Serangan Pertama Negara Islam di Malaysia Dedahkan Perubahan Ancaman: Pakar

Komentari oleh Rohan Gunaratna
2016.07.05
160705-my-IS-arrest-620 Pakar-pakar forensik Malaysia memeriksa lokasi serangan bom tangan di sebuah kelab malam di Puchong, dekat Kuala Lumpur, 28 Jun, 2016.
AFP

Malaysia mengalami serangan pertama yang dilakukan oleh Negara Islam (IS) pada 27 Julai lalu. Pada 2,15 pagi, dua pelaksana operasi IS menghampiri  sebuah kelab malam, Movida Bar and Lounge, di IOI Boulevard, di Bandar Puchong Jaya dan melemparkan alat letupan diubah suai (IED) yang menyebabkan lapan pelanggan cedera termasuk seorang parah.

IS kemudian mengeluarkan kenyataan mendakwa ia bertanggungjawab melakukan serangan itu.

“Selepas bertawakal dan bergantung kepada Allah dengan kesedaran bahawa Allah memberi rezeki kepada kamu dan meminta pertolongan kepada Allah, dua orang junud khalifah wilayat Malaysia telah melancarkan serangan berbarakah pertama di tengah-tengah ibu negara Malaysia […] dengan menyasarkan sebuah kelab malam yang dipenuhi kafir menggunakan sebutir bom tangan…”kata IS.

"Serangan itu menyebabkan beberapa orang cedera dan merosakkan kelab malam tersebut kerana tidak menghormati bulan Ramadhan dengan menjalankan aktiviti maksiat... umat Islam diminta menjauhi pusat-pusat maksiat atau menjadi pembantu kerajaan bukan Islam, supaya anda  tidak menjadi sasaran... tinggalkan pekerjaan anda sebagai pembantu kerajaan bukan Islam dan  bertaubatlah kepada Allah,” menurut kenyataan itu.

Kejayaan serangan pertama IS

Dalam melaksanakan serangan pertama di bumi Malaysia, IS telah berjaya menyasarkan sebuah tempat hiburan. Semasa peranti itu meletup, kira-kira 20 pelanggan berada di teres hadapan Movida kerana sedang menonton siaran langsung perlawanan kalah mati di antara Sepanyol dan Itali dalam Euro 2016. Letupan itu menyebabkan beberapa orang cedera serta merosakkan premis berkenaan dan sebuah kereta yang diparkir kira-kira 30 meter (98.4 kaki) dari situ.

Selepas menjejaskan sembilan serangan yang dalam fasa perancangan dan persediaan sejak 2014, Ketua Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia Ayob Khan Mydin Pitchay telah memberi amaran kepada kerajaan Malaysia mengenai peningkatan  ancaman pengganas di Malaysia.

Pihak berkuasa Malaysia telah mengenal pasti Muhamad Wanndy Mohamad Jedi, seorang rakyat Malaysia di Syria, sebagai individu yang mengendalikan rangkaian pengganas IS di Malaysia. Dibesarkan di sebuah kampung di Jalan Bukit Tambun, Durian Tunggal, Wanndy berhijrah ke Syria pada Februari 2015 dan menyertai sayap operasi luaran IS.

Beliau kini tinggal bersama isterinya yang juga berasal dari Malaysia, Nor Mahmudah Ahmad, di Syria, di mana beliau merancang dan membuat persediaan serangan pengganas di Malaysia. Tugasnya adalah untuk menyebarkan propaganda, merekrut, mengumpul dana, menyusun dan menguruskan serangan.

Ancaman semakin berleluasa

Sejak 2014,  Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Malaysia  telah menggagalkan sembilan plot untuk menyerang Malaysia, tetapi ia gagal  mengesan dan menjejaskan serangan di Puchong. Bentuk ancaman telah berubah daripada keganasan berkumpulan kepada keganasan rangkaian, menjadikannya satu cabaran walaupun bagi  perkhidmatan keselamatan dan risikan terbaik itu dalam mengelakkan semua serangan yang dalam fasa perancangan, penyediaan dan pelaksanaan.

Selain daripada membina kapasiti yang lebih besar untuk memantau dan menangani ancaman, strategi kerajaan-kerajaan dan rakan-rakan komuniti mereka sepatutnya adalah untuk mendekati segmen masyarakat Islam yang lemah bagi mencegah radikalisasi. Dengan penguasaan IS dalam mengeksploitasi media sosial, IS berjaya mewujudkan ruang penyokong dan mereka yang bersimpati dengannya di seluruh dunia Islam, termasuk di Asia Tenggara.

Kini, ideologi IS telah merebak dan mencipta simpati dan sokongan dalam kalangan segmen kecil  rakyat di Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand, Singapura, Brunei, Kemboja dan Myanmar.

Malaysia sedang merancang untuk mewujudkan beberapa keupayaan, termasuk Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej melalui Komunikasi di Kuala Lumpur, bagi memerangi ancaman IS. Serangan IS di Malaysia, walaupun  operasi memerangi keganasan djalankan secara berterusan, menunjukkan bahawa ideologi IS telah merebak dan mewujudkan kehadiran serantau yang teguh serta mampu melaksanakan serangan pengganas.

Dengan pengalaman dan kepakaran yang meluas, cawangan khas itu akan terus mengesan dan menjejaskan sel-sel IS yang beroperasi di seluruh negara. Melainkan adanya peralihan daripada kerjasama kepada kolaborasi, rantau Asia Tenggara bakal mengalami lebih banyak serangan pada tahun-tahun yang akan datang.

Untuk memerangi ancaman itu dengan berkesan, perkhidmatan keselamatan dan risikan perlu bekerjasama  rapat  dengan pihak penguatkuasaan undang-undang tempatan dan rakan-rakan ketenteraan serta dengan negara-negara luar. Dari aspek ketenteraan, IS telah terjejas  sejak kempen Rusia pada 2015 tetapi ancamannya masih menggerunkan.

Walaupun ancaman IS di Iraq dan Syria sudah berada pada tahap mendatar, IS kini dalam fasa pertumbuhan di seluruh dunia. Keupayaan operasi IS telah terjejas tetapi ideologinya masih bergema dalam kalangan pengikutnya dan mereka yang berpotensi direkrut. Untuk mengatasi ancaman itu, kerajaan perlu membangunkan keupayaan risikan dan operasi yang lebih besar dan dalam ruang fizikal dan siber bagi menangani ancaman  sedia ada dan yang baru muncul.

Pendapat yang dinyatakan di dalam komentar ini adalah pandangan penulis dan bukannya daripada BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.