Masa tuntut keadilan mangsa Tak Bai berakhir

Statut pengehadan masa kes itu tamat pada Jumaat tetapi ingatan terhadap kekejaman pada tragedi Oktober 2004 masih kekal di selatan Thailand
Komentar oleh Don Pathan
2024.10.25
Bangkok, Thailand
Masa tuntut keadilan mangsa Tak Bai berakhir Sekumpulan wanita tempatan mengangkat sepanduk menuntut keadilan bagi mangsa pembunuhan beramai-ramai Tak Bai pada Oktober 2004 di tanah perkuburan Narathiwat, wilayah Selatan Thailand, 25 Oktober 2024.
[Madaree Tohlala/AFP]

Orang Melayu Islam di wilayah sempadan selatan Thailand menerima tamparan hebat tetapi mereka tidak pernah putus harapan agar kerajaan meminda kanun jenayah untuk melanjutkan statut pengehadan masa 20 tahun bagi perbicaraan kes pembunuhan beramai-ramai Tak Bai.

Mereka berharap kesemua 14 suspek, kini merupakan pesara pegawai kerajaan dapat diheret ke muka pengadilan atas kematian 85 penunjuk perasaan tidak bersenjata di Tak Bai pada 25 Oktober 2004.

Statut pengehadan masa tamat tempoh pada Jumaat tanpa mana-mana suspek ditahan, walaupun terdapat waran untuk menangkap mereka.

Dalam beberapa minggu lalu, terdapat demonstrasi dan seminar yang tidak henti-henti mengenai kejadian itu. Ini termasuk sidang Senat dan protes awam di hadapan pangkalan tentera di wilayah Yala, di mana orang ramai menuntut kerajaan meminda kanun jenayah dan menunjukkan komitmennya terhadap keadilan.

Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra dan anggota Kabinetnya meminta ruang dalam prosedur penggubalan undang-undang dengan menyatakan permintaan itu mesti diteliti dan proses sewajarnya mesti dipatuhi.

Sambil memohon maaf kepada waris mangsa pada Khamis, beliau berkata langkah melanjutkan statut pengehadan dalam kes Tak Bai adalah mustahil dari segi perlembagaan.

Tiada pihak yang mahu mengakui asas politik kepada tercetusnya insiden itu, atau bagaimana sistem keadilan negara dan kedudukan antarabangsa dipertaruhkan.

Daripada 85 mangsa, tujuh individu ditembak mati di tempat kejadian protes manakala selebihnya mati lemas ketika disusun seperti kayu balak di belakang trak tentera, selepas ditangkap dan ditahan.

Mereka adalah antara hampir 1,400 penunjuk perasaan yang mendesak pembebasan enam anggota keselamatan kampung kerana dituduh sengaja menyerahkan senjata mereka yang dibekalkan kerajaan kepada pemberontak pemisah.

TH-Tak-Bai-incident 2 (1).jpg
Anggota polis dan askar Thai menahan penunjuk perasaan yang dipaksa meniarap di balai polis Tak Bai, Narathiwat, Thailand, 25 Oktober 2004. [AFP]

Pembunuhan beramai-ramai itu berlaku pada bulan Ramadan yang dianggap suci oleh umat Islam. Jeneral Pisarn Wattanawongkiri, komander tentera tertinggi di wilayah itu yang berada di lokasi demonstrasi telah segera ditugaskan semula. Beliau sepatutnya bersara daripada Tentera Diraja Thai dengan hormat beberapa tahun kemudian.

Tidak lama selepas pembunuhan itu, klip rakaman video mengenai kejadian itu menjadi tular. Ia menunjukkan penunjuk perasaan ditendang dan dihentak dengan buntut senapang ketika mereka dipaksa merangkak ke dalam trak.

Mesej yang diberikan kepada mangsa dan orang Melayu Islam, yang membentuk kira-kira 85 peratus daripada dua juta penduduk di wilayah yang dipertikaikan dari segi sejarah ini, adalah jelas: Anda adalah orang yang kalah dan tidak banyak yang boleh anda lakukan selain belajar bagaimana untuk hidup dengan realiti ini; jangan lupa bahawa menentang pihak berkuasa perlu dibayar dengan harga yang mahal.

Sudah tentu mesej itu ditolak mentah-mentah.

Pembunuhan beramai-ramai Tak Bai menjadi sebahagian daripada naratif yang kuat, bukan sahaja untuk orang Melayu Islam tempatan kerana ia mengukuhkan ketidakpercayaan sejarah mereka terhadap negara Thailand malah bagi pemberontak pemisah, ia akan menjadi alasan untuk menggerakkan usaha merekrut anggota baharu.

Dalam apa yang disifatkan sebagai tanda muhibah, Perdana Menteri ketika itu Thaksin Shinawatra melancarkan kempen perdamaian bagi meredakan kemarahan orang Melayu di wilayah sempadan.

Dia meminta rakyat negara itu melipat burung origami, yang dijatuhkan dari pesawat tentera di bahagian selatan. Mereka yang berjaya mengumpul 20 burung kertas itu akan diberikan satu karton susu.

Walaupun dengan niat sedemikian, kaedah kempen perdamaian itu membingungkan kedua-dua militan dan umat Islam, yang mempunyai tafsiran berbeza sama sekali tentang 'burung' yang dijatuhkan dari udara.

Pemahaman Islam mengenai menjatuhkan burung adalah pertempuran, kata ahli parlimen pembangkang Allahyarham Surin Pitsuwan, seorang Muslim kepada Parlimen. Ia menunjuk kepada Surah ke 105 dalam al-Quran iaitu al-Fil (Gajah) di mana Tuhan menurunkan "segerombolan burung" ke atas tentera Abrahah dan memusnahkan mereka hingga hancur seperti daun-daun kayu dimakan ulat.

Perdana Menteri Surayud Chulanont yang dilantik oleh junta selepas Thaksin digulingkan dalam rampasan kuasa 2006, memohon maaf kepada ahli keluarga mangsa Tak Bai semasa mesyuarat dewan bandaran di wilayah Pattani pada 2007.

Namun negara dan masyarakat Thailand tidak merasakan keperluan untuk menyokong permohonan maaf Surayud itu. Tiada monumen awam atau acara rasmi untuk memperingati peristiwa tragis itu.

Pada Mei 2009, Mahkamah Wilayah Songkhla memutuskan bahawa pegawai keselamatan yang dikerahkan untuk menghentikan protes Tak Bai telah bertindak mengikut tugas mereka manakala 78 daripada mangsa telah meninggal dunia akibat sesak nafas.

Dalam erti kata lain, mangsa mati akibat keadaan malang dan bukannya tindakan yang disengajakan. Tiada sebarang ketetapan dibuat mengenai tujuh lagi mangsa yang ditembak mati di lokasi kejadian.

TH-Tak-Bai-incident 3.jpg
Orang ramai berkumpul untuk menuntut keadilan bagi mangsa pembunuhan beramai-ramai Tak Bai Oktober 2004 ketika tunjuk perasaan di Bangkok, 15 Oktober 2024. [Lillian Suwanrumpha/AFP]

Pada 2012, kerajaan ketika itu Yingluck Shinawatra, adik perempuan Thaksin memberikan pampasan sebanyak 7.5 juta baht (AS$222,028) kepada keluarga setiap mangsa.

Bagaimanapun, pampasan kewangan masih masih tidak mencukupi bagi mendapatkan keadilan, tidak kira betapa sukarnya pegawai Thai dan sekutu politik Thaksin itu.

Pada Ogos dan September lalu, mahkamah Thailand memutuskan untuk membicarakan kes-kes tersebut dan membawa tuduhan membunuh terhadap 14 lelaki terdiri daripada jeneral tentera Pisarn kepada pemandu trak pengangkutan.

Bagi sesetengah orang, ia adalah peluang untuk mendapatkan keadilan manakala bagi yang lain, ia adalah peluang untuk menutup buku bagi menyembuhkan luka dan bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara.

Militan telah muncul semula pada pertengahan 2001, selepas berdiam diri selama sedekad. Namun kehadiran mereka tidak diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan Thaksin sehingga mereka melakukan rompakan senjata utama dari depoh senjata tentera di wilayah Narathiwat, di mana terletaknya Tak Bai pada Januari 2004.

Tiada jalan penghujung

Dalam tempoh 20 tahun kemudian, lebih 7,500 orang telah terbunuh akibat keganasan berkaitan pemberontakan dan jalan penghujungnya masih tidak kelihatan walaupun beberapa kali kerajaan cuba berunding dengan pemberontak.

Inisiatif keamanan tidak pernah melangkau langkah membina keyakinan. Dengan pengukuhan kedudukan tentera dan kelompok konservatif selepas perjanjian ‘Faustian’ dengan parti pemerintah Pheu Thai, rundingan damai berkemungkinan menjadi lebih sukar berbanding sebelum ini.

TH-Tak-Bai-incident 4.jpg
Paridah Toleh, ibu kepada Saroj Toleh, mangsa pembunuhan beramai-ramai Tak Bai Oktober 2004, menunjukkan gambar anaknya dalam album foto lama di wilayah selatan Narathiwat, Thailand, 24 Oktober 2024. [Madaree Tohlala/AFP]

Ketika menghampiri ulang tahun ke-20 insiden itu, keganasan di bahagian selatan semakin meningkat. Namun serangan tahun ini jauh lebih ganas, mungkin kerana undang-undang pengehadan dalam insiden Tak Bai tamat dan militan pemisah perlu mengingatkan negara itu terutamanya pasukan keselamatan Thailand di wilayah selatan yang mempunyai ketenteraan yang kuat bahawa kes itu masih jauh untuk ditutup.

Parti pemerintah semasa, Pheu Thai, cabang Thai Rak Thai diketuai oleh anak perempuan Thaksin, Paetongtarn yang berusia 38 tahun. Pisarn menjadi anggota kanan parti dan ahli parlimen sehingga peletakan jawatannya pada 14 Oktober, seolah-olah bagi menjauhkan parti pemerintah daripada kes itu.

Seperti individu lain yang telah didakwa oleh mahkamah Thailand pada Ogos lalu, Pisarn gagal ditemui di mana-mana, sama juga seperti perdamaian nasional.

Don Pathan ialah seorang penganalisis keselamatan yang berpangkalan di Thailand. Pandangan yang dinyatakan dalam ruangan ini adalah dari buah fikiran beliau sendiri dan tidak menggambarkan pendirian BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.