Sukar dipercayai? Mencari logik di sebalik pembubaran Jemaah Islamiyah

Sekutu al-Qaeda di Asia Tenggara itu menjadi dalang di sebalik pengeboman besar-besaran di Indonesia pada awal 2000-an.
Komentar oleh Zachary Abuza
2024.07.11
Sukar dipercayai? Mencari logik di sebalik pembubaran Jemaah Islamiyah Pegawai polis memeriksa runtuhan sebuah kelab malam yang musnah akibat letupan bom di Kuta, Bali, Indonesia, 13 Okt 2002.
[Gambar fail AP]

Pada acara bulan lepas anjuran agensi anti-keganasan Indonesia (BNPT), Abu Rusydan dan 15 lagi pemimpin Jemaah Islamiyah (JI) mengumumkan pembubaran kumpulan itu.

JI, sekutu al-Qaeda di Asia Tenggara telah melakukan beberapa siri serangan yang dahsyat pada awal 2000-an termasuk serangan maut pengganas di Indonesia - pengeboman Bali 2002. Namun kini ia "bersedia untuk menyumbang secara aktif kepada kemajuan dan maruah Indonesia," isytihar Abu Rusydan sambil membaca kenyataan yang disediakan semasa acara itu pada 30 Jun.

Ini bukan kali pertama kumpulan militan dibubarkani. Tentera Republikan Sementara Ireland secara unilateral berpecah pada tahun 2005 sekali gus menjerumuskan diri ke kancah undang-undang melalui cabang politiknya, Sinn Féin. Pada 2018, pejuang pemisah Basque ETA turut dibubarkan secara unilateral.

Bagaimanapun, pengumuman Jemaah Islamiyah mengejutkan ramai pihak dan menyebabkan yang lain berasa ragu-ragu.

Terdapat tiga persoalan saling berkait yang perlu ditanya mengenai langkah JI: Bagaimana keputusan itu dicapai? Adakah ia benar? Dan apakah kesannya terhadap keselamatan serantau?

Bagaimana keputusan itu dicapai?

Jemaah Islamiyah, yang berakar umbi dalam gerakan Darul Islam, ditubuhkan di Malaysia pada tahun 1993 ketika dua pengasasnya, Abdullah Sungkar dan Abu Bakar Bashir melarikan diri dari kerajaan Orde Baru Suharto di Indonesia.

Semasa di Malaysia, mereka bertindak sebagai perantara kepada beberapa ratus militan yang mengembara ke Pakistan untuk menyertai jihad anti-Soviet di Afghanistan sekali gus membolehkan mereka berhubung terus dengan al-Qaeda.

Pada tahun 1996, satu piagam (PUPJI) telah mewujudkan struktur organisasi kumpulan itu dan mengkodifikasikan ideologi Salafi JI. Pada masa itu, ia juga mencapai persetujuan dengan pejuang pemisah bersenjata Filipina, Barisan Pembebasan Islam Moro untuk membenarkan al-Qaeda menubuhkan kem latihan di selatan Filipina.

Di Indonesia, JI melakukan serangan pengganas ke atas gereja Kristian dan menubuhkan dua pasukan separa tentera untuk melancarkan konflik sektarian di Kepulauan Maluku dan wilayah Sulawesi Tengah.

Berikutan pencerobohan AS ke atas Afghanistan pada Oktober 2001, kepimpinan al-Qaeda menggesa agar serangan bagi mengalih perhatian dilakukan. Antaranya ialah pengeboman berkembar Bali yang mengorbankan 202 orang setahun kemudian.

ID-Abuza-2.jpg

Anggota polis mengiringi suspek militan Zulkarnaen (tengah), yang juga dikenali sebagai Aris Sumarsono dan dipercayai ketua tentera rangkaian Jemaah Islamiyah yang dikaitkan dengan al-Qaeda, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Indonesia, 16 Dis 2020. [Achmad Ibrahim/AP]

Antara tahun 2002 dan 2007, JI melakukan serangan besar hampir saban tahun. Namun setiap serangan menjadikan organisasi itu semakin lemah apabila pasukan anti-keganasan menjadi lebih mahir dan memiliki sumber yang lebih baik.

Ini membawa kepada perpecahan ideologi dalam organisasi antara penyokong puak yang menyasarkan "musuh jauh" berbanding mereka yang ingin mencetuskan konflik mazhab untuk membina semula barisan mereka yang semakin menipis.

Kerajaan telah mengharamkan JI pada 2008, namun membenarkan ia beroperasi sebagai entiti selagi ia mengelak daripada melakukan keganasan.

Pada 2010, lebih 100 ahli JI telah diberkas termasuk Abu Bakar Bashir sekali gus melumpuhkan pertubuhan itu. Serangan terakhir JI berlaku pada tahun itu.

Bagaimanapun, dari 2020 hingga 2023, usaha memerangi keganasan Indonesia tertumpu kepada JI dan kumpulan pro-Negara Islam, Jamaah Ansharut Daulah (JAD). Pasukan keselamatan pada asalnya melihat JI sebagai jalan keluar untuk JAD yang lebih radikal namun kemudian mengambil tindakan yang lebih keras terhadap mereka.

Pada 2019, apabila polis anti-keganasan menahan Emir JI, Para Wijayanto, mereka terkejut dengan saiz kumpulan itu dan jangkauannya di peringkat nasional. Madrasah dan badan amalnya semakin berkembang manakala perbadanan dan cabang penerbitannya telah mencipta aliran hasil yang stabil. Sebilangan besar anggota JI telah ditangkap pada 2021 dan 2022 sebagai suspek JAD.

Pasukan anti-keganasan Indonesia telah menggunakan pendekatan yang lebih lembut. Walaupun kelihatan lebih santai, mereka telah mengadakan perhimpunan besar-besaran di mana bekas militan melafazkan ikrar taat setia kepada republik itu.

Bekas militan telah menubuhkan madrasah untuk kanak-kanak kumpulan itu yang dipenjara jadi mereka tidak dibesarkan di sekolah kendalian JI atau JAD sekali gus memecahkan rangkaian sosial pengganas.

Mereka telah meminta pemimpin termasuk Emir JAD Aman Abdurrahman yang berdepani hukuman mati dan Umar Patek untuk meninggalkan keganasan secara terbuka.

ID-Abuza-3.jpg

Militan Indonesia Umar Patek (kanan) menggunakan telefon bimbit untuk membuat panggilan video ketika rakan lamanya Ali Fauzi, bekas pembuat bom yang kini menjalankan program bertujuan menyahradikal militan menyertai pertemuan mereka di Lamongan, Jawa Timur, Indonesia, 13 Dis 2022. [Trisnadi/AP]

Sementara itu, konflik di Poso yang menjadi tempat berkumpul semua kumpulan militan di Indonesia telah berakhir.

Di peringkat antarabangsa, terdapat lebih banyak kerjasama dalam kalangan perkhidmatan agensi keselamatan serantau manakala ruang yang tidak dipantau dan kelemahan institusi masih kekal di selatan Filipina dengan kumpulan militan tidak lagi mampu menarik perhatian JI dan militan asing lain.

Barisan Pembebasan Islam Moro terus melaksanakan proses damai dan membina institusi yang akan membantu wilayah autonomi Islam beralih kepada tadbir urus sendiri. Terdapat serangan berterusan yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Abu Sayyaf yang kini terpaksa bergelut untuk terus relevan.

Adakah ia benar?

Walaupun JI tidak berada dalam kedudukan untuk terlibat dengan aktiviti keganasan, sehingga kini ia tidak pernah berikrar untuk meninggalkan keganasan. Banyak pihak dalam organisasi itu hanya menunggu masa yang sesuai untuk meneruskan aktivitinya.

Sememangnya amat mudah untuk memandang sinis terhadap kenyataan yang disediakan oleh kumpulan itu terutama pada acara yang diuruskan oleh BNPT. Sebahagian daripada mereka yang terlibat telah ditangkap dan menjalani program menyahradikal kerajaan.

Bagi golongan muda yang radikal, mereka mengubah pendirian dan tidak lagi berhasrat untuk berjuang. Umur purata lelaki yang meninggalkan aktiviti keganasan adalah pada lewat 50-an atau lebih.

Sejauh manakah ahli yang lebih muda akan mengikuti kepimpinan dan meneruskan alternatif politik undang-undang?

Jika difikirkan, langkah ini menjanjikan masa depan yang lebih baik. Kempen militan JI gagal membawa kepada penubuhan Negara Islam yang ditadbir oleh syariah. Politik demokrasi telah memajukan agenda politik mereka dengan lebih berkesan.

Ini tidak bermakna parti-parti Islam menunjukkan prestasi yang sangat baik di peringkat nasional. Malah pada pilihan raya umum Indonesia 2024, mereka secara kolektif mewakili kira-kira 20% daripada pengundi dan memenangi 101 daripada 580 kerusi.

Namun mereka adalah ahli penting dalam gabungan politik yang cenderung memberikan mereka suara yang tidak seimbang.

Di peringkat tempatan, kita dapat melihat parti berasaskan agama meraih kejayaan terutama dalam meluluskan dasar awam dan kod patuh syariah, yang kini dimiliki oleh majoriti wilayah dan daerah.

Parti Islam berdepan kemelut persaingan sesama sendiri dan tidak pernah membentuk blok yang bersatu padu.

Mungkin atas sebab itu, JI melihat peluang untuk melakukan peralihan dari segi taktikal. Pada Mei 2021, JI menubuhkan Partai Dakwah Rakyat Indonesia (PDRI).

Namun pasukan anti-keganasan menahan pengasasnya, Farid Ahmad Okbah pada November kerana menjadi anggota kanan JI. Dua individu lain turut ditahan.

PDRI tidak bertanding pada pilihan raya umum 2024. Namun susulan pembubaran JI, kerajaan akan memberi lebih banyak ruang dalam politik kepada bekas ahlinya.

Apakah kesannya terhadap keselamatan serantau?

Tenaga kerja dan lokus JI sebahagian besarnya berpangkalan di Indonesia namun ia kekal sebagai organisasi di Asia Tenggara.

Beberapa ahli gabungan tertarik untuk berhijrah ke tempat lain.

Darul Islam Sabah, misalnya beralih daripada memudahkan JI dan pergerakan militan asing masuk dan keluar dari selatan Filipina kepada menjalin kerjasama dengan JAD serta kumpulan lain.

Selalunya terdapat lebih banyak ketidakstabilan antara kumpulan militan Asia Tenggara berbanding di Timur Tengah atau Asia Selatan. Abu Bakar Bashir berpaling tadah daripada pro-al Qaeda kepada pro-Negara Islam bersama sebilangan besar pengikutnya tanpa syarat.

Oleh itu, ramai militan muda yang komited menggunakan keganasan untuk mencapai matlamat politik mereka mungkin berpaling tadah kepada kumpulan lain.

Bagaimanapun, tidak jelas kumpulan mana yang akan bertindak sedemikian. JAD sudah musnah dan tiada pemimpin meskipun ia lebih berstruktur dan tidak melakukan serangan pengganas secara besar-besaran sejak 2019.

Buat masa ini, tiada pemimpin berkarisma yang jelas untuk militan Salafi bersatu. Meskipun ada pihak menjangkakan peristiwa luar seperti perang di Gaza akan menjadi pemangkin, setakat ini perkara sedemikian belum berlaku.

ID-Abuza-4.jpg

Ulama radikal Abu Bakar Bashir yang uzur (tengah), tiba untuk mendapatkan rawatan di Hospital Cipto Mangunkusumo di Jakarta, Indonesia, 1 Mac 2018. [Dita Alangkara/AP]

JI masih mengendalikan rangkaian madrasah termasuk beberapa pusat yang sangat besar seperti al-Mukmin dan Pesantren Hidayatullah di Balikpapan. Ini terus menjadi inkubator ideologi dan kilang memupuk kebencian.

Sukar untuk melihat petugas pendidikan campur tangan dan mengubah kurikulum mereka. Namun pasukan keselamatan Indonesia tidak berputus asa walaupun terdapat kemerosotan dalam kekuatan organisasi atau tempo operasi.

Keganasan akan menjadi ancaman yang berterusan namun masih boleh dikawal di Indonesia. Pembubaran JI menjadikan ia sebagai entiti yang lebih mampu dikawal sekali gus menyediakan alternatif undang-undang politik yang lebih bermoral namun terbukti lebih berkesan.

Zachary Abuza ialah profesor di National War College dan profesor adjung di Georgetown University di Washington. Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pendapatnya sendiri dan tidak mewakili pendirian Jabatan Pertahanan AS, National War College, Georgetown University atau BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.