Gelombang Politik Melanda Malaysia

Komentar oleh Zachary Abuza
2018.05.11
180511-MY-people-1000.jpg Penyokong-penyokong pakatan pembangkang, Pakatan Harapan, gembira mengibarkan bendera-bendera parti selepas Mahathir Mohamad memberitahu bahawa pakatan itu telah memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 di Kuala Lumpur, 9 Mei 2018.
[AP]

Akhirnya, berlakulah tsunami. Buat pertama kalinya dalam masa 61 tahun, pembangkang memenangi pilihan raya umum Malaysia, yang menyaksikan gabungan parti pemerintah ditumbangkan dalam kekalahan paling besar pilihan raya.

Pakatan Harapan (PH) memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen, berbanding dengan Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 79 kerusi. Parti Islam PAS memenangi 18 kerusi manakala calon bebas mendapat 3 kerusi.

Bekas perdana menteri yang berusia 92 tahun, Mahathir Mohammad, yang pernah memerintah Malaysia selama 22 tahun, sekali lagi mengangkat sumpah sebagai perdana menteri dengan Wan Azizah Ismail, isteri pemimpin pembangkang yang sedang dipenjarakan, Anwar Ibrahim, menjadi timbalan perdana menteri. Bekas perdana menteri Najib Razak terpaksa akur dengan keputusan itu, dan walaupun adanya beberapa kebimbangan, peralihan kuasa itu berjalan lancar dan teratur.

Kekalahan teruk itu juga berlaku pada pilihan raya peringkat negeri, dengan PH kini menguasai enam daripada 13 negeri di Malaysia. Selain Selangor dan Pulau Pinang, di mana mereka memang dijangka kembali menguasainya, pakatan pembangkang itu dapat menawan Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan khususnya, Johor, yang merupakan negeri di mana UMNO diasaskan 72 tahun dahulu, dengan ulang tahun penubuhannya disambut pada Jumaat.

PAS pula menguasai Terengganu untuk dijadikan tambahan kepada kubu kuatnya di Kelantan, yang ditadbir sejak 1990. BN kini hanya memegang dua kerajaan negeri iaitu Perlis dan Pahang. Pembentukan kerajaan negeri di Sabah dan Perak masih sedang dirundingkan pada masa artikel ini ditulis.

Hari pengundian yang penuh sejarah pada Rabu telah menarik ramai orang untuk keluar mengundi. Sebanyak 12.4 juta orang, atau 82.3 peratus daripada pemilih yang layak, telah mengundi pada pilihan raya umum itu. Ramai yang sanggup beratur lama dalam barisan yang panjang di luar pusat-pusat  mengundi. Mereka didorong untuk mengundi berikutan rasa berang terhadap peningkatan kos sara hidup, cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang tidak popular (GST), rasuah yang berleluasa termasuk skandal penipuan bernilai $4.5 bilion yang melibatkan dana pelaburan, 1MDB.

Rasuah yang membelenggui Najib jelas sekali menyebabkan calon-calon BN tersungkur di medan tempur. Tetapi, adalah penting untuk memahami betapa buruknya kekalahan itu bagi BN. Gergasi politik negara itu tumbang  termasuk ketua bagi dua parti komponen dalam gabungan pemerintah yang gagal mempertahankan kerusi mereka, selain nasib sama menimpa dua timbalan perdana menteri, lapan menteri dan 19 timbalan menteri.

Adalah penting untuk mengetahui bahawa selain Mahathir, beberapa pemimpin kanan lain turut meninggalkan UMNO dengan perasaan meluat lalu menyertai pembangkang, termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Shafie Apdal, pemimpin Warisan, yang berjaya memimpin parti pembangkang itu untuk menguasai dewan undangan negeri Sabah. Akhirnya, UMNO kini tersadai dengan sekumpulan kecil elit yang telah memperoleh kekayaan untuk diri sendiri sehinggakan gagal untuk mendampingi rakyat.

Menempuh onak dan duri

Keputusan mengenai undi popular belum pernah dipersoalkan. Pakatan PH  memenangi 52 peratus undi popular dalam pilihan raya 2013 apabila tinjauan pendapat terhadap Najib dan kerajaannya masih utuh. Bagaimanapun, persempadanan semula dan kegagalan pengagihan kawasan pilihan raya memberikan BN sebanyak 60 peratus daripada kerusi Parlimen.

Dan kerajaan, dalam keputusan yang kontroversi namun tidak mengejutkan, melakukan persempadanan semula beberapa minggu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14. Di negara yang 76 peratus daripada penduduknya adalah di bandar, 44 peratus daripada 222 kerusi Parlimen di kawasan luar bandar telah didominasi oleh orang Melayu.

Kawasan-kawasan bandar pula mempunyai pengundi Cina dan India yang jauh lebih ramai daripada kawasan yang dikuasai Melayu. Persempadanan semula kawasan-kawasan pilihan raya dianggap bertujuan memastikan BN terus berkuasa.

Selain daripada kelebihan itu, kerajaan Najib turut menguasai media dan menggunakan Suruhanjaya Pilihan Raya, yang sepatutnya berperanan dengan bebas, untuk menjadi alat kerajaan pemerintah bagi menekan pembangkang. Kerajaan juga cuba menyekat undi dengan mengadakan pilihan raya pada pertengahan minggu. Oleh itu, kemenangan besar PH dalam pilihan raya umum tersebut adalah jelas signifikan.

Bagaimana peralihan undi berlaku?


BN tewas besar apabila pemilikan kerusi sebanyak 130 merosot kepada 79 kerusi, yang menyaksikan pengurangan sebanyak 40 peratus.

Adalah menarik untuk meneliti ke manakah perginya undi berkenaan.

UMNO kecundang daripada 87 kerusi kepada 54 kerusi, yang merosot sebanyak 38 peratus. Parti PAS yang berasaskan agama pula dapat menambah beberapa kerusi, terutamanya di tempat seperti di Terengganu. PAS menambah bilangan kerusinya daripada 13 kepada  18, yang sememengnya tidak dijangkakan langsung.

Parti Bersatu pimpinan Mahathir pula meraih 12 kerusi daripada 1 kerusi sebelum ini. Tetapi, parti yang menerima kemenangan besar ialah Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang diketuai oleh Wan Azizah. Ia menerima 49 kerusi berbanding 28 kerusi sebelum ini, yang menyaksikan peningkatan 75 peratus. Di Sabah, parti Warisan memperoleh 8 kerusi berbanding 2 kerusi sebelum ini, yang dirampas daripada parti yang mempunyai kaitan dengan BN.

Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang dikuasai kaum Cina, yang merupakan ahli PH kedua terbesar, dan dapat menambah kerusinya daripada 38 kepada 42 kerusi, yang meningkat 15 peratus; dan kesemua kemenangan itu diperoleh dengan mengalahkan Persatuan Cina Malaysia (MCA) yang bersatu dengan BN, yang kehilangan kerusi daripada 7 kepada hanya 1 kerusi, yang merosot teruk sebanyak 85 peratus.

Walaupun tajuk-tajuk utama akhbar mahu menunjukkan bahawa pilihan raya itu adalah sebenarnya tentang pertarungan antara Najib dan bekas mentornya, Mahathir, tajuk utama yang sebenarnya adalah pakatan pembangkang yang mempunyai sokonghan popular yang besar dapat menumbangkan jentera politik autoritarian yang sarat rasuah dan sudah hilang sentuhan dengan para pengundi.

Apakah langkah kerajaan PH seterusnya?

Kerajaan baru itu, tidak seperti kerajaan sebelum ini, memperoleh mandat popular. Dan, ia memerlukannya kerana harus melakukan pelbagai perkara. Mahathir akan mengumumkan kabinet dengan 10 menteri  pada Sabtu.

Pertama, kerajaan PH mahu mendapatkan pengampunan diraja bagi pemimpin pembangkang yang dipenjarakan Anwar Ibrahim, dan beliau akan dibebaskan dalam masa beberapa hari lagi. Beliau kemudiannya layak untuk bertanding bagi kerusi parlimen; dengan seseorang di PH akan mengosongkan kerusinya bagi membolehkan Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil. Perdana Menteri Mahathir berkata beliau akan meletak jawatan dan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar bagi memenuhi impian pemimpin pembangkang itu sejak sekian lama. Keseluruhan proses ini akan mengambil sedikit masa.

Tetapi, pada masa yang sama, perdana menteri baru pantas melaksanakan tugasnya. Pada malam pilihan raya itu, Mahathir menjelaskan bahawa beliau tidak akan bertindak balas: "Kami tidak membalas dendam ... apa yang kita mahu adalah untuk memulihkan kembali kedaulatan undang-undang negara."

Mahathir tidak perlu melakukan pembersihan birokrasi meluas, yang sudah sekian lama menjadi keutamaan UMNO. Sebaliknya, beliau mengumumkan bahawa akan segera menyiasat rasuah membabitkan  tiga pegawai utama dan agensi mereka: Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang membatalkan siasatan terhadap Perdana Menteri Najib dan 1MDB; Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, yang mengetuai Suruhanjaya Pilihan Raya; dan ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Mahathir sepatutnya membatalkan segera akta antiberita tidak benar yang diluluskan Parlimen baru-baru ini, dan langkah-langkah zalim lain yang dilaksanakan UMNO. Beliau perlu pantas bergerak untuk mengenakan dakwaan hasutan terhadap lawan politiknya dengan menggugurkan atau memecat mereka.

Ini adalah beberapa langkah pembaikan yang lebih mudah. Jika tidak dilakukan sekarang, ia boleh menjadi lebih sukar kemudian nanti. Namun, PH adalah sebuah kerajaan gabungan, walaupun ia lebih menyeluruh selepas PAS menarik diri tahun lalu berikutan usahanya melaksanakan hokum hudud di Kelantan.

Dari aspek ekonomi, kerajaan menghadapi cabara untuk mengendalikan kerugian besar yang dialami 1MDB dan perkhidmatan hutang. Mahathir berkata, PH mengambil alih pentadbiran yang sarat hutang dengan sekurang-kurangnya berjumlah RM800 bilion tetapi pada masa yang sama, beliau berharap dapat menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang tidak popular. Kerajaan perlu segera melaksanakan dasar yang dapat menangani peningkatan pesat kos sara hidup rakyat.

Cabaran sebenar adalah bagaimana untuk berdepan dengan program tindakan afirmatif terbalik yang telah dilaksanakan sejak awal 1970-an dan memberi manfaat kepada kaum Melayu, daripada segala-galanya hinggalah kepada peruntukan tanah, kerusi universiti, pinjaman bank, dan peluang untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan.

Apa yang jelas, DAP menuntut supaya program-program tersebut ditamatkan; begitu juga dengan PKR dan parti baru pimpinan Mahathir. Tetapi, bagaimana kerajaan baru boleh merancang untuk melupuskan program tindakan afirmatif berkenaan - yang sekian lama digambarkan sebagai "landasan ketiga" politik Malaysia – adalah isu yang sangat sensitif.

Walaupun banyak tajuk berita menyarankan supaya kerajaan baru itu mengkaji semula beberapa projek pembangunan yang dibiayai kerajaan China baru-baru ini, ia nampaknya lebih cenderung untuk memberi tumpuan kepada projek-projek besar seperti Rel Keretapi Pantai Timur, yang mahu dikajinya dengan teliti. Ia amat bimbang dengan kemungkinan terjebak dalam perangkap hutang China.

Pilihan raya itu sepatutnya dapat merungkai gejala rasuah yang berleluasa, walaupun ia tidak dapat menjadi penawar untuk mengatasinya. Kerajaan PH mungkin membenarkan media berfungsi dengan lebih bebas dan membolehkan rakyat memantau pentadbirannya dengan lebih meluas. Sekiranya kerajaan tidak telus, mereka pasti mudah  kehilangan sokongan pengundi yang telah menempatkan mereka di tampuk pemerintahan untuk berkuasa.

1MDB

Persoalan besar ialah apa yang akan berlaku kepada Najib dan siasatan terhadap 1MDB.

Najib berjaya membatalkan siasatan kerajaan terhadap skandal tersebut. Kemungkinan besar kerajaan baru akan membuka semula kes berkenaan dan menyiasatnya, membawanya ke muka pengadilan terutamanya bagi dana AS$700 juta 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi banknya. Di samping itu,  siasatan kes 1MDB dilakukan di sekurang-kurangnya enam negara  termasuk Amerika Syarikat, Australia, Singapura dan Switzerland.

Malaysia, di bawah kepimpinan Najib, tidak  memberi kerjasama dan mengelak perkara itu. Ini pasti berubah kerana siasatan baru yang akan dijalankan Malaysia memerlukan kerjasama penting daripada pihak antarabangsa. Dan, selepas tidak lagi menjadi ketua kerajaan, Najib boleh didakwa di Amerika Syarikat.

Dalam masa yang sama, Mahathir telah mengarahkan Kementerian Kewangan untuk mendapatkan semula aset-aset berkenaan.

Ke mana UMNO selepas ini?

Soalan utama yang terakhir adalah apa yang berlaku kepada UMNO. Najib mungkin meletakkan jawatan sebagai presiden parti. Jika tidak, beliau akan digulingkan.

Tetapi persoalan yang lebih besar adalah bagaimana parti itu dapat mengemudi ahlinya ke hadapan. Dengan hanya mempunyai 54 kerusi, ia masih merupakan satu-satunya parti terbesar di Parlimen. Setelah menjadi pentadbir negara selama 61 tahun, ia pastinya mempunyai selonggok besar masalah dan sumber yang perlu disisihkan.

Bagaimanakah kedudukannya dalam parlimen baru? Ia boleh mengendurkan laluan politik identiti yang Najib tetapkan untuk  parti itu pada 2013, dan lebih-lebih lagi bagi 2018. Jika ia meneruskan strategi itu, dengan mengharapkan perjuangan yang lebih besar bersama-sama dengan PAS, ia terpaksa mengorbankan rakan-rakan parti komponennya dalam BN.

Atau ia boleh kembali kepada akar umbi.

Khairy Jamaluddin, bekas Menteri Belia dan Sukan, yang sejak sekian lama dilihat sebagai wajah masa depan UMNO, menampilkan kekaguman dalam kekalahan. Khairy dapat mempertahankan kerusinya pada pilihan raya itu dan kembali menempatkan dirinya  untuk memimpin UMNO keluar daripada abu kekalahan. Dan beliau dengan jelas menyindir Najib dalam catatannya di laman Facebook:

“Sekarang bermulalah tugas yang sangat berat, iaitu tugas untuk membina semula parti keramat kita. Saya mahu kita kembalikan UMNO kepada semangat yang asal. Di mana UMNO tidak dilihat sebagai parti yang terpisah dari rakyat, parti untuk golongan atas sahaja, parti yang tidak kisah soal integriti, parti yang dianggap bongkak dan sombong. Saya mahu UMNO kembali menjadi parti untuk orang ramai. Parti yang jaga maruah orang Melayu, yang menjaga kemakmuran bersama kaum-kaum yang lain, parti yang tidak rasis – parti yang benar-benar berjuang untuk semua lapisan masyarakat.”

Khairy mempunyai beberapa sekutu, dan pastinya ada pertempuran dalam memperjuangkan masa depan UMNO.

Namun, sehingga tiba masanya nanti, kita kini mempunyai kerajaan yang dipilih secara demokratik, dengan kewajaran yang meluas, yang mahu menamatkan amalan politik identiti dan membeli undi, sambil memberi media lebih kebebasan dan menjadikan kerajaan lebih bertanggungjawab.

Dan, itulah tsunami.



Zachary Abuza adalah profesor di Kolej Perang Nasional di Washington dan pengarang “Forging Peace in Southeast Asia: Insurgencies, Peace Processes, and Reconciliation.” Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan beliau sendiri dan bukan pandangan atau dasar Jabatan Pertahanan A.S, Kolej Perang Nasional atau BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.