Perbincangan Damai Selatan Thailand Berdepan Halangan Berikutan Tuntutan Pemberontak

Komentar oleh Don Pathan
2018.03.29
Yala, Thailand
deepsouth.jpeg Anggota tentera Thailand melihat kanak-kanak bermain ‘hula-hoop’ semasa melaksanakan operasi psikologi di sebuah kampung di wilayah Narathiwat, selatan Thailand, 17 Jun 2011.
[AP]

Perbincangan damai Thailand dengan pemberontak Muslim di Selatan Thailand berdepan halangan selepas pemberontak mengancam untuk tidak meneruskan pelaksanaan inisiatif Zon Keselamatan melainkan jika Bangkok melepaskan tiga ahli mereka yang sedang dipenjarakan.

Pegawai-pegawai Thailand menegaskan bahawa gesaan supaya membebaskan tiga tahanan itu bukanlah permintaan yang terikat kepada prospek sebuah zon keselamatan - atau gencatan senjata terhad dari segi geografi - tetapi "permintaan" daripada MARA Patani, panel yang mewakili kumpulan pemberontak dalam perbincangan damai itu. Pegawai memberitahu saya bahawa Kementerian Kehakiman sedang meneliti kes itu.

Jika dibenarkan, pembebasan mereka bukanlah atas dasar pengampunan sebaliknya sebagai pelepasan awal, menurut sumber, yang enggan dirinya dinamakan.

Jika tidak, ia akan menjadi satu halangan bagi Zon Keselamatan, yang merupakan projek yang banyak diperkatakam dan bakal menjadi wadah penting Thailand kepada komuniti antarabangsa. Projek itu melibatkan penentuan sebuah daerah di mana gencatan senjata boleh dilaksanakan di wilayah sempadan selatan Thailand.

MARA Patani, sebuah organisasi induk yang terdiri daripada enam pergerakan pemisah yang diasaskan sejak sekian lama, memulakan perbincangan damai dengan kerajaan Thailand tiga tahun lalu.

Sama seperti inisiatif damai sebelum ini, perbincangan Thailand dengan MARA Patani bukanlah bersandarkan kepada asas yang kukuh kerana organisasi induk itu tidak dapat mengawal para pemberontak di lapangan.

Seorang pegawai risikan tentera menyifatkan penglibatan Thailand dengan MARA Patani sebagai "hanya melengahkan masa" sehinggalah kepimpinan Barisan Revolusi Nasional (BRN), satu kumpulan yang menguasai hampir semua militan di lapangan, memutuskan untuk menyertai proses damai itu.

Setakat ini, tidak ada petunjuk yang BRN akan mengubah pendiriannya - bukan kerana tiadanya cubaan pada pihak MARA Patani atau Malaysia, yang bertindak sebagai fasilitator yang ditetapkan.

Harapan samar

Harapan, walaupun sekelumit, muncul lewat tahun lepas semasa pertemuan antara pengantara Malaysia, Ahmad Zamzamin Hashim, yang merupakan ketua risikan yang sudah bersara, dan dua ahli kanan majlis kepimpinan BRN.

Ahmad Zamzamin menerima jaminan daripada para pemimpin BRN bahawa militan mereka tidak akan mensabotaj inisiatif Zon Keselamatan, yang akan dilaksanakan di daerah yang belum dinamakan di satu daripada tiga wilayah yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam di Selatan Thailand. Idea itu dibangkitkan oleh MARA Patani dan Panel Dialog Thailand.

Sumber BRN berkata, mereka masih komited untuk mendapatkan kemerdekaan bagi Patani, tanah air bersejarah Melayu yang kini membentuk tiga wilayah selatan Thailand. Mereka tidak bercadang untuk mengadakan rundingan dengan orang Thailand, kata mereka.

Malah, satu mesyuarat yang dirancang antara perunding utama negara, Jeneral Aksara Kerdpol dengan seorang tokoh kanan BRN, Doonloh Wae-mano (alias Abdullah Wan Mat Noor), yang akan diadakan di Indonesia, tidak boleh ditafsirkan sebagai suatu bentuk kejayaan pun.

Namun, hakikat bahawa BRN bersetuju untuk tidak mensabotajkan projek Zon Keselamatan dan membenarkan inisiatif itu dilaksanakan telah mendapat sambutan di Thailand walaupun adanya ironi yang ketara bahawa para peserta perbincangan itu, MARA Patani dan kerajaan Thailand, tidak dapat mengawal militan bersenjata.

Saling berbalah

Bangkok mahu menjadikan projek Zon Keselamatan itu sebagai wadah untuk ditampiklkan kepada orang ramai dan dunia bahawa ia telah mencatatkan "kemajuan" dalam usaha untuk menamatkan konflik pemisah yang telah mengorbankan hampir 7,000 orang sejak Januari 2004.

Buat seketika, perkara itu nampaknya bergerak menuju arah yang betul.

Orang ramai menantikan pelancaran Zon Keselamatan itu yang dijadualkan pada April 2018. Kemudian, muncul pula tuntutan MARA Patani supaya tiga ahlinya dibebaskan dari penjara, demikian sumber kedua-dua pihak memberitahu saya.

Selain adanya tawar-menawar serta cabaran politik dan undang-undang yang mengiringinya, inisiatif damai Thailand bagi Selatan Thailand juga berdepan beberapa halangan besar daripada mereka yang berada di negara ini.

Perbalahan antara Aksara dan Komander Wilayah Tentera Keempat Lt. Jen Piyawat Nakwanich, yang mengawasi keselamatan di Selatan Thailand, juga boleh memberi kesan negatif terhadap strategi kerajaan bagi kawasan itu.

Sumber-sumber kerajaan memberitahu bahawa tiadanya kesepakatan adalah sebahagian daripada ‘perang’ antara kedua-dua pegawai tinggi Tentera itu, yang saling mengkritik satu sama lain menerusi media.

Dalam satu kenyataan kepada media baru-baru ini, Piyawat berkata, projek Zon Keselamatan Aksara bukanlah sesuatu yang mengujakan dan menambah kata bahawa beliau sendiru telah mewujudkan 14 zon serupa namun beliau enggan bercakap besar tentangnya.

Piyawat juga bercakap mengenai projek Bawa Pulang Rakyat, program pengampunan yang sepatutnya membantu bekas pemberontak kembali menjalani kehidupan awam yang biasa, dengan menyifatkannya sebagai satu kejayaan kerana memberi kesan kepada moral BRN dan pendirian pihak tentera.

Menurut sumber kerajaan Thailand yang mengawasi konflik selatan, perbalahan itu berpunca daripada pertikaian tentang siapa yang harus mengawasi program yang mana.

Ahli-ahli Panel Dialog, nama rasmi pasukan perbincangan Thailand, percaya bahawa merekalah yang mesti mentadbir program itu kerana mereka adalah orang yang berurusan secara langsung dengan pemberontak dan, oleh itu, mereka berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk mengendalikan program itu.

Perbalahan antara Aksara dan Piyawat memaksa seorang ahli kanan MARA Patani untuk mengeluarkan satu kenyataan umum, dengan menuduh komander Wilayah Tentera Keempat telah menimbulkan kekeliruan.

Shukri Hari berkata, projek pengampunan Piyawat dan versi 14 "zon keselamatan" daerah beliau adalah jauh berbeza daripada program yang dibincangkan di meja rundingan antara organisasi induknya dan Panel Dialog.

Sumber-sumber BRN menolak dakwaan kejayaan Piyawat, dengan menyatakan bahawa mereka yang menyerah diri melalui program itu tidak terlibat secara mendalam dengan pergerakan berkenaan dan mungkin hanya bersalah kerana ada kaitan dengannya. Ini merupakan tuduhan umum yang dilemparkan pihak berkuasa Thailand tetapi tidak mempunyai kesan di mahkamah.

Malah, BRN belum mencapai peringkat tentera sepenuhnya dan, oleh itu, tidak memerlukan banyak tentera berpangkat.

Strategi ketika ini adalah untuk menolak sistem keselamatan kerajaan, menjadikan kawasan itu tidak ditadbir sebanyak mungkin.

Pengeboman di tepi jalan raya disusuli dengan pertempuran senjata api yang tidak pernah melebihi lima minit adalah senario pertempuran yang biasa dilihat di wilayah ini.

Para pemberontak berkata, mereka lebih berminat untuk menawan hati, minda dan imaginasi penduduk tempatan, bukannya ruang geografi yang merupakan sesuatu yang jauh daripada capaian, yang pada ketika itu kelak memerlukan sebuah pasukan konvensional.



Don Pathan adalah seorang perunding dan penganalisis keselamatan yang berpejabat di Thailand. Pendapat yang dinyatakan dalam komentar ini adalah pendapat pengarang dan bukannya BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.