Jawatankuasa kecil Parlimen dijangka kemuka syor berani berkaitan keamanan di selatan Thailand

Ahli jawatankuasa yang progresif mungkin menggesa isu konflik itu ditangani dari peringkat akar umbi, kata penganalisis Don Pathan.
Komentar oleh Don Pathan
2024.06.17
Yala, Thailand
Jawatankuasa kecil Parlimen dijangka kemuka syor berani berkaitan keamanan di selatan Thailand Seorang wanita muda berjalan pulang pada malam sebelum Aidiladha di depan Masjid Pusat di Pattani, selatan Thailand, 16 Jun 2024.
[Yostorn Triyos/BenarNews]

Jawatankuasa sementara Parlimen yang ditugaskan mencari cara untuk meningkatkan proses damai di selatan Thailand dijangka mengemukakan beberapa cadangan berani termasuk mendepani isu sensitif yang menjadi punca pemberontakan.

Selepas rundingan ekstensif dengan pakar konflik dan pihak berkepentingan termasuk pertemuan di Malaysia dengan para perunding yang mewakili puak pemberontak Barisan Nasional Revolusi (BRN), jawatankuasa itu akan mengemukakan syornya kepada Parlimen untuk semakan bulan depan sebelum ia mungkin dibubarkan.

Jawatankuasa itu, yang ditubuh oleh badan perundangan baharu Thailand, juga ditugaskan untuk memberi cadangan mengenai penambahbaikan proses rundingan awam - platform untuk penduduk majoriti Islam di selatan Thailand yang dari segi sejarah menjadi rebutan, untuk melibatkan diri dalam rundingan dengan para perunding Thailand dan BRN.

Beberapa ahli jawatankuasa sementara itu yang terdiri daripada 35 individu - terutama mereka yang mempunyai pandangan progresif - dijangka menyokong langkah menggerakkan rundingan damai melangkaui kaedah membina keyakinan (CBM) dan membincangkan topik yang menjurus kepada punca konflik sejak berdekad itu.

Bagaimanapun, gesaan untuk melakukan perubahan besar itu mungkin berdepan tentangan kerana sesetengah birokrat termasuk beberapa ahli jawatankuasa, adalah cenderung untuk mengekalkan struktur berpusat Thailand. Mereka amat berhati-hati dalam memberikan sebarang status istimewa kepada selatan Thailand yang boleh menjadi duluan kepada wilayah lain.

Commentary_Don_02.jpeg

Golongan warga emas di Masjid Don Rak memberikan duit raya kepada kanak-kanak sempena Aidiladha di Nong Chik, sebuah daerah dalam wilayah Pattani di selatan Thailand, 17 Jun 2024 [Yostorn Triyos/BenarNews]

BRN, puak pemisah bersenjata Melayu Patani yang sudah lama bertapak dan mengawal hampir semua pejuang di lapangan, memulakan rundingan secara terus dengan Panel Dialog Damai Thailand pada Januari 2020. Proses rundingan itu amat mencabar apabila timbul perselisihan faham antara tentera Thailand dan BRN mengenai pendekatan yang menjadi pilihan.

Meskipun beberapa kemajuan telah dicapai, terdapat ketegangan mengenai kesahihan rundingan itu dan motif politik di sebalik keganasan di wilayah sempadan selatan Thailand.

Antaranya, proses itu dari awal tidak mendapat pengendorsan penuh tentera yang masih memilih untuk menggunakan kaedah ketenteraan bagi membendung pemberontakan itu.

Elit politik Thailand dan tentera tidak pernah menyukai idea untuk berunding dengan puak pemisah dan melihat langkah ini sebagai sesuatu yang tidak perlu bagi menghalalkan BRN. Mereka lebih memilih untuk tidak mengakui asas politik keganasan di wilayah sempadan selatan Thailand.

Commentary_Don_03.jpg

Anggota tentera Thailand mengusung keranda seorang daripada dua renjer yang terbunuh dalam serangan sehari sebelumnya pada satu upacara di lapangan terbang Narathiwat di selatan Thailand, 9 April 2024. [Madaree Tohlala/AFP]

Pejuang BRN, sebaliknya tertanya-tanya sama ada kemerdekaan masih menjadi sebahagian daripada matlamat pergerakan itu kerana pemimpin politik mereka telah bersetuju untuk berunding di bawah Perlembagaan Thailand.

Pemimpin pergerakan itu akan bergantung kepada perundingan awam untuk menyelesaikan perkara ini. Jika wilayah itu mahukan kemerdekaan, maka ia akan menjadi realiti.

Bagaimanapun, para pejuang tidak menghentikan kempen keganasan mereka. Berbanding sebelumnya, serangan kini menjadi bahagian penting dalam menghantar mesej politik puak pemberontak.

Peningkatan insiden ganas adalah yang tertinggi dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini dan kesengitan beberapa serangan berprofil tinggi ini, yang selalunya adalah terselaras serta dilakukan secara serentak, melibatkan banyak operasi dan kadang-kadang berlanjutan hingga 30 minit. Sasaran termasuk unit keselamatan yang mengawal wilayah terbabit serta infrastruktur kerajaan di pekan dan bandar.

Ini jauh berbeza daripada pengeboman biasa di tepi jalan yang disusuli dengan pertempuran selama tiga minit sebelum berundur ke dalam hutan.

Selain peningkatan keganasan, reaksi terhadap salinan Pelan Komprehensif Bersama Ke Arah Keamanan (JCPP) yang bocor mencerminkan kerapuhan proses damai.

Sudah menjadi kebiasaan para pemimpin sering melontarkan pandangan mereka dalam perkara itu namun komen Surachart Bamnrungsuk, ahli fakulti Jabatan Perhubungan Antarabangsa di Universiti Chulalongkorn, ternyata mencetuskan kemarahan ramai. Beliau berkata Panel Dialog Damai itu telah tersalah haluan dan menyoal sama ada perunding Thailand telah melangkaui mandat mereka dengan pelan hala tuju untuk keamanan.

Dokumen itu, yang dibocorkan oleh BRN, mengandungi perkara khusus tentang langkah mengurangkan keganasan; ia juga membincangkan tentang garis masa untuk membebaskan tahanan serta garis panduan bagi pemantauan gencatan senjata.

JCPP bukanlah satu kenyataan politik namun kritikan terhadap proses damai tidak membenarkan mereka melihatnya dengan pandangan berbeza. Bagi kebanyakan pembuat dasar Thailand dan golongan elit konservatif, segala isu di wilayah selatan Thailand yang majoriti penduduknya bertutur dalam Bahasa Melayu dan setiap urusan dengan BRN pada dasarnya adalah politik.

Commentary_Don_04.JPG

Bekas Menteri Pendidikan Chaturon Chaisang (kiri) menerima bunga ros daripada penyokong ketika tiba di mahkamah tentera di Bangkok, 20 Jun 2014. Chaturon ditahan pada Mei 2014 kerana gagal menjawab saman daripada kerajaan junta Thailand ketika itu dan atas dakwaan beliau membantu mencetuskan kekacauan. [Chaiwat Subprasom/Reuters]

Jawatankuasa sementara bagi selatan Thailand diketuai oleh Ahli Parlimen veteran iaitu Chaturon Chaisang, yang amat dihormati oleh orang Melayu Islam di wilayah itu.

Semasa berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan dua dekad lalu, Chaturon menggesa kerajaan agar menyokong identiti tempatan dan memberikan ruang budaya yang lebih luas kepada orang Melayu bagi merapatkan jurang kepercayaan antara negara dan penduduk tempatan.

Bagaimanapun, syor beliau telah ditolak mentah-mentah oleh pihak tentera.

Hari ini, Chaturon bukan lagi menteri Kabinet dan tidak mempunyai tarikan seperti yang pernah dimiliki semasa beliau berada dalam kerajaan atau parti. Tiada siapa yang menjangkakan bakal berlaku kejayaan besar kerana belum jelas jenis konsesi yang kerajaan sanggup tawarkan kepada orang Melayu Patani.

Selain itu, mandat tiga bulan yang diberikan kepada jawatankuasa sementara beliau bukanlah mandat yang sebenarnya kerana konflik itu tercetus semula 20 tahun lepas dan lebih 7,500 orang telah terkorban akibat keganasan yang dikaitkan dengan pemberontakan.

Ahli jawatankuasa adalah pelbagai termasuk yang menyokong langkah serius untuk memperkasakan wilayah berbahasa Melayu itu supaya penduduk tempatan dapat menerima identiti dan naratif budaya-agama mereka sepenuhnya. Terdapat juga pihak yang percaya wilayah selatan Thailand boleh berdamai dengan negara jika kerajaan menambah baik penyampaian barangan dan perkhidmatan di kawasan itu.

Commentary_Don_05.jpg

Polis menyiasat tempat kejadian selepas serangan bom motosikal mencederakan sembilan orang di Empangan Tha Phraya Sai di Mueang Narathiwat, sebuah daerah dalam wilayah Narathiwat di selatan Thailand, 7 Mei 2024. [Matahari Islmail/BenarNews]

Pegawai kerajaan, secara amnya, terus berpegang kepada dasar asimilasi yang sudah lama wujud - meningkatkan ciri-ciri sebagai rakyat Thailand dalam kalangan orang Melayu tanpa memahami bahawa bagi masyarakat Islam di kawasan yang menjadi rebutan dari segi sejarah itu, agama dan identiti mereka tidak dapat dipisahkan.

Lebih-lebih lagi apabila dilihat penggubal undang-undang tidak begitu berminat dalam isu ini termasuk mereka yang berada dalam jawatankuasa sementara. Kebanyakannya kelihatan seperti mempunyai perkara yang lebih penting berbanding datang ke mesyuarat jawatankuasa itu.

Menerusi analisis akhir, tidak kira betapa beraninya syor mereka, pada dasarnya terpulang kepada Parlimen dan kerajaan Thailand untuk bertindak mengikut syor jawatankuasa itu.

Memandangkan iklim politik hari ini, digabungkan pula dengan kekurangan minat dalam kalangan penggubal undang-undang semasa serta pemikiran tentera dan elit politik yang tidak bersedia untuk memberikan konsesi serius kepada orang Melayu Pattani di luar pelarasan pentadbiran kecil, keganasan politik di selatan Thailand diramalkan berlaku seperti biasa.

Don Pathan ialah seorang penganalisis keselamatan dan pembangunan bagi organisasi antarabangsa yang berpejabat di Thailand. Pendapat yang dinyatakan dalam komentar ini adalah pendapat penulis dan bukannya BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.