Keputusan besar Thailand luluskan kewarganegaraan

Langkah Bangkok itu menjadi hadiah awal tahun baru bagi hampir setengah juta individu tanpa kerakyatan, tulis penganalisis Bridget Welsh.
Komentar oleh Bridget Welsh
2024.12.27
Keputusan besar Thailand luluskan kewarganegaraan Gambar ini diambil oleh ketua masyarakat Ei Tu Hta, etnik Karen, yang menyeberangi sungai Salween ke Thailand untuk mencari perlindungan selepas serangan udara di negeri Karen di timur Myanmar, kembali ke sebelah Myanmar dengan bot selepas pihak berkuasa Thailand mengarahkan mereka meninggalkan Mae Hong Son, 29 Mac 2021.
[Pemimpin masyarakat Ei Tu Hta/AFP]

Tanpa perlu riuh rendah, Kabinet Thailand pada hujung Oktober lalu membuat keputusan yang memberikan implikasi besar apabila meluluskan permohonan kewarganegaraan kepada hampir setengah juta individu tanpa kerakyatan di negara itu.

Keputusan yang dianggap sebagai inisiatif kerakyataan paling signifikan di rantau Asia Tenggara oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu dapat memperkukuh kedudukan seramai 335,000 pendatang yang telah lama tinggal di Thailand dan minoriti etnik serta 142,000 anak-anak mereka yang lahir di negara itu.

Keputusan itu dianggap masuk akal. Ini kerana kelulusan kerakyatan itu turut memasukkan warganegara baharu dalam semakan sistem cukai di Thailand yang akan dilaksanakan tahun depan.

Langkah itu membolehkan sumbangan lebih banyak disalurkan kepada program kebajikan sosial, memperluas tenaga kerja dan membantu mengatasi tekanan masalah populasi negara yang semakin menua.

Keputusan itu juga dibuat bagi menangani masalah keselamatan yang wujud sejak sekian lama.

Dengan memberikan kewarganegaraan kepada kelompok pemastautin tetap, ia dapat mengurangkan aktiviti haram dan rasuah yang tertumpu kepada sindiket pengeluaran dokumen palsu.

Thailand mempunyai pandangan jauh apabila menyedari bahawa usaha bagi menangani rasuah perlu melibatkan langkah menyekat peluang berlakunya gejala rasuah terutama yang menyasarkan komuniti rentan.

TH-MY-citizenship-commentary 2.JPG

Etnik minoriti berbaris di pameran kuil di Chiang Rai, utara Thailand 13 Julai 2018. [Panu Wongcha-um/Reuters]

Keputusan ini juga membolehkan pasukan keselamatan memfokuskan aktiviti mereka kepada usaha membanteras pemerdagangan manusia dan masalah penipuan yang kian meningkat di rantau ini.

Lebih setengah juta rakyat Thailand menjadi mangsa penipuan siber sejak Mac 2022, dengan negara itu bersempadan dengan pusat-pusat penipuan di Myanmar dan Kemboja.

Apa yang paling penting, keputusan tersebut dilakukan dengan mengambil kira faktor kemanusiaan melibatkan kelompok pemastautin tetap yang selama ini berdepan dengan isu tanpa kerakyatan.

Pada Januari lalu, Thailand memperluaskan skim insurans kesihatan sejagatnya kepada komuniti tanpa kerakyatan untuk menyediakan penjagaan kesihatan bagi lebih 500,000 orang dan ia secara tidak langsung memperkukuhkan sektor kesihatan awam.

Malah sebelum kelulusan kewarganegaraan dibuka kerajaan Thailand baru-baru ini, sekitar separuh daripada kanak-kanak tanpa kerakyatan di negara ini turut diberikan akses pendidikan.

Asia Tenggara menempatkan 50 peratus daripada populasi tanpa kerakyatan di dunia.

Jumlah terbesar individu tanpa dokumen berada di Malaysia dengan anggaran lebih sejuta daripada mereka tertumpu di negeri Borneo, Sabah.

Thailand, dengan memperluaskan hak kerakyatannya, ia menjadi model global bagi mengendalikan individu tanpa kerakyatan.

Keputusan meluluskan kewarganegaraan di Thailand baru-baru ini mungkin tidak dijangka dari segi masa dan ruang lingkupnya, tetapi ia telah dirancang selama lebih 20 tahun.

Pada 2001, Raja Bhumibol, raja Thailand dari 1946 hingga 2016, memberikan ucapan yang menyeru kepada kesaksamaan bagi mereka yang telah lama tinggal di negara itu.

Pengaruh moralnya membuka perbincangan tentang cara baru melihat kewarganegaraan secara inklusif, memberikan ruang kepada masyarakat sivil yang aktif menangani diskriminasi terhadap komuniti tanpa kerakyatan dan mencipta momentum untuk pengembangan hak.

TH-MY-citizenship-commentary 3.jpg

Raja Thai Bhumibol Adulyadej (tengah) dikelilingi ahli keluarga selepas berucap kepada orang ramai dari balkoni Dewan Takhta Ananta Samakhom pada hari lahirnya yang ke-85 di Bangkok, 5 Dis, 2012. [Wason Wanichakorn/AP]

Di bawah pentadbiran Thaksin Shinawatra dari 2001 hingga 2006, terdapat perubahan dasar yang memperluaskan hak untuk individu tanpa kerakyatan, terutamanya kanak-kanak.

Namun, aktivisme tanpa henti masyarakat sivil adalah kritikal dalam memperjuangkan hak-hak tersebut. Perubahan pemikiran dan amalan memerlukan masa.

Dua keputusan Kabinet terdahulu iaitu pada 2010 dan 2021, menetapkan kriteria untuk kemasukan dan memberi isyarat kepada laluan lebih luas untuk memperoleh status kewarganegaraan. Keputusan yang dibuat tahun ini merupakan yang paling progresif.

Pihak yang akan mendapat manfaat daripada keputusan Kabinet ini termasuk pendatang jangka panjang yang menetap di Thailand dari 1984 hingga 1999 dan dari 2005 hingga 2011, anak-anak minoriti etnik di Thailand dan kanak-kanak yang lahir di Thailand tanpa status pendaftaran.

Ini termasuk komuniti minoriti dari Myanmar dan komuniti puak bukit – antara yang paling terdedah dan didiskriminasi. Buruh migran yang berada di Thailand dalam tempoh tersebut juga layak.

Seluruh Asia Tenggara harus belajar daripada langkah berpandangan jauh Thailand ini. Ia mungkin dapat menyelesaikan isu tanpa kerakyatan dalam skala besar secara lestari.

Kepimpinan negara mampu membawa perubahan, terutamanya apabila ia prihatin kepada kehendak masyarakat sivil.

Pandangan yang memberi tumpuan kepada kanak-kanak juga boleh membantu mengubah pemikiran.

Begitu juga dengan penghargaan bahawa keterangkuman boleh membawa manfaat masyarakat yang lebih luas dalam kesihatan awam dan ekonomi yang lebih kukuh.

Dalam pada itu, laluan ke depan masih mencabar bagi individu tanpa kerakyatan di Thailand yang perlu membuat permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri.

Masih tidak jelas berapa lama proses tersebut proses permohonan itu dapat dilakukan. Aktivis masyarakat sivil bimbang ia masih mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk individu terbabit dapat mengetahui keputusan permohonan kerakyatan mereka. 

“Namun, bagi komuniti yang memiliki jalan ke arah keselamatan dan keterangkuman yang lebih besar, Krismas tiba lebih awal.”

Seorang penyelidik bebas, Bridget Welsh merupakan rakan penyelidik kehormat di Institut Penyelidikan Asia Universiti Nottingham Malaysia di Kuala Lumpur dan Felo Bersekutu Kanan Pusat Habibie. Pandangan yang dinyatakan di sini merupakan buah fikiran beliau sendiri dan tidak mencerminkan pendirian Universiti Nottingham Malaysia, Pusat Habibie atau BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.