Militan Negara Islam mahu Wujudkan Satelit Asia Tenggara
2016.01.12
Kumpulan militan Negara Islam (IS) berkemungkinan besar mewujudkan cawangannya di Filipina dan mengisytiharkan pulau selatan Mindanao sebagai Wilayat (daerah) pada 2016.
Selepas pelbagai kumpulan militan tempatan menghabiskan masa setahun dalam tempoh
2014-15 untuk membincangkan tentang ikrar taat setia kepada khalifah IS yang melantik dirinya sendiri, Abu Bakr al-Baghdadi, mereka bersatu dan membentuk sebuah majlis wakil-wakil (Ahlus Shura) yang melantik Isnilon Hapilon Totoni sebagai pemimpin keseluruhan cawangan IS di Filipina.
Hapilon mengetuai Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) di Basilan, sebuah wilayah pulau yang terletak di luar Mindanao.
Al-Naba, akhbar rasmi IS, melaporkan mengenai penyatuan sekurang-kurangnya empat kumpulan (‘batalion') pejuang Tuhan (‘mujahidin’) di selatan Filipina, dan merujuk Hapilon sebagai ‘Sheikh Mujahid Abu Abdullah al-Filipina’.
Ia menyifatkan beliau sebagai ‘seorang daripada tokoh kanan para Mujahidin di Filipina’.
"Jihad beliau terhadap tentera Salib bermula lebih daripada 20 tahun yang lalu ketika beliau merupakan seorang pemimpin dalam Pergerakan Abdul Razaq Abu Bakar As-Janjalani, yang dikenali sebagai Kumpulan Abu Sayyaf.
Beliau adalah Amir Abu Sayyaf di Basilan selama lima tahun sebelum menjadi timbalan pemimpin selama enam tahun," kata al-Naba.
Pemilihan pemimpin yang sangat berpengalaman dan terkenal di Hapilon untuk menerajui wilayat masa depan IS di Filipina, membawa ancaman jangka panjang kepada kestabilan dan keselamatan di Asia Tenggara.
Ikrar dalam hutan
Pada Januari 2016, IS mengumumkan penyatuan empat batalion berkenaan di Filipina dan kesetiaan pemimpin-pemimpim mereka dengan al-Baghdadi.
Empat batalion itu ialah Ansar al-Shariah, Ma'rakah al-Ansar, Ansarul Khilafah Filipina, dan al-Harakatul al-Islamiyyah yang berpangkalan di Basilan.
Abu Anas al-Mujahir, yang mengetuai Ansar al-Shariah, mewakili pelbagai batalion semasa mereka melafazkan ikrar itu di mana mereka berjanji untuk taat setia kepada khalifah IS.
Abu Anas Al Muhajir adalah rakyat Malaysia yang juga dikenali sebagai Mohammad bin Najib bin Hussein.
Batalion beliau bertanggungjawab dalam undang-undang dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan perundangan. Dia sengaja tidak menyembunyikan dirinya pada majlis mengangkat sumpah itu, yang videonya telah dirakam.
Memandangkan jawatan penting itu diberikan kepada seorang rakyat Malaysia oleh Hapilon, pemimpin ASG, rakyat Malaysia yang lain mungkin dalam perjalanan ke Mindanao untuk menyertai IS.
Pemimpin batalion Ma'rakah al-Ansar, Abu Ammar, tidak dapat menghadiri majlis itu tetapi menghantar seseorang bagi mewakilinya. Abu Harith, yang mewakili batalion itu tanpa kehadiran Ammar, adalah dari Sulu iaitu kawasan pemimpin ASG, Radulan Sahironis.
Sulu ialah sebuah pulau dalam kepulauan Sulu yang terletak di antara Mindanao di Filipina dan Sabah di Malaysia.
Kemunculan Abu Harith, bekas ahli ASG, menunjukkan adanya perpecahan dalam ASG, di mana puak yang kecil tetapi penting telah berpaling tadah kepada IS.
Selain ASG, sebuah kumpulan baru, Ansarul Khalifah Filipina, juga menyertai kumpulan militan Negara Islam. Bertempat di wilayah Cotabato Selatan, wilayah Sarangani dan General Santos City, Ansarul Khalifah Filipina diketuai oleh Abu Sharifah, yang fasih berbahasa Tagalog.
Seramai 31 rakyat Filipina dan rakyat Malaysia yang bersenjata mengadakan pertemuan di Basilan dan mengambil bahagian dalam upacara mengangkat sumpah itu yang diketuai oleh Hapilon. Sebelum ini, empat batalion telah berikrar untuk berkhidmat secara individu, bukan secara kolektif, kepada IS.
Selain daripada ahli-ahli Ansarul Khalifah Filipina dan rakyat Malaysia, sebahagian besar daripada mereka yang hadir pada majlis itu adalah ahli-ahli ASG. Antaranya ialah ahli yang mempunyai kedudukan seperti Talha Tanadjalin, yang berpengalaman dalam taktik pertempuran dan merupakan abang kepada Suhud Tanadjani, jurulatih penembak curi ASG yang berpangkalan di Basilan.
Selepas Hapilon dan kumpulannya berikrar untuk setia kepada al-Baghdadi, IS menyiarkan kepada umum tentang majlis di Filipina.
"Penyatuan Mujahideen di bawah satu kepimpinan dan panji-panji Khalifah dilihat sebagai ancaman besar kepada para pemerintah zalim Filipina dan ia adalah langkah penting dalam usaha membebaskan kawasan di Asia Tenggara amnya. Ia mempunyai kesan yang besar dalam menyebarkan tauhid di rantau ini, dengan menentang Kristian, Buddha dan orang-orang musyrik lain serta mewujudkan agama Allah di bahagian dunia ini, "demikian diumumkan IS melalui al-Naba dan penyebaran video dalam talian mengenai majlis angkat sumpah beramai-ramai itu di Basilan.
"Filipina merupakan negara kepulauan yang terdiri daripada pulau-pulau yang terletak di Lautan Pasifik. Sejak berabad-abad lamanya, ia telah diduduki oleh orang Belanda dan Amerika Kristian yang memaksa ramai penduduknya untuk meninggalkan Islam dan memeluk agama Kristian," kata IS.
"Hari ini, orang Kristian mentadbir Filipina dan ibu negaranya Manila. Bagaimanapun, pergerakan jihad telah tersebar di pelbagai pulau-pulau terpencil di negara ini, dan jihad terhadap orang Kristian telah berterusan selama beberapa dekad. "
Potensi ancaman serantau
Sejak 2014, militan Negara Islam telah terlibat dengan kumpulan ancaman di Filipina dengan tujuan untuk membina keupayaan ideologi dan operasi di rantau ini.
Dengan persediaan sedang dilakukan untuk menubuhkan cawangan IS di selatan Filipina, pengaruh dan ideologi IS mungkin berkembang, yang memberi kesan kepada Filipina selatan dan timur Malaysia.
Malah, IS mungkin akan mewujudkan tempat yang selamat di Basilan dan melancarkan operasi dari Kepulauan Sulu ke Filipina dan Malaysia.
Selain daripada menguatkuasakan amalan Islam tempatan dengan tafsiran radikal agama IS, pemenggalan kepala dan serangan yang menyebabkan kematian dan kecederaan dalam jumlah yang besar mungkin berlaku.
Ancaman yang paling besar ialah penubuhan kem-kem latihan pengganas, yang akan menarik bukan sahaja rakyat Asia Tenggara malah penduduk dari kawasan lain.
Perkembangan terkini menunjukkan rakyat Uyghur yang tidak dapat ke Syria untuk menyertai al-Nusra atau IS di Timur Tengah, beralih ke Indonesia .
Rakyat pelbagai negara yang menjalankan latihan di wilayat baru IS akan menimbulkan ancaman kepada negara asal mereka. Sejak 1994, apabila Jemaah Islamiyah menubuhkan kem latihan pertamanya, Hudaibiyah, Filipina menjadi tempat latihan bagi warga Indonesia, Malaysia, Singapura, muslim Thailand dan Arab.
Kebanyakan tenaga pengajar adalah bukan rakyat Filipina yang dilatih oleh al-Qaeda. Selain menggerakkan pegawainya untuk melaksanakan jenama Islam IS, kemungkinan besar IS akan menghantar pakar-pakar bahan letupan, taktik pertempuran dan operasi lain ke Asia Tenggara.
Rancangan IS untuk mengisytiharkan sebuah negeri gerakan itu di Mindanao membawa ancaman sebenar kepada kestabilan dan keselamatan Asia, rantau yang sehingga kini menikmati kestabilan politik, keharmonian sosial dan pertumbuhan ekonomi.
Maklum balas Filipina
Bagi pihaknya, kerajaan Filipina mendapat manfaat besar dengan melibatkan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dalam proses damai yang terbukti berjaya. Bagaimanapun, ASG dan beberapa kumpulan kecil terus berjuang untuk mewujudkan Moro sebagai negara merdeka.
Filipina kekurangan kepimpinan politik dan keupayaan operasi tentera yang diperlukan untuk menghapus infrastruktur pemberontak dan pengganas di Mindanao, terutamanya di kepulauan Sulu.
Penggabungan pelbagai batalion dan penyatuan pemimpin mereka, yang dipelopori oleh IS, akan membawa cabaran yang tidak dijangka kepada kerajaan di Manila. Dalam peranan baru mereka sebagai ‘tentera Khalifah’ di Filipina, cawangan IS tempatan akan melancarkan operasi yang secara beransur-ansur akan mencerminkan teras IS di Syria dan Iraq.
Tidak ada masa yang lebih baik bagi Filipina untuk bertindak.
Tetapi, jika Presiden Aquino sebagai panglima angkatan tentera terus berlengah, ideologi IS akan merebak di negaranya, sekali gus merosakkan usaha proses damai yang sukar dilakukan namun patut diberi pujian.
Empat ‘batalion’ IS akan berkembang dari segi kekuatan, saiz dan pengaruh serta membawa cabaran yang terus berkekalan kepada pengganti beliau. Tidak lama kemudian, IS akan mengisytiharkan satelit khalifah di Sulu.
Sepatutnya, Aquino perlu cuba dan menjangkakan deklarasi sedemikian oleh pihak IS. Bagi menawan hati dan minda umat Islam serta mengendurkan sokongan umat Islam kepada IS, Angkatan Tentera Filipina (AFP) perlu meneruskan mandat bagi menggalakkan pembangunan ekonomi di Basilan dan dan kawasan sekitarnya yang miskin, dan bukan menumpukan strategi semata-mata kepada mengasingkan dan menghapuskan Kumpulan Abu Sayyaf.
Akhir sekali, dalam menjangkakan deklarasi mengenai penubuhan sebuah wilayat IS dan cawangan tempatan IS di Filipina, tentera Filipina perlu menempatkan pasukannya di Sulu, Basilan dan Tawi Tawi.
Jika angkatan tentera Filipina boleh menguasai kepulauan Sulu, IS akan gagal untuk mengisytiharkan, menjalankan operasi dan mengembangkan sebuah wilayat satelit di negara itu dan sebuah pangkalan di Asia Tenggara.
Rohan Gunaratna mengetuai Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Penyelidikan Keganasan, Institusi Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam di Singapura.
Pendapat yang dinyatakan di dalam komentar ini adalah pandangan penulis dan bukannya daripada BeritaBenar.