mempengaruhi masyarakat awam. Jika ideologi pengganas dan ekstremis merebak dalam masyarakat, mereka akan mula bersimpati, membela, menyokong dan mengambil bahagian dalam aktiviti ekstremis dan keganasan dan menjadi duri dalam daging di kalangan  masyarakat awam di mana jua di dunia.

Setiap kejayaan serangan pengganas menyerlahkan kegagalan pihak risikan kerajaan. Setelah mengalami dua serangan utama pada 2015, kerajaan dan rakyat Perancis akan menggesa supaya dilakukan pembaharuan terhadap sistem keselamatan dan risikan. Langkah-langkah ini haruslah termasuk usaha meningkatkan himpunan risikan manusia dan teknikal.

Kemajuan dalam sistem komunikasi IS dan media sosial menyukarkan tugas pihak perisikan kerajaan. Pihak kerajaan hendaklah meluluskan undang-undang untuk memastikan bahawa syarikat-syarikat teknologi  membentuk produk yang lebih berkesan bagi  membolehkan agensi-agensi keselamatan negara memantau komunikasi pengganas dengan lebih berkesan.

Implikasi kepada Asia

Barat dan Timur terus berdepan ancaman yang teruk daripada IS. Tidak ada negara yang terkecuali.

Tercabar oleh kejayaan IS di Paris, kumpulan-kumpulan pengganas yang bersaing dengan IS, terutamanya al-Qaeda, mungkin akan melancarkan serangan di luar Eropah. Dengan sistem pengangkutan dan komunikasi yang meluas antara Timur Tengah, Afrika Utara dan Asia, ancaman tersebut semakin merebak. Sementara itu, ideologi IS menyusup ke dalam kelompok kecil umat Islam dari Toronto ke Paris dan dari Jakarta ke Sydney.

Kerajaan-kerajaan Asia Pasifik perlu berkongsi amalan-amalan yang berkesan untuk membina keupayaan bagi menangani ancaman keganasan. Kerajaan yang berjaya menangani keganasan perlu berkongsi dengan agensi-agensi baru belajar menangani keganasan yang muncul di Asia Tenggara, dan memperluaskan lagi hubungan mereka dengan agensi-agensi keselamatan di Timur Tengah dan Afrika.

Selain itu, strategi untuk melibatkan masyarakat awam dan program pemulihan pengganas perlu diperkemaskan lagi. Kerajaan-kerajaan di rantau ini perlu melabur lebih banyak tenaga dan dana untuk menangani propaganda kumpulan ekstremis dan pengganas. Ideologi IS memecut laju bila kerajaan merangkak untuk melaksanakan program-program seperti ini.

Perancis tidak terkecuali: kerajaan di seluruh dunia tidak bersedia dan kurang bersedia untuk menghadapi cabaran yang dicetuskan oleh IS, kumpulan-kumpulan yang berkaitan dengannya dan rangkaian tempatan mereka.

Serangan berlaku akibat kegagalan sistem antarabangsa untuk mencipta dan melaksanakan strategi dunia bagi menstabilkan zon konflik dan berjuang untuk memerangi hasil daripada keganasan, iaitu keganasan dunia.

Setiap kejayaan serangan pengganas adalah serangan terhadap kemanusiaan. Dunia mesti bersatu untuk memerangi keganasan yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan dan individu.

Rohan Gunaratna mengetuai Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Penyelidikan Keganasan, Institusi Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam di Singapura.

Pendapat yang dinyatakan di dalam komentar ini adalah pandangan pengarang dan bukannya daripada BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.