Asia Timur Sebahagian Daripada Strategi Utama Perluasan IS

Komentari oleh Rohan Gunaratna
2017.09.26
170925-SEA-gunaratna-620.JPG Anggota tentera bergerak di tengah-tengah timbunan serpihan di dalam sebuah bangunan yang dirampas pasukan tentera Filipina semasa bertempur dengan yang dikaitkan dengan Negara Islam di bandar selatan Marawi, 14 Sept. 2017.
(Jeoffrey Maitem / BeritaBenar)

Dengan ruang pertempurannya di Iraq dan Syria semakin mengecil, Negara Islam (IS) kini menumpukan perhatian kepada membangunkan strategi besar bagi memperluaskan pengaruhnya di dunia.

Sebagai sebahagian daripada strategi itu, pusat media al-Hayat IS mengeluarkan video propaganda pada 23 Sept lalu dengan menampilkan Megat Shahdan Abdul Samad, seorang rakyat Singapura, yang mendesak umat Islam supaya berhijrah ke Asia Timur untuk melakukan jihad.

Video berdurasi tiga minit itu, yang merupakan episod keempat dalam siri "Inside the Caliphate" (dalam pemerintahan khalifah), telah mengenal pasti Shahdan sebagai "Abu Uqayl". Dia menghimpunkan para pejuang di Asia Timur dan menyeru umat Islam di tempat lain supaya menyertai mereka sama ada di Asia Timur, Syria, Afghanistan, Pakistan, Yaman, Afrika Barat atau Libya.

Sementara menantikan peluang untuk pulang dari Syria dan Iraq, para pejuang IS menyeru supaya diwujudkan rangkaian penghubung di negara masing-masing dan rantau itu.

Dengan IS telah mewujudkan keupayaannya di Filipina bagi menyasarkan Asia Tenggara dan Asia Timur Laut, ancaman itu tidak dapat dibendung tanpa kerjasama kerajaan-kerajaan serantau.

Tanpa adanya kerjasama tentera, penguatkuasaan undang-undang dan agensi-agensi keselamatan serantau, ancaman itu boleh berleluasa.

Ketika peranannya semakin berkurangan di Iraq dan Syria, Negara Islam memberi tumpuan kepada membina wilayahnya di Timur Tengah, Asia, Afrika, dan Caucasus. Dengan penubuhan bahagian Asia Timur di Filipina dan pengepungan Marawi, IS merancang untuk memperluaskan lagi pengaruh ideologi dan operasinya di Asia Tenggara.

Bagi menjejaskan kestabilan rantau itu, strategi IS adalah untuk meradikalisasi dan menenterakan rakyat  Asia Tenggara, termasuk warga Singapura. Shahdan, 39, telah direkrut di Timur Tengah oleh IS dan berjuang di Syria sekarang.

Mesej video

"Wahai mujahidin di Asia Timur, kamu telah menaikkan rangka struktur Khalifah, membawa kegembiraan kepada orang yang beriman, dan membangkitkan kemarahan musuh-musuh Allah. Jazakumullahu khayran [Semoga Allah memberi ganjaran kepada kamu]. Ingatlah bahawa sekarang anda memegang arang yang sangat panas dan berarak di jalan para nabi, "kata Shahdan dalam video itu.

"Begitulah juga para nabi diuji. Jadi, teruskanlah di jalan ini, dan berkorbanlan semua benda berharga. Tunjukkanlah kepada Allah apa yang dicintainya daripada kamu, kerana Allah telah menjanjikan kepada kamu satu daripada dua hasil yang hebat - kemenangan atau syahadah [syahid]. Oleh itu, inilah berita gembira buat kamu, wahai muwahhid, "katanya lagi.

"Dan kepada orang yang beriman di empat penjuru dunia, hijrah  dan jihad tidak akan terhenti lagi. Bagi orang yang bertakwa kepada Allah, mereka akan ditunjukkan jalan, jadi jawablah panggilan Allah Subhanahu wa Ta'ala dan berangkat majulah, sama ada berat atau ringan.

"Sertailah mujahidin di Asia Timur, dan bangkitkanlah hari-hari gelap buat tentera salib. Jika tidak, lakukanlah perjalanan ke Sham, Khurasan, Yaman, Afrika Barat, atau Libya. Demi Allah, pertempuran di sana baru mula memuncak. "

Video dalam bahasa Inggeris itu dihasilkan untuk rakyat Singapura dan mereka  yang  berbahasa Inggeris di rantau itu.

Strategi 3.0

Kenyataan Shahdan adalah selaras dengan strategi  3.0 IS. Strategi 1.0 adalah untuk mewujudkan asas kukuh IS di Iraq dan Syria manakala strategi 2.0 adalah untuk mewujudkan wilayah (wilayat).

Strategi IS 3.0 adalah untuk memperkasakan kumpulan ancaman yang berfikiran serupa, wilayat sedia ada dan bahagian-bahagian sokongan untuk menyebarkan ideologi dan mempergiatkan lagi  operasi.

Sebagai persediaan bagi strategi 3.0, IS mengerah rakyat di negara berkenaan supaya melakukan rekrut dari negara asal mereka dan negara jiran serantau. Mereka digesa melaksanakan strategi yang besar bagi perluasan IS. Mereka menyokong konflik serantau dengan memperkasakan lagi kumpulan berkenaan, membangunkan  bahagian dan mengisytiharkan wilayat untuk memerangi musuh mereka di seluruh dunia.

Pertama bagi Singapura

Buat pertama kalinya, rakyat Singapura  dipaparkan dalam propaganda IS. Berita itu sepatutnya menjadi amaran kepada rantau itu tentang hasrat IS pada masa depan.

Video propaganda itu tidak mencemaskan rakyat Asia Tenggara, sebaliknya menjadikan mereka lebih berwaspada. Ia akan memperkuatkan lagi resolusi kerajaan serantau untuk bekerjasama demi menjamin keselamatan rantau ini.

Tidak seperti beberapa pemimpin di Timur Tengah, para pemimpin Asia Tenggara telah mengambil pendirian tegas terhadap IS. Di samping itu, menterui-menteri dalam negeri dan pertahanan sedang mempersiapkan keupayaan risikan dan tindakan langsung yang diperlukan untuk membendung, mengasingkan dan menghapuskan ancaman IS.

IS semakin berkembang di rantau yang mempunyai penduduk Islam yang ramai.

Selalunya, strategi IS menggunakan penduduk tempatan untuk merekrut penduduk tempatan serta memperdayakan  mereka untuk menyertai pertubuhannya.

Mereka yang pergi ke medan, dikerah pula untuk memujuk yang lain di negara mereka dengan tujuan memudahkan perjalanan mereka ke zon konflik bagi berjuang atau melancarkan serangan di tanah air mereka.

Singapura adalah sasaran berharga bagi pengganas tumpuan IS dan al-Qaeda. Bagaimanapun rakyat Singapura dibesarkan supaya  menghargai keharmonian dan mempunyai daya tahan untuk menepis pengaruh propaganda IS, jadi mesej itu tidak medapat  sambutan meluas.

Rakyat Singapura menghargai kesederhanaan, toleransi dan kewujudan bersama. Setelah memahami bahaya yang dicetuskan IS  di tempat lain, para pemimpin kerajaan dan pemimpin masyarakat Singapura, terutamanya pemimpin Islam, telah bertindak tegas terhadap ancaman tersebut.


Rohan Gunaratna adalah seorang Profesor Pengajian Keselamatan di Institusi Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam di Universiti Teknologi Nanyang dan mengetuai Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Penyelidikan Keganasan di Singapura.

Pendapat yang dinyatakan di dalam komentar ini adalah pandangan penulis dan bukannya daripada BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.