Perdana Menteri Langgar Protokol, Jejaskan Perbincangan Damai Selatan Thailand
2018.05.15
Yala, Thailand

Perbincangan damai di antara Thailand dan kumpulan induk yang mewakili kumpulan pemisah Melayu Patani terhenti seketika kerana pihak pemberontak merasa terhina dengan tindakan Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha yang "terburu-buru" membuat pengumuman mengenai projek perintis Zon Keselamatan yang menjadi tumpuan ramai.
Sumber kedua-dua pihak mengesahkan bahawa perbincangan antara kerajaan Bangkok dan MARA Patani, panel yang berunding bagi pihak kumpulan pejuang pemisah lama di Selatan Thailand, telah terhenti berikutan tindakan Prayuth dianggap sebagai melanggar protokol.
MARA Patani berasa dimalukan dan diperkecilkan kerana mereka menjangka pelancaran yang lebih rasmi bagi apa yang mereka anggap sebagai satu "pencapaian besar" - pengumuman projek perintis Zon Keselamatan, atau gencatan senjata terhad secara geografi, di wilayah sempadan selatan Thailand.
Sumber bagi satu daripada organisasi yang turut menganggotai MARA Patani berkata, mereka ingin melihat pihak Thailand mengulangi komitmen yang sama seperti mana yang telah diumumkan kerajaan Yingluck Shinawatra pada Februari 2013, apabila proses dialog damai dilancarkan buat pertama kalinya.
Inisiatif Yingluck menandakan buat pertama kalinya kerajaan Bangkok menyatakan secara terbuka bahawa ia bertekad untuk menyelesaikan konflik selatan menerusi cara politik. Sebelum itu, inisiatif damai tidak didedahkan kepada umum.
Walaupun hakikatnya Zon Keselamatan tidak memberi banyak kesan kepada usaha mendapatkan penyelesaian bagi konflik yang berdekad-dekad lamanya di Selatan Thailand, yang majoriti penduduknya adalah orang Islam, namun, nampaknya ia adalah satu-satunya perkara yang perlu ditonjolkan oleh Thailand dan MARA Patani dalam perbincangan damai itu. Ini menjelaskan mengapa pihak MARA Patani amat sensitif dengan perkara yang berkaitan dengan protokol.
Ia juga menjelaskan mengapa Jeneral Aksara Kerdpol, ketua perunding bagi pihak Thailand, telah tampil untuk memaklumkan mengenai pembebasan tiga tahanan, yang masih belum dilakukan, seperti yang diminta oleh MARA Patani sebagai pra-syarat pelaksanaan gencatan senjata. Menyedari bahawa perdana menterinya telah melakukan kesilapan, Aksara, telah mengumumkan tentang kemungkinan pembebasan tiga lelaki itu, yang sekali gus mengutus mesej kepada pihak MARA Patani bahawa pihakya masih berpegang kepada apa yang dibincangkan mereka.
Ketiga-tiga tahanan itu akan dipindahkan ke pusat menunggu, yang dikenali sebagai "apartmen", yang terletak di dalam kawasan Jawatankuasa Islam Pattani. Ia juga dikenali sebagai "rumah selamat" di mana mereka akan dikawal oleh tentera Thailand sehingga maklumat seterusnya diberitahu kelak.
Faktor BRN
Sementara itu, sumber-sumber pegawai keselamatan Thailand dan militan di lapangan berkata, tidak ada apa yang akan berubah sehinggalah Barisan Revolusi Nasional (BRN) berunding secara langsung dengan pihak kerajaan Thailand. BRN adalah satu daripada gerakan pemisah lama, dan ia menguasai hampir semua militan di lapangan.
Bangkok memberi amaran kepada BRN supaya berbincang menerusi MARA Patani, tetapi kumpulan itu menegaskan bahawa mereka hanya akan bertemu dengan kerajaan Thailand secara langsung dan hanya akan ke meja perbincangan selepas yakin yang mereka telah dilatih dengan baik.
Selain itu, apa-apa perbincangan mestilah selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, yang bermaksud bahawa ahli-ahli komuniti antarabangsa harus dibenarkan menjadi orang tengah perbincangan itu, kata sumber BRN.
Para pembuat dasar di Bangkok menolak idea untuk memperluaskan penyertaan dalam proses damai itu yang dipermudahkan oleh Malaysia dan sehingga kini, tidak berminat dengan idea untuk membenarkan ahli komuniti antarabangsa terlibat secara langsung dengan BRN.
Melibatkan komuniti antarabangsa
Tetapi, pegawai Thailand lain menyatakan bahawa mereka telah megetepikan pemahaman ‘siapa menang, dia yang berkuasa’. Ini kerana, ‘ lampu hijau’ telah diberikan kepada anggota komuniti antarabangsa untuk bekerjasama dengan BRN dan organisasi masyarakat sivil tempatan (CSO) termasuk mereka yang lantang mengkritik negara,bagi membantu melaksanakan pembangunan kapasiti dan membiasakan mereka dengan pelbagai konsep, seperti undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan norma-norma antarabangsa yang lain.
Mereka yang berusaha gigih dalam tentera, terutamanya Wilayah Tentera Keempat yang menyelia keadaan keselamatan di pedalaman Selatan, tidak terlalu berminat dengan idea untuk membenarkan NGO antarabangsa atau kerajaan asing menjadi terlalu terlibat dalam hal ehwal di pedalaman Selatan kerana bimbang perlu menerangkan kepada orang luar tentang taktik dan cara pengendalian mereka yang dipersoalkan di wilayah yang bergolak itu.
Para pengkritik merujuk kepada timbunan tuduhan pelanggaran hak asasi manusia dan gangguan pemimpin CSO dan aktivis politik di wilayah itu. Serbuan yang baru-baru ini dilakukan ke atas rumah seorang aktivis muda Melayu Patani, Artef Sohko, oleh kira-kira 60 pegawai keselamatan, adalah anatara kes yang dibangkitkan.
Pihak berkuasa merampas beberapa kertas akademik dari rumah Artef. Ia dalam bahasa Inggeris dan adalah mengenai proses damai di rantau Mindanao di selatan Filipina.
"Mereka berkata mereka akan menerjemahkannya. Saya sangat berharap mereka belajar sesuatu daripadanya, "kata Artef.
Selain itu, Kerdpol, ketua perunding Thailand, juga bimbang dengan penyertaan orang luar yang boleh menjejaskan peranannya sebagai satu-satunya mandat untuk berunding dengan para pemberontak, kata pegawai Thailand yang mengawasi konflik Selatan itu.
Sikap sedemikian mungkin dicabar jika dan apabila junta Thai meletakkan senjata dan kerajaan baru pula yang berkuasa. Sejumlah besar pegawai Thailand (bukan tentera) menyukai idea untuk membuka proses itu bagi membolehkan anggota komuniti antarabangsa untuk mengambil bahagian dalam proses damai jika ia membawa BRN ke meja perbincangan.
Mereka berkata, anggota BRN yang mendakwa menduduki MARA Patani, tidak mendapat restu majlis pemimpin kumpulan itu, iaitu Dewan Pimpinan Parti (DPP). Dan sehingga ia berlaku, proses dialog dengan MARA Patani adalah lebih sedikit daripada "perbincangan di kedai” sahaja.
BRN, sebaliknya, berkata, Thailand terus mengambil ringan tentang mereka dan hanya mahu menamatkan keganasan politik tanpa menangani kesengsaraan yang menjadi sejarah dan penyebab utama konflik di pedalaman Selatan.
Mereka berkata, tindakan Prayuth yang "terburu-buru" melakukan pengumuman tentang Zon Keselamatan bukanlah kali pertama Bangkok memalukan MARA Patani. Hakikatnya, Kerajaan Thailand terus merujuk kepada organisasi payung itu sebagai "Pihak B" dan bukannya merujuk kepada mereka dengan nama organisasi mereka, adalah juga kes yang menjadi perhatian.
Dalam analisis akhir, Zon Keselamatan merupakan satu lonjakan besar keimanan tetapi ia pasti akan gagal kerana projek ini terletak pada asas yang goyah.
Kumpulan yang mengawal militan di lapangan - BRN - mungkin berjanji untuk tidak mensabotaj projek itu tetapi seseorang pasti tertanya-tanya berapa lama ia dapat bertahan.
Don Pathan adalah seorang perunding dan penganalisis keselamatan yang berpejabat di Thailand. Pendapat yang dinyatakan dalam komentar ini adalah pendapat pengarang dan bukannya BeritaBenar.