2023 bakal saksikan lebih banyak keganasan di Selatan Thailand
2023.01.06
Pemberontakan oleh puak pemisah di wilayah-wilayah sempadan Thailand, yang mempunyai majoriti penduduk Melayu Islam, baru sahaja menempuh tahun ke-20.
Keganasan di Selatan Thailand mencatatkan peningkatan pada 2022, yang membawa petunjuk bahawa rasa kecewa mungkin kian memuncak berikutan sikap kerajaan yang tidak bersungguh-sungguh terhadap usaha proses damai.
Secara keseluruhannya, keganasan meningkat pada tahun lepas tetapi masih agak rendah jika dibandingkan dengan sejarah, menurut set data sumber terbuka yang disimpan oleh penulis ini. Jumlahnya adalah konservatif kerana tidak semua serangan atau insiden keganasan yang dilaporkan oleh media.
Kira-kira 30 orang - tidak termasuk pemberontak - terbunuh manakala 123 orang lagi cedera dalam keganasan yang berlaku di Selatan Thailand pada tahun lepas. Walaupun ia menunjukkan pertambahan dalam jumlah kematian, namun ia adalah sedikit berbanding sedekad yang lalu di mana angkanya adalah lebih daripada 10 kali ganda jumlah mereka yang terkorban dan enam kali ganda bagi jumlah mereka yang cedera.
Pada 2022, sejumlah 29 orang terbunuh dalam purata masa 2.5 sebulan, yang jauh lebih rendah daripada purata bulanan di mana empat orang terbunuh dalam tempoh lima tahun lalu. Bagaimanapun, bilangan orang yang cedera adalah sebanyak 123, yang mewakili peningkatan 156% berbanding pada 2021.
Antara yang terbunuh adalah 38 peratus dari pasukan keselamatan. Mereka juga terdiri daripada 68 peratus daripada orang yang cedera dalam keganasan serantau pada 2022.
Pendek kata, pasukan keselamatan tetap menjadi sasaran utama. Tetapi, jika dibandingkan dengan orang awam, mereka mempunyai perlindungan yang lebih baik merangkumi perisai badan dan dilengkapi dengan peralatan perubatan yang menyelamatkan nyawa.
Jumlah serangan yang melibatkan bom buatan sendiri juga meningkat dengan mendadak.
Terdapat 69 serangan IED pada 2022, yang merupakan purata 5.75 sebulan. Sebaliknya, terdapat hanya 33 dan 19 serangan IED masing-masing pada 2020 dan 2021. Di samping itu, anggota skuad bom telah meredakan enam alat letupan buatan sendiri. Terdapat juga enam serangan bom tangan.
Selain itu, terdapat 17 pembunuhan bersasar pada tahun itu, yang mencatatkan purata 1.42 sebulan dan berada di bawah purata lima tahun dengan catatan 2.45 sebulan. Mereka yang menjadi sasaran dalam serangan sedemikian adalah anggota pasukan keselamatan yang menunggang motosikal bersama keluarganya, pemberi maklumat, atau pengkritik Barisan Revolusi Nasional (BRN), iaitu kumpulan pemberontak bersenjata paling berkuasa di Selatan Thailand.
Keganasan lain termasuklah 11 serangan pembakaran sengaja serta lapan serangan di menara selular dan elektrik. Kira-kira 11 serangan berasingan dilakukan di landasan kereta api termasuk pengeboman pada 3 Disember yang menyebabkan 11 daripada 20 gerabak tergelincir.
Ini disusuli pula oleh serangan bom pada hari berikutnya yang menyasarkan mangsa pertama. Pada 17 Ogos, pemberontak meletupkan 17 bom kecil yang kebanyakannya menyasarkan serentak kedai serbaneka 7-11 dan menyebabkan tiga orang terkorban.
Terdapat beberapa serangan berani termasuk serangan 10 orang ke atas polis maritim dan kemudahan kastam di Tak Bai pada Mei, yang menyebabkan tiga pegawai cedera. Bagaimanapun, secara keseluruhannya, bilangan serangan ke atas pos pasukan keselamatan berkurangan kepada 5. Terdapat hanya 11 pertempuran berpanjangan di antara pasukan keselamatan dan pemberontak, yang merupakan satu lagi petunjuk mengenai sumber terhad pemberontak.
Ia adalah tahun yang sukar bagi pemberontak. Selain menembak mati seramai 18 orang, pasukan keselamatan juga menahan 11 suspek. Secara keseluruhannya, pasukan keselamatan telah membunuh lebih 60 militan sejak BRN mengisytiharkan gencatan senjata unilateral pada Mei 2020 iaitu semasa pandemik COVID-19 berlaku, dengan kadar kematian yang merugikan.
Proses damai
Beberapa pusingan rundingan damai, yang dilakukan secara maya dan secara bersemuka, telah diadakan pada 2022.
Walaupun BRN nampaknya telah melakukan dua konsesi utama apabila bersetuju untuk berunding di bawah rangka kerja perlembagaan Thailand dan menerima prinsip negara kesatuan Thailand, namun ia masih belum mencapai sebarang kemajuan.
Pada pertemuan yang diadakan pada Mac, kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata Ramadan sebagai tanda muhibah.
Sebagai balasan, kerajaan Thailand mengambil langkah yang tidak pernah dilakukan sebelum ini apabila Pemerintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri mengumumkan bahawa pemberontak boleh pulang dengan selamat ke kampung halaman untuk menunaikan ibadah Ramadan, dalam inisiatif yang dikenali sebagai Masjids San Jai Soo Santi (Ke Masjid demi Keamanan). Oleh itu, gencatan senjata sebenarnya berlangsung lebih lama daripada 40 hari yang dirundingkan itu.
Rundingan pusingan keenam pada Oktober telah ditangguhkan berikutan pilihan raya umum Malaysia. Tetapi pada Disember, kedua-dua pihak merangka draf perjanjian bagi melaksana gencatan senjata dan menarik balik waran tangkap untuk perunding BRN.
Namun, gencatan senjata nampaknya tidak mungkin berlaku. Tahun 2022 menyaksikan peningkatan keganasan yang dilakukan oleh Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani, saingan kepada BRN.
PULO melancarkan beberapa serangan, termasuk dua pengeboman pada April semasa gencatan senjata Ramadan BRN dilaksanakan. Walaupun ia merupakan organisasi yang jauh lebih kecil dengan keupayaan ketenteraan yang terhad, PULO cuba memanfaatkan apa yang ada di meja rundingan.
Pada Januari 2023, Anwar Ibrahim, perdana menteri baharu Malaysia yang mempunyai kepentingan peribadi dalam situasi di Selatan Thailand, memilih bekas panglima tentera, Jen. Zulkifli Zainal Abidin, sebagai fasilitator baharu bagi proses damai yang diperantarakan Malaysia.
Zulkifli menggantikan bekas ketua polis negara Abdul Rahim Noor, yang terikat dengan insiden menumbuk Anwar, ketika Anwar dipenjarakan pada 1998. Tetapi, seperti yang dikatakan oleh seorang penganalisis Malaysia, Cawangan Khas memberi tekanan kepada tentera dalan hal ehwal Selatan Thailand.
Thailand terus bimbang tentang mengantarabangsakan konflik, dan masih agak curiga terhadap usaha fasilitasi Malaysia. Pada Januari 2022, Kuala Lumpur cuba membina kepercayaan dengan menyerahkan tiga suspek militan BRN kepada pihak berkuasa Thailand iaitu penyerahan yang pertama sejak tadika itu dibuka pada 1997.
Walaupun rakyat Malaysia melihat pelantikan Zulkifli sebagai suatu suntikan baharu untuk proses damai, namun amatlah sukar untuk melihat sebarang momentum kerana Thailand kini menuju ke pilihan raya, yang dirancang diadakan pada Mei.
Mana-mana kerajaan baharu hanya boleh bergerak dalam parameter yang ditetapkan oleh kepimpinan Tentera Darat. Pihak Tentera berjaya menurunkan keganasan pada tahap yang cukup rendah sehingga mereka boleh mengaitkannya dengan jenayah, tanpa membuat sebarang konsesi penuh makna atau menangani sebarang rungutan teras BRN.
Strategi kerajaan nampaknya menggunakan rundingan damai yang berpanjangan itu untuk menimbulkan perpecahan dalam kalangan pemberontak.
Rasa kecewa terhadap BRN nampaknya kian meningkat, yang menjelaskan tentang peningkatan keganasan. Ia juga tidak jelas sama ada pejuang BRN di lapangan telah mengesahkan konsesi yang dibuat oleh kepimpinan.
Oleh itu, keganasan nampaknya akan meningkat lebih banyak lagi pada 2023.
Zachary Abuza adalah seorang profesor di National War College dan profesor adjung di Georgetown University di Washington. Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pendapatnya sendiri dan tidak mewakili pendirian Jabatan Pertahanan AS, National War College, Georgetown University atau BenarNews.